Sabtu, 3 November 2012

Mengundur Kematian..

Pada suatu hari Malaikat Maut mendatangi Ibrahim A.S dan bertanya, "Siapa anak muda yang tadi berjumpa denganmu wahai Ibrahim?" Nabi Ibrahim menjawab, "anak muda tadi maksudnya? Dia sahabat sekaligus muridku." malaikat Maut bertanya kembali, "Ada apa, dia datang menemuimu?" Nabi Ibrahim menjawab, "dia menyampaikan berita bahawa dia akan melangsungkan pernikahannya esok pagi." Malaikat Maut lalu menjawab, "Wahai Ibrahim, sayang sekali, umur pemuda itu tidak akan sampai esok pagi." Setelah berkata seperti itu, Malaikat Maut pergi meninggalkan Ibrahim A.S.

Hampir-hampir sahaja Nabi Ibrahim A.S tergerak untuk memberitahu anak muda tersebut agar menyegerakan pernikahannya malam ini dan memberitahu tentang kematiannya esok. Namun, langkahnya terhenti. Nabi Ibrahim A.S memilih kematian tetap menjadi rahsia Allah.

Esok paginya, Nabi Ibrahim A.S ternyata melihat dan menyaksikan bahawa anak muda tersebut tetap melangsungkan pernikahannya. Bahkan, hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun, Nabi Ibrahim A.S melihat anak muda ini panjang umurnya.

Sehingga umur pemuda itu berusia 70 tahun, Nabi Ibrahim A.S bertanya kepada Malaikat maut, adakah dia berbohong tempoh hari sewaktu menyampaikan bahawa anak muda itu umurnya tidak akan  sampai esok pagi? Malaikat Maut menjawab bahawa dirinya memang akan mencabut nyawa anak muda tersebut, tetapi Allah menahannya. "Apa gerangan yang membuat Allah menahan tanganmu untuk tidak mencabut nyawa anak muda tersebut dulu?" 
                                                                      Gambar Hiasan

"Wahai Ibrahim, pada malam menjelang perkahwinannya,
anak muda tersebut menyedekahkan separuh daripada kekayaannya dan ini yang membuat Allah memutuskan untuk memanjangkan umur anak muda tersebut hingga engkau masih melihatnya hidup." 

Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Saat ajal seseorang sudah tiba maka manusia tidak boleh mengundurnya atau mempercepatkannya. Mempercepat atau mengundurkan kematian ialah hak Allah. Sedekah adalah salah satu yang dapat mengundurkan kematian, sebagaimana yang dialami oleh pemuda dalam kisah di atas.

Jika seorang muslim melihat kesusahan orang lain di hadapannya, maka dialah yang harus segera menghilangkan kesusahan tersebut. Dialah yang perlu segera memberikan pertolongan kerana apa-apa sahaja kesusahan yang Allah tampakkan di hadapannya adalah untuk memanjangkan umurnya. Jika dia bersedia menolongnya, maka kemungkinan besar Allah akan memanjangkan umurnya.

Tidak ada seorang pun yang mengetahui waktu kematiannya.
Tidak pula mengetahui bagaimanakah situasi saat tiba ajalnya.
Mengeluarkan sedekah bukan sahaja memanjangkan usia, malah memungkinkan dirinya meninggal dalam keadaan baik.
Bersedekah akan mengundang cinta Allah. Jika seseorang sudah dicintai oleh Allah maka tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan, tidak ada cita-cita yang tidak dikabulkan, tidak ada dosa yang tidak diampunkan dan tidak ada nyawa yang dicabut, kecuali dalam keadaan Husnul Khatimah (pengakhiran yang baik).

Selagi hembusan nafas masih daripada raga setiap muslim, tidak ada alasan untuk tidak memperbanyakkan amalan sedekah. Harta yang dimiliki hakikatnya adalah milik Allah. Sungguh sombong dan bakhil, jika seorang muslim tidak mahu berkongsi sesama muslim. Cukuplah bagi setiap muslim seksaan yang Allah berikan kepada Qarun. Seksaan terhadap Qarun menjadi pengajaran dalam membelanjakan harta yang Allah berikan kepadanya. Ingatlah harta yang dimiliki tidak akan dibawa mati. Amalan solehlah yang menjadi teman sejati saat seorang hamba dipanggil oleh Maha Pencipta. Allah SWT berfiman:

"Allah memegang jiwa(orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati diwaktu tidurnya: Maka, Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir." [Surah Az-Zumar [39]: 42)