Khamis, 15 November 2012

UMAR MENANGIS KERANA RASULULLAH



Di kalangan para sahabat Rasulullah SAW, Umar Al-Khattab RA merupakan seorang yang berperwatakan gagah perkasa, kasar di samping sikap berani yang sering ditakuti oleh kawan dan lawan.

Malah dalam satu kisah ada diceritakan betapa syaitan sendiri takut dengan Umar. Apabila syaitan bertembung dengan Umar di jalanan, syaitan akan berusaha beralih ke jalan lain. Begitu takutnya syaitan kepada Umar.
Kehebatan Umar sememangnya menjadi buah mulut di kalangan umat Islam.
Tetapi tiada siapa tahu, di dalam keperkasaan Umar itu, dia pernah menangis kerana Rasulullah SAW.
Satu ketika Umar ingin mengunjungi Rasulullah SAW. 
Apabila Umar sampai di mana Rasulullah SAW berada, tiba-tiba dia menitiskan air matanya tanpa sempat ditahan-tahan.
Apabila Rasulullah SAW yang sedang berbaring menyedari kehadiran Umar yang sedang menangis, baginda segera bertanya, Mengapa kamu menangis wahai Umar?" 
"Bagaimanalah saya tidak menangis ya Rasulullah, Rasulullah berbaring di atas tikar yang kasar kemudian berbantal pula dengan pelepah daun kurma yang keras. Tikar ini akan menyebabkan tubuh Rasulullah berbekas sedangkan Rasulullah ini seorang nabi dan kekasih Allah," balas Umar sambil duduk di sisi Rasulullah SAW. 
Air matanya dibiarkan mengalir kerana sedih melihat seorang kekasih Allah hidup dalam kedaifan.
"Umar, kamu tentu berfikir mengapa seorang nabi sepertiku ini memilih hidup seperti ini?" Tanya Rasulullah SAWsambil duduk bersila menghadap Umar.
"Sudah tentu ya Rasulullah sedangkan Kisra dan Kaisar tinggal dalam singgahsana emas dan berbantalkan sutera, tetapi Rasulullah lebih gemar memilih cara hidup seperti ini," ujar Umar.
"Umar, mereka adalah golongan menikmati kesenangan dengan segera dan ia akan cepat berakhir. 
Manakala kita adalah kaum yang menangguhkan kesenangan untuk hari akhirat. Ini ibarat orang yang bermusafir pada musim panas, dia akan berlindung sebentar di bawah pokok, apabila panas berlalu, mereka akan beredar pergi,"
Ujar Rasulullah SAW lagi sambil memandang wajah Umar.
Umar yang tidak lagi menangis berkata, "Benar kata Rasulullah.
Dunia ini hanya tempat berehat untuk sementara, hanya tempat untuk berteduh, kemudian kita akan peri ke alam akhirat,"
"Janganlah kamu risau akan diriku, apabila lihat kehidupanku begini. Aku tidak mengharapkan kesenangan di dunia," jelas Rasulullah SAW. Begitulah para sahabat yang mengambil berat tentang kehidupannya.