Selasa, 20 November 2012

Wajar Mencurigai Keimanan...


Setiap kali Rasulullah SAW menyampaikan khutbah pada hari jumaat, sudah tentu ramai makmum akan tersentuh dengan isi kandungannya yang sangat menginsafkan malah ramai yang menangis apabila mengenangkan nasib yang menimpa mereka.

Hanzlah merupakan salah seorang yang mudah menangis apabila Rasulullah SAW membaca khutbah. 
Dia akan menghayati betul-betul apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Bagaimanapun kesan keinsafan yang dirasai oleh Hanzlah tidak lama.
Apabila dia kembali ke rumah mengingati anak dan isteri, dia tidak berasa sedih lagi malah kesan keinsafan itu beransur-ansur hilang.Hati  kecil Hanzlah selalu berkata-kata sendiri.
"Apakah aku ini seorang munafik. Apabila mengenangkan khutbah Rasulullah SAW hati aku menjadi insaf dan menitis air mata. 
Tetapi apabila aku pulang ke rumah, perasaan itu hilang tiba-tiba dan aku kembali seperti biasa. Bukankah ini munafik namanya?"

Kemudian Hanzlah bertemu dengan Abu Bakar RA dan menceritakan masalahnya.
"SubhanAllah. Apa yang kamu katakan ini? Kamu tidak mungkin menjadi munafik," kata Abu Bakar RA. Kemudian Abu Bakar bertanya, "Bagaimana sehingga kamu boleh mempunyai perasaan seperti ini, Hanzlah?"
"Semasa saya mendengar khutbah Rasulullah SAW tadi, saya berasakan seolah-olah syurga dan neraka berada sangat hampir kepada saya sehingga saya menitiskan air mata. Tetapi apabila selesai mendengar khutbah dan saya pulang ke rumah bertemu dengan anak-anak, saya menjadi lupa mengenai kampung akhirat," terang Hanzlah kepada Abu Bakar RA.
"Bukan kamu sahaja, saya juga rasa begitu. Kalau begitu, bagaimana kalau kita berjumpa Rasulullah untuk meminta pandangannya?" Cadang Abu Bakar RA.
Akhirnya mereka bersetuju untuk berjumpa Rasulullah SAW.
Sebaik sahaja berjumpa dengan Rasulullah SAW, Hanzlah menceritakan perkara yang dialami.

"Demi Allah, jiwaku di tangan-Nya. Jika kamu dapat memelihara selama-lamanya keghairahan yang diwujudkan, dalam sanubari kamu semasa berada di sisiku, sudah tentu malaikat akan mengucap selamat kepadamu semasa kamu berjalan dan semasa kamu tidur, tetapi wahai Hanzlah ini adalah perkara yang sangat jarang berlalu," ujar Rasulullah SAW ketika diminta buah fikirannya.
"Bagaimana keadaan aku sekarang?" Tanya Hanzlah dalam keadaan gelisah.
"Beginilah.Walau bagaimana teguh sekalipun keimanan seseorang dia tidak dapat menumpukan segala tenaga dan urusan terhadap akhiratnya semata-mata, kerana sebagai seorang manusia dia juga terpaksa bertanggungjawab terhadap urusan dunia. Walaupun ada manusia yang berperasaan demikian tetapi bilangannya sangat kecil. Bagaimanapun kita hendaklah memupuk perasan supaya sentiasa mencurugai keimanan kita," Jelas Rasulullah SAW.