Rabu, 21 November 2012

Hati Berubah Berkat Doa Rasulullah SAW..


Sebagai seorang anak yang sudah memeluk Islam, 
Abu Hurairah RA berusaha untuk memujuk ibunya menganut agama yang disebarkan oleh Rasulullah SAW tetapi malang usahanya itu gagal.
Malah pada satu ketika ibunya itu mengejek dan mencaci apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Perlakuan ibunya itu secara tidak langsung tidak disenangi oleh Abu Hurairah RA.

Abu Hurairah tidak sampai hati mendengar nama Muhammad dipersendakan, diejek dan dimaki oleh orang yang tidak suka dengan ajaran Islam yang dibawanya.
Pada suatu hari Abu Hurairah menemui Rasulullah SAW sambil menangis untuk mengadu mengenai sikap ibunya.
"Wahai Rasulullah SAW, aku sudah berusaha untuk mengajak ibuku supaya memeluk Islam tetapi dia pula memepersendakan dan merendah-rendahkan kemamapuanmu. Aku sudah tentu tidak suka dengan sikap ibuku itu," beritahu Abu Hurairah yang masih sedih dengan sikap ibunya memusuhi Islam.
"Abu Hurairah, apa yang boleh kamu lakukan ialah berdoa kepada Allah, semoga Allah membuka pintu hati ibu untuk memeluk Islam," 
beritahu Rasulullah SAW yang terharu dengan sikap Abu Hurairah.
Kemudian Rasulullah SAW turut berdoa, 
"Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada Abu Hurairah."
"Abu Hurairah, kamu pulanglah," ujar Rasulullah SAW yang gembira melihat Abu Hurairah tidak menangis lagi.
Abu Hurairah juga terlalu gembira kerana Rasulullah SAW turut mendoakan supaya pintu hati ibunya terbuka.
Dengan hati lapang, Abu Hurairah kembali semula ke rumahnya dengan wajah berseri-seri.
Sesampai sahaja di rumah, Abu Hurairah mendapati pintu rumahnya terkunci.
Abu Hurairah mengetuk berkali-kali dan dia yakin ibunya ada di dalam rumah.
Apabila mendengar Abu Hurairah pulang, ibunya yang berada di dalam bersuara, 
"Kamu tunggu sebentar di luar. Nanti ibu akan bukakan pintu."
Saat itu Abu Hurairah terdengar bunyi gemerincik air seolah-olah orang sedang membasuh muka. Tidak lama kemudian, ibunya muncul membuka pintu. Sebaik sahaja ibunya terpandang wajah Abu Hurairah, dia terus berkata,
"Wahai Abu Hurairah, aku bersaksi bahawa Muhammad itu Rasul Allah."
Abu Hurairah terkejut kerana begitu cepat ibunya berubah sedangkan ketika dia meninggalkan rumah sebentar tadi, hatinya masih keras. Lalu dia segera berkata,
"Benarkah apa yang aku dengar ini, wahai ibuku?"
"Ya benar. Ibu mengakui kerasulanMuhammad sebagai pesuruh Allah," ujar ibunya lagi.
Oleh kerana terlalu gembira, Abu Hurairah segera berpatah kembali ke rumah Rasulullah SAW untuk memberitahu berita gembira itu.
Kemudian Rasulullah SAW berkata,
"Segala puji bagi Allah. Itu adalah kebaikan dari-Nya."