Sabtu, 10 November 2012

DI BENCI WANITA TUA



"Aku benci! Aku benci! Aku benci!"
Itulah kata-kata yang dibebelkan oleh seorang wanita tua sambil mengemaskan pakaiannya ke dalam karung kerana hendak meninggalkan kampungnya untuk berhijrah ke tempat lain.

"Kalau aku terus menetap di sini nama dialah yang akan selalu aku dengar, sedangkan aku benci mendengar namanya itu," ujarnya ketika dipujuk oleh beberapa orang jirannya supaya membatalkan niatnya.
"Tak boleh, tak boleh, aku mesti tinggalkan kampung ini. Aku hendak ke negara lain yang tidak ada orang menyebut-nyebut namanya." ujarnya lagi.
"Nama siapa yang kamu tak boleh dengar itu?" Tanya seorang jiran yang pelik dengan perangai wanita tua itu.

"Muhammad! Kamu tentu pernah dengar nama itu. Di mana-mana, sekarang orang sebut namanya?" Beritahu wanita tua itu.
"Muhammad yang menyebarkan agama baru itu?" Tanya jiran wanita itu.
"Memang dialah. Siapa lagi?"
Tanya menghiraukan pujukan jiran-jirannya, wanita tua itu memikul pakaiannya sambil merendah panas mentari untuk meninggalkan tempat itu.
Kira-kira sepelaung perjalanan, keringat sudah menitik membasahi tubuh. 
Bahang padang pasir yang terasa memamah kulit tubuhnya.
Namun semua itu tidak mematahkan semangatnya yang membulatkan tekad tidak ingin mendengar nama itu lagi di tempat itu.
Dia berharap di tempat baru nanti, dia akan hidup aman dan telinganya tidak lagi mendengar nama lelaki yang tidak disukainya.
Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya membuak-buak tidak sukakan lelaki itu.

oleh kerana karung yang dibawanya terlalu berat, wanita tua itu akhirnya mengambil keputusan mengheret karung itu.
Apabila karung itu diheret sudah tentulah nampak kesan diheret pada padang pasir. 
Kebetulan pada masa itu seorang lelaki sedang melalui jalan yang sama dengan wanita tua itu.
Dia kasihan melihat wanita tua dan ingin memberikan bantuan.
Orang lelaki itu menghampiri wanita tua itu dan bertanya, 
"Wahai makcik, ke manakah makcik hendak pergi sampai mengheret karung yang berat ini?"
"Makcik hendak pergi jauh dari sini, makcik tidak mahu tinggal disini," ujar wanita tua itu.
"Kalau begitu biar saya yang bawakan karung ini," pelawa lelaki itu apabila melihat wanita tua itu mengesat peluhnya.
Wanita tua itu memberikan karungnya kepada lelaki itu dan memikulnya sambil meminta wanita tua itu berjalan di hadapan dan lelaki itu mengekorinya.
"Kenapa makcik mahu tinggalkan tempat ini? makcik tidak seronok tinggal disini?" Tanya orang lelaki itu.
"Makcik tidak tahan mendengar nama si Muhammad itu. Nama itu sekarang sudah menjadi bualan orang," tambah wanita tua itu lagi.
Sepanjang perjalanan wanita itu tidak habis-habis bercerita mengenai Muhammad. Dia sering memaki dan mencerca Muhammad seolah-olah tidak ada satu cerita yang baik mengenainya. Orang lelaki yang mendengar mulut wanita tua itu berleter hanya berdiam diri sahaja.
Kemudian wanita tua itu berpesan kepada orang lelaki itu, 

"hai anak muda, yang baik hati, kamu sudah menolongku ketika orang lain tidak ambil peduli melainkan kamu. Ramai orang lelaki yang gagah di sini yang lalu lalang tetapi tiada seorang pun sudi membantu, mereka berlalu begitu sahaja.
Aku tidak ada apa-apa untuk aku berikan sebagai membalas jasa kamu memikul karung itu, cuma aku hendak sampaikan satu pesanan penting untuk kamu," ujar wanita itu lagi memandang wajah orang lelaki yang tidak dikenali itu.
"Apakah pesananmu makcik?"
"Makcik minta kamu jauhi daripada orang yang bernama Muhammad itu, dia itu pembawa masalah kepada kaum kami ," ujarnya lagi.
"pernahkah makcik berjumpa dengan Muhammad itu?"
"Makcik tidak pernah bertemu dengan lelaki itu. Makcik cuma mendengar namanya sahaja yang sering dibualkan," ujarnya.
Lelaki itu hanya tersenyum saja mendengar pesanan makcik itu. Apabila sampai di mekah, lelaki itu menyerahkan karung yang dipikulnya kepada wanita itu.
"Manusia apakah aku ni? Lelaki itu telah bersusah payah menolong aku tanpa aku memintanya, tetapi aku tidak aku tidak mengucapkan terima kasih pun padanya jauh sekali untuk bertanyakan namanya,"
bisik hati wanita itu apabila melihat pemuda itu beredar.
Kemudian wanita tua itu mengejar lelaki itu untuk bertanyakan namanya.
"Hai anak muda, siapakah namamu? Kamu telah menolongku tetapi aku tidak berterima kasih padamu?"
"Nama saya Muhammad bin Abdullah."
Wanita itu tercengang seketika apabila mendengar nama itu.
Dia terasa langit yang tinggi itu runtuh dan mengempap tubuhnya.
Dia tidak percaya lelaki yang menolong memikul karung itu bernama Muhammad.
"Apakah benar nama kamu Muhammad bin Abdullah?" Tanya wanita tua itu untuk memastikan kebenarannya.
"Ya benar."
Kemudian wanita tua itu menyambung, "Tidak mungkin kamu si Muhammad itu kerana apa yang aku dengar tiada satu pun cerita baik yang aku dengar. Tetapi kamu lelaki yang berakhlak mulia," ujar wanita tua itu. Muhammad bin Abdullah hanya tersenyum mendengarnya.
"Adakah kamu lelaki yang aku ceritakan sepanjang perjalanan tadi?" Wanita tua itu memandang wajah lelaki yang bernama Muhammad itu.
"Ya sayalah orang yang makcik ceritakan sepanjang perjalanan tadi. Tetapi saya tidak ambil hati dengan cercaan makcik tadi, saya redha," ujar pemuda bernama Muhammad itu.
"Kalau begitu, apa yang aku dengar tentang kamu yang menjijikan adalah tidak benar?"
"Ya, memang tidak benar."
"Saya hairan bagaimana seorang yang baik seperti kamu, dicerca dan dihina orang lain. Jika benar kamu Muhammad, percayalah aku ingin kamu bersaksi bahawa aku akan beriman kepada Allah," 
beritahu wanita tua yang tiba-tiba berubah fikiran. Kemudian lelaki yang bernama Muhammad mengajar wanita tua itu mengucap dua kalimah syahadah dan dia kemudiannya menjadi muslimat yang baik dan terus beriman kepada Allah sehingga ke akhir hayat.