Sabtu, 10 November 2012

~ Bijaksana Terhadap Isteri-isteri ~

PADA suatu ketika isteri-isteri Rasulullah SAW menemui baginda.
Mereka diketuai oleh Siti Aisyah RA. Apabila melihat isteri-isternya beramai-ramai menemuinya, sudah pasti ada sesuatu yang hendak diadukan.
Begitu detik hati Rasulullah SAW ketika melihat wajah isteri-isterinya yang ceria.
Rasulullah SAW meminta isteri-isterinya duduk bersila seperti mengelilingi satu bulatan.
Setelah bertanya khabar, Rasulullah SAW meminta salah seorang isteri-isterinya mengemukakan permasalahan masing-masing.
Siti Aisyah RA yang mengetuai pertemuan itu berkata,
"Wahai Rasulullah, siapakah di antara isteri-isteri Rasulullah  yang paling Rasulullah paling sayangi?"
Rasulullah SAW memandang wajah isteri-isterinya dengan penuh rasa kasih sayang dan tidak pernah membeza-bezakan di antara satu sama lain. Tetapi apabila ditanya, siapakah yang paling di sayangi di antara isteri-isterinya, Rasulullah SAW tidak mahu menyinggung perasan mereka ketika itu.
Rasulullah SAW tidak memberikan jawapan pada ketika itu sebaliknya, baginda akan memberikan jawapan pada hari yang lain.
Kemudian isteri-isteri baginda pulang ke rumah masing-masing dengan harapan mereka yang paling disayangi Rasulullah SAW.
 Gambar Hiasan


Seperti kebiasaannya apabila Rasulullah SAW bersama dengan isteri mengikut giliran masing-masing, sebelum beredar, baginda menghadiahkan sebentuk cincin untuk setiap orang isterinya dan berpesan supaya jangan memberitahu hadiah itu kepada isterinya yang lain.
Setelah kesemua isterinya mendapatkan cincin, mereka di minta untuk berkumpul kerana Rasulullah SAW akan memberitahu siapakah isterinya yang paling disayangi.
Di kalangan mereka ada yang sudah membuat andaian bahawa Siti Aisyah RA adalah isteri yang paling disayangi kerana Siti Aisyah merupakan isteri yang paling muda.
Isteri-isteri baginda sudah berdebar-debar siapakah yang menjadi pilihan isterinya yang paling disayangi.
Sebaik sahaja isteri-isterinya berkumpul, Rasulullah SAW menghampiri mereka dan dengan hati yang tenang serta wajah yang riang, Rasulullah SAW memberitahu, 
"Jika kalian ingin tahu, siapakah isteri yang paling kusayangi ialah mereka yang mendapat hadiah cincin dariku."

Mendengar jawapan Rasulullah SAW itu, tersenyumlah kesemua isteri-isterinya kerana mereka beranggapan hanya mereka sahajalah yang menerima hadiah cincin itu sedangkan pada hakikatnya semua isterinya mendapat hadiah yang sama.

Begitulah bijaksananya Rasulullah SAW menyelesaikan masalah supaya semua pihak mendapat kepuasan yang sama, 
adil dan tidak timbul keputusaan yang memihak atau berat sebelah.