Isnin, 12 November 2012

TAUBAT PEREMPUAN BERZINA

Gambar Hiasan

Pada satu hari, Abu Hurairah RA salah seorang sahabat Rasulullah SAW sedang berjalan di Kota Mekah.
Ketika sedang berjalan, dia ternampak seorang perempuan yang wajahnya murung sedang duduk di satu sudut seolah-olah sedang menghadapi masalah besar.
Abu Hurairah RA memerhatikan dari jauh dan sifat ingin tahu mengapa perempuan itu dalam keadaan bersedih menyebabkan dia menghampiri wanita itu.
"Mengapakah wajah kamu murung wahai perempuan?" Tanya Abu Hurairah RA sambil memerhatikan wajah perempuan yang tidak pernah ditemuinya itu.
"Saya telah melakukan dosa besar, tuan," beritahu wanita itu dengan suara yang jelas.
"Dosa besar apakah yang telah kamu lakukan? Cuba ceritakan kepadaku?" Pinta Abu Hurairah RA yang berdiri memandang wajah wanita itu.

"Begini tuan. Saya telah melakukan zina sehingga melahirkan seorang anak kemudian anak itu saya bunuh," ujarnya sambil menangis teresak-esak dan mengesat matanya dengan hujung bajunya.

Abu Hurairah RA mengeleng sambil berkata, "Celakalah engkau wahai perempuan!"

"Tetapi tuan, saya sudah bertaubat. saya sudah menyesal di atas perbuatan yang saya lakukan. Saya mahu menjadi manusia yang baik. Tetapi jawapan tuan menyebabkan saya sangat sedih seolah-olah taubat saya tidak di terima," balas wanita itu sambil bangun. Dia terus menangis dan beredar dari situ membawa hatinya yang hancur kerana niatnya ingin kembali ke pangkal jalan tidak di hargai.
selepas perempuan itu pergi barulah Abu Hurairah RA tersedar, dia telah terlepas cakap.
"Benarkah apa yang telah aku katakan tadi?" Tanya hati kecilnya sambil menggaru-garukan kepalanya.
Oleh kerana dia sendiri ragu-ragu dengan jawapan yang diberikan kepada perempuan itu, dia segera pergi bertemu Rasulullah SAW untuk menyelesaikan masalah itu.
Secara kebetulan Rasulullah SAW sedang berada di rumahnya dan dia segera menyatakan hajatnya itu.
Sebaik mendengar masalah yang dibawa Abu Hurairah RA itu, Rasulullah SAW membacakan beberapa potong ayat suci dalam surah al-Furqan. Pada ayat ke 70, surah itu membawa maksud, "orang-orang yang telah bertaubat dan melakukan kebajikan, maka kejahatan-kejahatan orang itu diganti Tuhan dengan kebaikan-kebaikan."
"Apakah jawapan yang telah saya berikan kepada perempuan itu sesuatu yang tidak wajar wahai Rasulullah?" Tanya Abu Hurairah RA inginkan kepastian.
"Perempuan itu sebenarnya mahu mengharapkan orang lain memberikan peluang kepadanya untuk melakukan kebajikan setelah tersedar melakukan kesilapan. Kamu sepatutnya membantu dan bukan mencelanya," Tambah Rasulullah SAW lagi.

Setelah mendengar penjelasan Rasulullah SAW itu, Abu Hurairah menyesal terhadap kenyataannya terhadap perempuan itu.

Sebelum beredar, Rasulullah SAW telah berpesan kepadanya, "Wahai Abu Hurairah, jadilah engkau seorang yang warak nescaya engkau akan menjadi manusia yang sangat kuat ibadat. Dan jadilah orang yang suka menerima apa yang ada supaya kau menjadi manusia yang sangat bersyukur dan sukalah kepada sesama manusia apa yang kau suka untuk dirimu sendiri nescaya engkau menjadi mukmin yang sebenar-benarnya dan perbaikilah hubungan dengan tetanggamu nescaya engkau akan menjadi muslim yang sejati dan kurangilah ketawamu kerana banyak ketawa akan mematikan hati kamu."

Abu Hurairah RA berasa insaf dengan pesanan Rasulullah SAW itu dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.
Tanpa berlengah, Abu Hurairah segera mencari perempuan tadi.
Nasibnya baik, dia dapat bertemu semula dengan perempuan tadi.
Abu Hurairah RA telah menerangkan penjelasan yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW tadi kepada perempuan itu.
Sebaik sahaja mendengar penjelasan yang diberikan oleh Abu Hurairah RA itu, wajah perempuan yang bersedih itu segera bertukar gembira.
"Saya minta maaf dan menarik balik kata-kata yang saya berikan tadi sehingga kamu berasa kecil hati," beritahu Abu Hurairah RA kepada perempuan itu.

"Terima kasih tuan. Sekarang baru saya rasakan hidup saya seperti ada cahaya semula. Percayalah saya sudah bertaubat dan tidak mahu mengulangi lagi perbuatan terkutuk itu," kata perempuan itu mengulangi janjinya.
"Saya akan menyampaikan ucapan terima kasih itu kepada Rasulullah. Bagindalah sebaik-baik manusia untuk kita merujuk jika menghadapi sebarang masalah," ujar Abu Hurairah.

Sejak peristiwa itu, perempuan itu menjadi perempuan yang solehah. Dia mengamalkan kebajikan lalu mewakafkan sebidang kebunnya untuk dikerjakan bagi tujuan ke jalan Allah.