PADA satu hari Abu Laits bin Samarqandi, seorang ahli fikah yang masyhur sedang dalam perjalanan bermusafir bersama-sama dengan ayahnya. Di pertengahan jalan, tiba-tiba ayahnya jatuh sakit. Abu Laits telah berhenti daripada meneruskan perjalanan untuk merawat ayahnya tetapi takdir menetukan, ayahnya meninggal dunia.
Sebagai musafir sudah tentu menjadi masalah untuk menguruskan jenazah ayahnya apatah lagi dia hanya berdua sahaja dengan ayahnya.
Dia terpaksa mencari jika ada kafilah yang lalu lalang untuk meminta pertolongan tetapi hampa.
Tetapi Abu Laits tidak berputus asa.
Dia tidak mahu meninggalkan jenazah ayahnya di situ bersendirian.
Ketika sedang menunggu pertolongan tiba, tiba-tiba dia melihat jenazah ayahnya bertukar menjadi hitam pekat.
"Mengapa wajah ayahku tiba-tiba sahaja berubah?
mengapa ini berlaku, apakah kesalahan yang telah ayahku lakukan?"
Pelbagai pertanyaan mengganggu benaknya. Akhirnya dia tertidur kerana terlalu letih menunggu pertolongan daripada kafilah yang lalu lalang.
Ketika tertidur itu dia bermimpi didatangi oleh seseorang yang bercahaya wajahnya serta elok paras rupanya.
"Siapakah saudara?" Tanya Abu Laits yang tidak pernah melihat wajah lelaki itu.
"Saya Muhammad bin Abdullah," kata lelaki itu.
Mendengar nama itu, barulah dia tersedar nama itu sebenarnya Rasulullah SAW. Abu Laits sangat gembira tidak terkata lalu bertanya, "Ya Rasulullah. Apakah maksud dan tujuan tuan datang ke mari?"
"Saya datang kerana hendak menziarahi jenazah ayahmu,"
beritahu Rasulullah SAW.
Abu Laits kemudian menceritakan apa yang sebenarnya telah berlaku ke atas ayahnya. Setelah Abu Laits mengizinkan, Rasulullah SAW membuka kain yang menutupi wajah ayahnya.
Setelah membuka dan melihat wajah jenazah ayah Abu Laits, Rasulullah SAW terus berdoa kepada Allah. Ketika itu juga Abu Laits melihat wajah ayahnya berubah daripada gelap dan bercahaya-cahaya.
"Ya Rasulullah. Apakah yang menyebabkan wajah ayah saya berubah menjadi hitam?"
Abu Laits ingin tahu.
"Semasa ayahmu hidup, dia telah melakukan dosa yang orang lain tidak mengetahuinya. Tetapi pada satu malam, ketika orang lain sedang nyenyak tidur, dia telah bangun dan merintih kepada Allah.
Dia mengadu kepada Allah mengenai dirinya yang sering berbuat dosa kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya.
Bagaimanapun ayahmu sentiasa membasahi lidahnya dengan berselawat ke atasku. Oleh sebab itu, pada hari kematiannya Allah memerintahkan aku datang untuk menziarahi mayatnya."
Beritahu Rasulullah SAW.
Sebaik sahaja memberitahu rahsia itu, Abu Laits tersedar daripada mimpinya. Dia membuka kain yang menutupi wajah ayahnya.
Ternyata wajah ayahnya sudah berubah seperti biasa dan berseri-seri. Tidak lama kemudian datanglah kafilah membantu menguruskan jenazah ayahnya.