Isnin, 19 November 2012

Pemuda Meminta Izin Untuk Berzina..

Sebagai pemimpin yang disegani, Rasulullah SAW kerap didatangi oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Mereka membawa pelbagai masalah dan meminta bantuan rasulullah SAW untuk menyelesaikannya.
Baginda juga kerap menjadi rujukan jika masalah yang dihadapi oleh mereka tidak dapat diselesaikan sendiri.

Sama ada masalah yang diadukan kepada Rasulullah SAW itu kecil, besar atau masalah yang pelik, baginda tidak pernah menolak untuk menyelesaikannya. 
Begitulah halnya dengan masalah yang dihadapi oleh seorang pemuda yang datang kepadanya ketika baginda sedang bersama-sama para sahabatnya.
Pemuda itu datang membawakan masalah yang kurang sopan.
"Wahai anak muda, apakah masalah yang kamu hadapi?" 
Tanya Rasulullah SAW sambil memandang wajah pemuda yang berdiri di hadapannya.
"Saya hendak melakukan zina, ya Rasulullah,"  
beritahu pemuda tanpa segan silu menceritakan masalahnya.

Rasulullah SAW terdiam seketika sebaik sahaja mendengar pengakuan anak muda itu. 
Meskipun ada tetapi jarang sekali ada orang mengadu masalah yang pelik seperti itu.
Walaupun begitu Rasulullah SAW tetap mendengarnya.

Para sahabat yang bersama-sama dengan Rasulullah SAW ketika itu ada yang sudah tidak sabar dengan sikap pemuda itu.
Sepatutnya pemuda itu lebih maklum dan tidak perlu bertemu dengan Rasulullah SAW  untuk menyelesaikannya.
Bagaimanapun sikap para sahabatnya itu ditegah oleh Rasulullah SAW.
Baginda mahu mendengar apa lagi yang mahu dikatakan oleh pemuda itu.
"Apakah kamu suka jika melakukan zina dengan ibumu?" 
Tanya Rasulullah SAW setelah agak lama menyepi.
"Tidak," 
jawab pemuda itu ringkas.
"Terhadap saudara perempuanmu? Adakah juga kamu suka melakukannya?" 
Tanya Rasulullah SAW lagi.
"Ibu saudaramu?"
"Tidak ya Rasulullah," jawabnya.

Seterusnya Rasulullah SAW bertanya kepada mana-mana perempuan yang rapat dengannya. 
Kesemuanya dijawab tidak oleh pemuda itu.
"Beginilah, jika kamu tidak suka melakukan zina dengan ibumu, saudara perempuanmu atau mana-mana perempuan yang rapat dengan keluargamu, janganlah kamu hendak melakukan zina dengan mana-mana perempuan lain," 
jawab Rasulullah SAW dengan sopan dan dapat diterima oleh pemuda itu dengan rasa keinsafan.

Para sahabat pula kagum dengan sikap Rasulullah SAW yang dapat menyelesaikan masalah itu dengan buah fikiran yang boleh diterima akal.

Kemudian Rasulullah SAW berdoa,
"Ya Allah, sucikanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya."

Setelah mendengar penjelasan Rasulullah SAW itu, pemuda berkenaan mengakui kesilapannya dan tidak akan melakukan perbuatan itu walaupun keinginannya membuak-buak.
Tidak lama kemudian Rasulullah SAW mendapat khabar pemuda itu menjadi seorang manusia yang baik, menjauhkan diri daripada maksiat dan meninggalkan perbuatan yang mendatangkan dosa.