Keberanian dan ketabahan Rasulullah SAW sememangnya dikagumi oleh musuh-musuhnya apatah lagi ketika berhadapan dengan kaum kafir Quraisy yang melakukan pelbagai ancaman bunuh, menggangu ketenteraman dan sebagainya untuk mengagalkan usaha dakwahnya.
Walaupun ramai yang memusuhinya, Rasulullah SAW tetap bertawakkal kepada Allah sehinggakan pada satu ketika baginda berkata, "Tidak ada sesiapa yang mengikutiku malah ramai orang memusuhiku."
Keberanian dan ketabahannya menghadapi ujian terserlah ketika berlakunya Perang Uhud.
Sahal bin Sahat menceritakan apa yang dilihatnya ketika Perang Uhud, katanya, "Aku melihat sendiri bagaimana puteri baginda, Fatimah mencuci luka baginda dan Ali bin Abi Talib menyiram air ke atas lukanya dengan perisai. Siraman air itu menyebabkan darah semakin banyak mengalir. Kemudian Fatimah mengambil secarik tikar lalu membakar, kemudian membungkus luka baginda itu sehingga darah berhenti mengalir. Pada peristiwa itu juga gigi baginda patah dan kulit kepalanya terkoyak."
Sementara itu di dalam Perang Hunain, bapa saudara Rasulullah SAW al-Abbas bin Abdul Mutalib menceritakan, "Ketika pasukan kaum muslimin kucar-kacir, Rasulullah memacu kudanya ke arah pasukan musuh dan aku memegang tali pemacu kuda supaya tidak terlalu laju. Pada ketika itu, Baginda berkata: Aku adalah seorang Nabi bukan pendusta. Aku adalah cucu Abdul Mutalib."
Menantu Rasulullah SAW, Ali bin Abi Talib yang terkenal sebagai pahlawan, penunggang kuda yang handal dan masyhur menceritakan, "Apabila dua pasukan sudah saling bertemu dan peperangan semakin sengit, kami berlindung di belakang Rasulullah SAW dan kami melihat tidak sesiapa pun yang berani mendekati musuh kecuali baginda."
Manakala di dalam satu hadis yang dilaporkan oleh At-Tirmizi dan Ahmad, Rasulullah SAW berkata, "Sesungguhnya aku mendapat pelbagai ancaman kerana mahu menegakkan agama Allah dan aku yakin tiada seorang pun mendapat ancaman sepertiku. Malah pada satu ketika aku dan Bilal tidak menjamah makanan selama 30 hari 30 malam kerana tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan."
Pada satu peristiwa lain, Abu Dzar Al-Ghiffari melihat Rasulullah SAW sedang bersolat malam, lalu dia segera mengambil air sembahyang menjadi makmum. Pada rakaat pertama Rasulullah SAW membaca surah al-Baqarah dan terus membacanya sehingga beratus-ratus ayat. Abu Dzar berfikir mungkin Rasulullah SAW akan berhenti rukuk pada ayat 200 dan ketika Abu Dzar bersiap-siap untuk rukuk, Rasulullah SAW masih terus membaca sehingga ayat 286. Abu Dzar berfikir, mungkin sampai ayat ini Rasulullah SAW akan rukuk tetapi Rasulullah SAW terus membaca surah Ali-Imran.
Rasulullah SAW terus membaca surah Ali-Imran dan apabila hampir selesai surah Ali-Imran, Abu Dzar berfikir Rasulullah SAW akan berhenti untuk rukuk tetapi Rasulullah SAW meneruskan membaca surah an-Nisa'. Selesai membaca surah an-Nisa' barulah Rasulullah SAW rukuk.
"Ketika rukuk, lamanya baginda sama lamanya ketika baginda berdiri. Sungguh luar biasa dan hebatnya Rasulullah ketika beribadah. Saya pernah melihat kaki Rasulullah sampai bengkak-bengkak kerana terlalu lama berdiri apabila membaca surah yang panjang ," kata Abu Dzar yang tidak serik menjadi makmum kepada Rasulullah.
Kata Abu Dzar lagi, "Sebenarnya Rasulullah tidak perlu begitu lama beribadah kerana sudah dijamin masuk Syurga. Tetapi itulah bentuk syukur Rasulullah kepada Allah di atas nikmat yang dianugerahkan. Itulah juga yang Rasulullah anjurkan kepada umatnya sebagai satu cara mensyukuri nikmat-Nya."