Rabu, 28 November 2012

Memuliakan Anak Perempuan...


Pada satu masa ketika Rasulullah SAW tiada di rumah, seorang perempuan miskin dengan dua orang anaknya hendak bertemu Rasulullah SAW. Oleh kerana Rasulullah SAW tidak ada, perempuan miskin itu bertemu dengan Aisyah RA, isteri Rasulullah SAW.
Oleh kerana kasihan melihatkan perempuan itu dengan dua anak perempuannya, Aisyah RA telah memeberikan tiga biji kurma. Kurma itu kemudian diberikan kepada anak-anaknya manakala sedikit untuk dirinya.
Kedua-dua anaknya makan kurma itu dengan berselera sekali. 
Selesai anak-anaknya makan, giliran perempuan itu pula untuk makan sisa kurma untuknya.
Tiba-tiba anaknya itu berkata, "Ibu, jangan makan kurma itu, kami masih lapar."
Melihatkan anak-anaknya masih perlukan kurma itu, perempuan itu terus memberikan kurma itu untuk dihabiskan. 
Setelah kenyang perempuan miskin dengan dua anak itu beredar dari situ.
Tidak lama kemudian Rasulullah SAW pulang ke rumah.
Setelah berehat, Aisyah RA menceritakan peristiwa tadi kepada Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW kemudian berkata, "Barang siapa yang mempunyai tiga anak perempuan dan mereka sabar dalam mendidiknya sama ada dalam keadaan susah atau senang, dia akan dimasukkan Allah ke dalam syurga kerana rahmat Allah terhadap anak-anak itu."

Dalam peristiwa lain yang ada hubung kait dengan perkara itu,
seorang lelaki bertanya, "Bagaimana jika ada dua anak perempuan ya Rasulullah?" 
Walaupun mempunyai dua anak perempuan, ibu itu juga akan dimasukkan ke dalam syurga," jawab Rasulullah SAW.
Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Bagaimana jika hanya ada satu anak perempuan?" 
Walaupun seorang, ibu itu juga akan dimasukkan ke syurga."

Sehubungan itu, Rasulullah SAW menasihati, "Barangsiapa yang mengeluarkan belanja untuk dua anak perempuan dan memiliki saudara perempuan atau kerabat perempuan atau kaum kerabat perempuan yang patut disediakan belanja untuk keduanya, sehingga keduanya diberi Allah kecukupan atau kemampuan, mereka akan menjadi pendinding (pelindung) dari api neraka."

Rabu, 21 November 2012

Hati Berubah Berkat Doa Rasulullah SAW..


Sebagai seorang anak yang sudah memeluk Islam, 
Abu Hurairah RA berusaha untuk memujuk ibunya menganut agama yang disebarkan oleh Rasulullah SAW tetapi malang usahanya itu gagal.
Malah pada satu ketika ibunya itu mengejek dan mencaci apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Perlakuan ibunya itu secara tidak langsung tidak disenangi oleh Abu Hurairah RA.

Abu Hurairah tidak sampai hati mendengar nama Muhammad dipersendakan, diejek dan dimaki oleh orang yang tidak suka dengan ajaran Islam yang dibawanya.
Pada suatu hari Abu Hurairah menemui Rasulullah SAW sambil menangis untuk mengadu mengenai sikap ibunya.
"Wahai Rasulullah SAW, aku sudah berusaha untuk mengajak ibuku supaya memeluk Islam tetapi dia pula memepersendakan dan merendah-rendahkan kemamapuanmu. Aku sudah tentu tidak suka dengan sikap ibuku itu," beritahu Abu Hurairah yang masih sedih dengan sikap ibunya memusuhi Islam.
"Abu Hurairah, apa yang boleh kamu lakukan ialah berdoa kepada Allah, semoga Allah membuka pintu hati ibu untuk memeluk Islam," 
beritahu Rasulullah SAW yang terharu dengan sikap Abu Hurairah.
Kemudian Rasulullah SAW turut berdoa, 
"Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada Abu Hurairah."
"Abu Hurairah, kamu pulanglah," ujar Rasulullah SAW yang gembira melihat Abu Hurairah tidak menangis lagi.
Abu Hurairah juga terlalu gembira kerana Rasulullah SAW turut mendoakan supaya pintu hati ibunya terbuka.
Dengan hati lapang, Abu Hurairah kembali semula ke rumahnya dengan wajah berseri-seri.
Sesampai sahaja di rumah, Abu Hurairah mendapati pintu rumahnya terkunci.
Abu Hurairah mengetuk berkali-kali dan dia yakin ibunya ada di dalam rumah.
Apabila mendengar Abu Hurairah pulang, ibunya yang berada di dalam bersuara, 
"Kamu tunggu sebentar di luar. Nanti ibu akan bukakan pintu."
Saat itu Abu Hurairah terdengar bunyi gemerincik air seolah-olah orang sedang membasuh muka. Tidak lama kemudian, ibunya muncul membuka pintu. Sebaik sahaja ibunya terpandang wajah Abu Hurairah, dia terus berkata,
"Wahai Abu Hurairah, aku bersaksi bahawa Muhammad itu Rasul Allah."
Abu Hurairah terkejut kerana begitu cepat ibunya berubah sedangkan ketika dia meninggalkan rumah sebentar tadi, hatinya masih keras. Lalu dia segera berkata,
"Benarkah apa yang aku dengar ini, wahai ibuku?"
"Ya benar. Ibu mengakui kerasulanMuhammad sebagai pesuruh Allah," ujar ibunya lagi.
Oleh kerana terlalu gembira, Abu Hurairah segera berpatah kembali ke rumah Rasulullah SAW untuk memberitahu berita gembira itu.
Kemudian Rasulullah SAW berkata,
"Segala puji bagi Allah. Itu adalah kebaikan dari-Nya."

Selasa, 20 November 2012

Wajar Mencurigai Keimanan...


Setiap kali Rasulullah SAW menyampaikan khutbah pada hari jumaat, sudah tentu ramai makmum akan tersentuh dengan isi kandungannya yang sangat menginsafkan malah ramai yang menangis apabila mengenangkan nasib yang menimpa mereka.

Hanzlah merupakan salah seorang yang mudah menangis apabila Rasulullah SAW membaca khutbah. 
Dia akan menghayati betul-betul apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Bagaimanapun kesan keinsafan yang dirasai oleh Hanzlah tidak lama.
Apabila dia kembali ke rumah mengingati anak dan isteri, dia tidak berasa sedih lagi malah kesan keinsafan itu beransur-ansur hilang.Hati  kecil Hanzlah selalu berkata-kata sendiri.
"Apakah aku ini seorang munafik. Apabila mengenangkan khutbah Rasulullah SAW hati aku menjadi insaf dan menitis air mata. 
Tetapi apabila aku pulang ke rumah, perasaan itu hilang tiba-tiba dan aku kembali seperti biasa. Bukankah ini munafik namanya?"

Kemudian Hanzlah bertemu dengan Abu Bakar RA dan menceritakan masalahnya.
"SubhanAllah. Apa yang kamu katakan ini? Kamu tidak mungkin menjadi munafik," kata Abu Bakar RA. Kemudian Abu Bakar bertanya, "Bagaimana sehingga kamu boleh mempunyai perasaan seperti ini, Hanzlah?"
"Semasa saya mendengar khutbah Rasulullah SAW tadi, saya berasakan seolah-olah syurga dan neraka berada sangat hampir kepada saya sehingga saya menitiskan air mata. Tetapi apabila selesai mendengar khutbah dan saya pulang ke rumah bertemu dengan anak-anak, saya menjadi lupa mengenai kampung akhirat," terang Hanzlah kepada Abu Bakar RA.
"Bukan kamu sahaja, saya juga rasa begitu. Kalau begitu, bagaimana kalau kita berjumpa Rasulullah untuk meminta pandangannya?" Cadang Abu Bakar RA.
Akhirnya mereka bersetuju untuk berjumpa Rasulullah SAW.
Sebaik sahaja berjumpa dengan Rasulullah SAW, Hanzlah menceritakan perkara yang dialami.

"Demi Allah, jiwaku di tangan-Nya. Jika kamu dapat memelihara selama-lamanya keghairahan yang diwujudkan, dalam sanubari kamu semasa berada di sisiku, sudah tentu malaikat akan mengucap selamat kepadamu semasa kamu berjalan dan semasa kamu tidur, tetapi wahai Hanzlah ini adalah perkara yang sangat jarang berlalu," ujar Rasulullah SAW ketika diminta buah fikirannya.
"Bagaimana keadaan aku sekarang?" Tanya Hanzlah dalam keadaan gelisah.
"Beginilah.Walau bagaimana teguh sekalipun keimanan seseorang dia tidak dapat menumpukan segala tenaga dan urusan terhadap akhiratnya semata-mata, kerana sebagai seorang manusia dia juga terpaksa bertanggungjawab terhadap urusan dunia. Walaupun ada manusia yang berperasaan demikian tetapi bilangannya sangat kecil. Bagaimanapun kita hendaklah memupuk perasan supaya sentiasa mencurugai keimanan kita," Jelas Rasulullah SAW.

Isnin, 19 November 2012

Pemuda Meminta Izin Untuk Berzina..

Sebagai pemimpin yang disegani, Rasulullah SAW kerap didatangi oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Mereka membawa pelbagai masalah dan meminta bantuan rasulullah SAW untuk menyelesaikannya.
Baginda juga kerap menjadi rujukan jika masalah yang dihadapi oleh mereka tidak dapat diselesaikan sendiri.

Sama ada masalah yang diadukan kepada Rasulullah SAW itu kecil, besar atau masalah yang pelik, baginda tidak pernah menolak untuk menyelesaikannya. 
Begitulah halnya dengan masalah yang dihadapi oleh seorang pemuda yang datang kepadanya ketika baginda sedang bersama-sama para sahabatnya.
Pemuda itu datang membawakan masalah yang kurang sopan.
"Wahai anak muda, apakah masalah yang kamu hadapi?" 
Tanya Rasulullah SAW sambil memandang wajah pemuda yang berdiri di hadapannya.
"Saya hendak melakukan zina, ya Rasulullah,"  
beritahu pemuda tanpa segan silu menceritakan masalahnya.

Rasulullah SAW terdiam seketika sebaik sahaja mendengar pengakuan anak muda itu. 
Meskipun ada tetapi jarang sekali ada orang mengadu masalah yang pelik seperti itu.
Walaupun begitu Rasulullah SAW tetap mendengarnya.

Para sahabat yang bersama-sama dengan Rasulullah SAW ketika itu ada yang sudah tidak sabar dengan sikap pemuda itu.
Sepatutnya pemuda itu lebih maklum dan tidak perlu bertemu dengan Rasulullah SAW  untuk menyelesaikannya.
Bagaimanapun sikap para sahabatnya itu ditegah oleh Rasulullah SAW.
Baginda mahu mendengar apa lagi yang mahu dikatakan oleh pemuda itu.
"Apakah kamu suka jika melakukan zina dengan ibumu?" 
Tanya Rasulullah SAW setelah agak lama menyepi.
"Tidak," 
jawab pemuda itu ringkas.
"Terhadap saudara perempuanmu? Adakah juga kamu suka melakukannya?" 
Tanya Rasulullah SAW lagi.
"Ibu saudaramu?"
"Tidak ya Rasulullah," jawabnya.

Seterusnya Rasulullah SAW bertanya kepada mana-mana perempuan yang rapat dengannya. 
Kesemuanya dijawab tidak oleh pemuda itu.
"Beginilah, jika kamu tidak suka melakukan zina dengan ibumu, saudara perempuanmu atau mana-mana perempuan yang rapat dengan keluargamu, janganlah kamu hendak melakukan zina dengan mana-mana perempuan lain," 
jawab Rasulullah SAW dengan sopan dan dapat diterima oleh pemuda itu dengan rasa keinsafan.

Para sahabat pula kagum dengan sikap Rasulullah SAW yang dapat menyelesaikan masalah itu dengan buah fikiran yang boleh diterima akal.

Kemudian Rasulullah SAW berdoa,
"Ya Allah, sucikanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya."

Setelah mendengar penjelasan Rasulullah SAW itu, pemuda berkenaan mengakui kesilapannya dan tidak akan melakukan perbuatan itu walaupun keinginannya membuak-buak.
Tidak lama kemudian Rasulullah SAW mendapat khabar pemuda itu menjadi seorang manusia yang baik, menjauhkan diri daripada maksiat dan meninggalkan perbuatan yang mendatangkan dosa. 

Berperang Melawan Nafsu..


Pada satu hari seorang lelaki menemui Rasulullah SAW kerana ingin memeluk Islam tetapi dia mempunyai tabiat yang sukar hendak ditinggalkan. Hal ini mungkin akan menyebabkan niatnya tidak akan tercapai. Bagaimanapun setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, barulah lelaki itu memberitahu masalahnya.
"Ya Rasulullah, sebenarnya saya selalu sangat berbuat dosa dan sukar hendak meninggalkannya," beritahu lelaki itu sambil duduk bersila di hadapan Rasulullah SAW.
"Kalau begitu sanggupkah kau berjanji untuk tidak berbohong lagi?" Tanya Rasulullah SAW ingin kepastian.
Ya, saya berjanji ya Rasulullah," balas lelaki itu dengan kemampuannya untuk melawan nafsunya sambil bangun dan meminta diri untuk pulang.
Rasulullah SAW difahamkan, sebelum lelaki itu memeluk Islam, lelaki itu pernah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Tetapi lelaki itu sudah berjanji di hadapan baginda untuk meninggalkan tabiat buruk itu. Ketika lelaki itu dalam perjalanan pulang, hati kecilnya berkata-kata sesama sendiri. 

"mampukah aku meninggalkan tabiat buruk yang selalu aku lakukan? Ini satu tugas berat dan sukar hendak aku lakukan," detik hati kecilnya.
Oleh kerana hatinya belum saratus peratus mantap, ada kalanya nalurinya ditarik-tarik untuk melakukan kejahatan.
Bagaimanapun ketika naluri ditarik-tarik untuk melakukan kejahatan, hati kecilnya akan berkata, "Apakah yang akan engkau jawab nanti apabila engkau ditanya Rasulullah jika engkau terus melakukan dosa?" 
Kalau aku berbohong, bermakna aku telah mengkhianati janjiku padanya. Tetapi jika aku bercakap benar, aku akan terima hukuman sebagai umat Islam," detik hati kecilnya.
Setelah beberapa bulan melawan nafsu, akhirnya lelaki itu berjaya berjuang dan mampu untuk berhijrah berubah menjadi insan yang mulia.

Ahad, 18 November 2012

Mendoakan Kerahmatan Roh Penjaga Masjid..


Setiap kali Rasulullah SAW pergi ke Masjid Nabawi, baginda akan terlihat seorang lelaki berkulit hitam yang tidak tampan sedang membersihkan kawasan masjid di samping menjaga masjid setiap masa.
Walau bagaimanapun kehadiran lelaki berkulit hitam itu tidak diambil peduli oleh mereka yang datang ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat. 
Para jemaah seolah-olah tidak menghiraukan tugas murni lelaki yang hitam itu ditambah pula keadaannya yang daif.
Sudah menjadi kebiasaan, apabila orang yang tidak dikenali atau daif memberikan bantuan atau sumbangan, jasa mereka tidak diambil peduli oleh orang ramai. Malah kehadiran mereka seolah-olah tidak dipandang oleh orang ramai.
Tetapi berlainan halnya jika sumbangan atau bantuan itu datangnya daripada orang ternama dan berkedudukan, walaupun jasanya sedikit tetapi akan menjadi bualan orang ramai.
Seperti biasa juga, lelaki berkulit hitam itu melaksanakan tugasnya membersihkan kawasan masjid di samping menjaganya pada waktu malam.
Dia melakukannya dengan rela hati tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Walaupun lelaki afrika ini tidak diambil peduli oleh orang ramai tetapi dia tetap setia menjalankan tugasnya menjaga dan membersihkan Masjid Nabawi.
Dia akan menjaga kebersihan dan kesucian masjid ini supaya para jemaah yang datang ke masjid berasa selesa.
Berlainan dengan Rasulullah SAW yang sentiasa perasan dengan apa yang dilakukan oleh lelaki afrika ini.
Pada satu ketika, oleh kerana sudah beberapa hari, Rasulullah SAW tidak melihat lelaki berkulit hitam ini di pengkarangan masjid.
Rasulullah SAW telah bertanya kepada para sahabat.
"Hai sahabat, apakah kamu tidak perasan ke manakah perginya lelaki berkulit hitam yang selalu membersihkan kawasan masjid dan menjaganya waktu malam? Sudah beberapa hari ini, saya tidak melihatnya? Adakah sesiapa yang tahu ke mana dia pergi?" Tanya Rasulullah SAW sambil memerhatikan sekitar kawasan masjid yang seolah-olah tidak diurus dengan baik.
"Ya Rasulullah. Lelaki yang Rasulullah maksudkan itu sebenarnya telah meninggal dunia beberapa hari lalu," jawab salah seorang sahabat yang mengetahui perkara itu.
Serta merta wajah Rasulullah SAW berubah.
Baginda terkejut kerana tidak diberitahu mengenai kematian lelaki berkulit hitam itu.

"Mengapa kamu tidak memberitahu kematian lelaki itu kepadaku?" Tanya Rasulullah SAW kepada sahabat yang memberitahu tadi.
Para sahabat Rasulullah SAW terdiam kerana tidak menyangka lelaki berkulit hitam dan jarang dipedulikan orang itu sebenarnya mendapat perhatian daripada Rasulullah SAW setiap kali baginda ke masjid.
"Sebenarnya kami tidak menyangka kehadirannya di masjid ini mendapat perhatian Rasulullah dan kami yakin Rasulullah tidak perasan kehadiran lelaki berkulit hitam itu," jawab sahabat Rasulullah SAW itu.
"Mungkin kerana kulitnya yang hitam, mukanya yang hodoh dan kerjanya hanya membersihkan kawasan masjid menyebabkan kamu semua tidak menghiraukan kehadirannya?"
Para sahabat Rasulullah SAW yang berada di situ diam semuanya.
Mereka tidak menyangka Rasulullah SAW begitu prihatin sekali kepada mereka yang peranannya kecil tetapi sumbangannya amat besar.
Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi, "Kalau begitu, kamu tunjukkan di manakah kubur lelaki itu. Aku ingin sekali menziarahinya."
Para sahabat kemudian membawa Rasulullah SAW menziarahi kubur lelaki yang letaknya tidak jauh dari situ. 
Sebaik sahaja Rasulullah SAW sampai di kubur lelaki yang masih baru itu, Rasulullah SAW terus berdoa.

"Ya Allah, ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat dan keampunan terhadap semua ahli kubur termasuk roh lelaki yang selama ini menjaga kebersihan Masjid Nabawi." Doa Rasulullah SAW kemudian diaminkan oleh para sahabatnya.

Selepas berdoa dan sebelum Rasulullah SAW beredar dari tanah perkuburan itu, Rasulullah SAW telah berpaling kepada para sahabatnya dan berkata, "Selama ini semua penghuni kubur di sini berada dalam kegelapan. Alhamdulillah sekarang Allah telah memperkenan permohonanku. Allah telah menerangkan semua kubur ini termasuklah kubur lelaki berkulit hitam ini." Pada malam hari semua kubur di situ didapati bercahaya kerana mendapat rahmat dan keampunan Allah dengan bantuan doa daripada Rasulullah SAW. 
Peristiwa itu secara tidak langsung memberikan peringatan kepada para sahabat supaya sentiasa menghargai setiap sumbangan kebaikan walaupun sumbangan itu kecil kerana pada hakikatnya sumbangan itu sangat besar di sisi Allah.

"Kamu harus ingat, sesungguhnya Allah menilai sumbangan seseorang bukan berpandukan besar atau kecil, banyak atau sedikit tetapi berpadukan keikhlasan hati mereka yang melakukannya,"  Rasulullah SAW mengingatkan para sahabatnya. 

Sabtu, 17 November 2012

KEBERANIAN, KETABAHAN DAN KEHEBATAN RASULULLAH

Keberanian dan ketabahan Rasulullah SAW sememangnya dikagumi oleh musuh-musuhnya apatah lagi ketika berhadapan dengan kaum kafir Quraisy yang melakukan pelbagai ancaman bunuh, menggangu ketenteraman dan sebagainya untuk mengagalkan usaha dakwahnya.
Walaupun ramai yang memusuhinya, Rasulullah SAW tetap bertawakkal kepada Allah sehinggakan pada satu ketika baginda berkata, "Tidak ada sesiapa yang mengikutiku malah ramai orang memusuhiku."

Keberanian dan ketabahannya menghadapi ujian terserlah ketika berlakunya Perang Uhud.
Sahal bin Sahat menceritakan apa yang dilihatnya ketika Perang Uhud, katanya, "Aku melihat sendiri bagaimana puteri baginda, Fatimah mencuci luka baginda dan Ali bin Abi Talib menyiram air ke atas lukanya dengan perisai. Siraman air itu menyebabkan darah semakin banyak mengalir. Kemudian Fatimah mengambil secarik tikar lalu membakar, kemudian membungkus luka baginda itu sehingga darah berhenti mengalir. Pada peristiwa itu juga gigi baginda patah dan kulit kepalanya terkoyak."

Sementara itu di dalam Perang Hunain, bapa saudara Rasulullah SAW al-Abbas bin Abdul Mutalib menceritakan, "Ketika pasukan kaum muslimin kucar-kacir, Rasulullah memacu kudanya ke arah pasukan musuh dan aku memegang tali pemacu kuda supaya tidak terlalu laju. Pada ketika itu, Baginda berkata: Aku adalah seorang Nabi bukan pendusta. Aku adalah cucu Abdul Mutalib." 
Menantu Rasulullah SAW, Ali bin Abi Talib yang terkenal sebagai pahlawan, penunggang kuda yang handal dan masyhur menceritakan, "Apabila dua pasukan sudah saling bertemu dan peperangan semakin sengit, kami berlindung di belakang Rasulullah SAW dan kami melihat tidak sesiapa pun yang berani mendekati musuh kecuali baginda." 

Manakala di dalam satu hadis yang dilaporkan oleh At-Tirmizi dan Ahmad, Rasulullah SAW berkata, "Sesungguhnya aku mendapat pelbagai ancaman kerana mahu menegakkan agama Allah dan aku yakin tiada seorang pun mendapat ancaman sepertiku. Malah pada satu ketika aku dan Bilal tidak menjamah makanan selama 30 hari 30 malam kerana tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan."
Pada satu peristiwa lain, Abu Dzar Al-Ghiffari melihat Rasulullah SAW sedang bersolat malam, lalu dia segera mengambil air sembahyang menjadi makmum. Pada rakaat pertama Rasulullah SAW membaca surah al-Baqarah dan terus membacanya sehingga beratus-ratus ayat. Abu Dzar berfikir mungkin Rasulullah SAW akan berhenti rukuk pada ayat 200  dan ketika Abu Dzar bersiap-siap untuk rukuk,  Rasulullah SAW masih terus membaca sehingga ayat 286. Abu Dzar berfikir, mungkin sampai ayat ini Rasulullah SAW akan rukuk tetapi Rasulullah SAW terus membaca surah Ali-Imran. 
Rasulullah SAW terus membaca surah Ali-Imran dan apabila hampir selesai surah Ali-Imran, Abu Dzar berfikir Rasulullah SAW akan berhenti untuk rukuk tetapi Rasulullah SAW meneruskan membaca surah an-Nisa'. Selesai membaca surah an-Nisa' barulah Rasulullah SAW rukuk.
"Ketika rukuk, lamanya baginda sama lamanya ketika baginda berdiri. Sungguh luar biasa dan hebatnya Rasulullah ketika beribadah. Saya pernah melihat kaki Rasulullah sampai bengkak-bengkak kerana terlalu lama berdiri apabila membaca surah yang panjang ," kata Abu Dzar yang tidak serik menjadi makmum kepada Rasulullah.
Kata Abu Dzar lagi, "Sebenarnya Rasulullah tidak perlu begitu lama beribadah kerana sudah dijamin masuk Syurga. Tetapi itulah bentuk syukur Rasulullah kepada Allah di atas nikmat yang dianugerahkan. Itulah juga yang Rasulullah anjurkan kepada umatnya sebagai satu cara mensyukuri nikmat-Nya."

Khamis, 15 November 2012

UMAR MENANGIS KERANA RASULULLAH



Di kalangan para sahabat Rasulullah SAW, Umar Al-Khattab RA merupakan seorang yang berperwatakan gagah perkasa, kasar di samping sikap berani yang sering ditakuti oleh kawan dan lawan.

Malah dalam satu kisah ada diceritakan betapa syaitan sendiri takut dengan Umar. Apabila syaitan bertembung dengan Umar di jalanan, syaitan akan berusaha beralih ke jalan lain. Begitu takutnya syaitan kepada Umar.
Kehebatan Umar sememangnya menjadi buah mulut di kalangan umat Islam.
Tetapi tiada siapa tahu, di dalam keperkasaan Umar itu, dia pernah menangis kerana Rasulullah SAW.
Satu ketika Umar ingin mengunjungi Rasulullah SAW. 
Apabila Umar sampai di mana Rasulullah SAW berada, tiba-tiba dia menitiskan air matanya tanpa sempat ditahan-tahan.
Apabila Rasulullah SAW yang sedang berbaring menyedari kehadiran Umar yang sedang menangis, baginda segera bertanya, Mengapa kamu menangis wahai Umar?" 
"Bagaimanalah saya tidak menangis ya Rasulullah, Rasulullah berbaring di atas tikar yang kasar kemudian berbantal pula dengan pelepah daun kurma yang keras. Tikar ini akan menyebabkan tubuh Rasulullah berbekas sedangkan Rasulullah ini seorang nabi dan kekasih Allah," balas Umar sambil duduk di sisi Rasulullah SAW. 
Air matanya dibiarkan mengalir kerana sedih melihat seorang kekasih Allah hidup dalam kedaifan.
"Umar, kamu tentu berfikir mengapa seorang nabi sepertiku ini memilih hidup seperti ini?" Tanya Rasulullah SAWsambil duduk bersila menghadap Umar.
"Sudah tentu ya Rasulullah sedangkan Kisra dan Kaisar tinggal dalam singgahsana emas dan berbantalkan sutera, tetapi Rasulullah lebih gemar memilih cara hidup seperti ini," ujar Umar.
"Umar, mereka adalah golongan menikmati kesenangan dengan segera dan ia akan cepat berakhir. 
Manakala kita adalah kaum yang menangguhkan kesenangan untuk hari akhirat. Ini ibarat orang yang bermusafir pada musim panas, dia akan berlindung sebentar di bawah pokok, apabila panas berlalu, mereka akan beredar pergi,"
Ujar Rasulullah SAW lagi sambil memandang wajah Umar.
Umar yang tidak lagi menangis berkata, "Benar kata Rasulullah.
Dunia ini hanya tempat berehat untuk sementara, hanya tempat untuk berteduh, kemudian kita akan peri ke alam akhirat,"
"Janganlah kamu risau akan diriku, apabila lihat kehidupanku begini. Aku tidak mengharapkan kesenangan di dunia," jelas Rasulullah SAW. Begitulah para sahabat yang mengambil berat tentang kehidupannya.

Isnin, 12 November 2012

Kisah Rasulullah Bersama Pemuda Syurga 'Ukasyah



Satu waktu beberapa hari sebelum kewafatan baginda s.a.w, Ukasyah berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Ya Rasulullah, ada satu waktu, tuan ada memukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu saya hendak tahu apakah tuan sengaja memukul saya atau hendak memukul unta? “Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai Ukasyah, saya sengaja memukul kamu.” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata
 kepada Bilal, “Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkatku ke mari.” Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan tangannya di atas kepala dengan berkata, “Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk dibalas (Qisas).”

Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah menyahut dengan berkata: “Siapakah di pintu?” Lalu Bilal berkata: “Saya Bilal, saya telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk mengambil tongkat beliau. “Kemudian Fatimah berkata: “Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya?” Berkata Bilal “Wahai Fatimah, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqisas” Bertanya Fatimah lagi: “Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqisas Rasulullah?” Bilal tidak menjawab pertanyaan Fatimah. Setelah Fatimah memberikan tongkat tersebut, maka Bilal pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah. Setelah Rasulullah s.a.w. menerima tongkat tersebut dari Bilal maka beliau pun menyerahkan kepada Ukasyah.

Melihatkan hal yang demikian maka Abu Bakar dan Umar tampil ke depan sambil berkata: “Wahai Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah tetapi kamu qisaslah kami berdua sebagai ganti” Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar kata-kata Abu Bakar dan Umar maka dengan segera beliau berkata: “Wahai Abu Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya Allah telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua.”

Kemudian Ali bangun, lalu berkata, “Wahai Ukasyah! Aku adalah orang yang senantiasa berada di samping Rasulullah oleh itu kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqisaskan Rasulullah” Lalu Rasulullah berkata, “Wahai Ali duduklah kamu, sesungguhnya Allah telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu.”

Setelah itu Hasan dan Husin bangun dengan berkata: “Wahai Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahwa kami ini adalah cucu Rasulullah, kalau kamu menqisas kami sama dengan kamu menqisas Rasulullah” Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah pun berkata, “Wahai buah hatiku duduklah kamu berdua.” Berkata Rasulullah “Wahai ‘Ukasyah pukullah saya kalau kamu hendak memukul.”

Kemudian Ukasyah berkata: “Ya Rasulullah, tuan telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju.” Maka Rasulullah pun membuka baju baginda. Setelah Rasulullah membuka baju maka menangislah semua yang hadir. Setelah Ukasyah melihat tubuh Rasulullah maka dengan segera dia pun memeluk dan mencium baginda dan berkata, “Saya tebus anda dengan jiwa saya ya Rasulullah, siapakah yang sanggup memukul tuan? Saya melakukan begini adalah sebab saya ingin menyentuh badan tuan yang dimuliakan oleh Allah dengan badan saya. Dan Allah menjaga saya dari neraka dengan kehormatanmu”

Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, “DENGARLAH KAMU SEKALIAN, SEKIRANYA KAMU HENDAK MELIHAT AHLI SYURGA, INILAH ORANGNYA.” Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata, “WAHAI ‘UKASYAH, INILAH KEUNTUNGAN YANG PALING BESAR BAGIMU, ENGKAU TELAH MEMPEROLEHI DARJAT YANG TINGGI DAN BERTEMANKAN RASULULLAH S.A.W. DI DALAM SYURGA.”
 

Nak tahu siapa WANITA YANG PERTAMA MASUK SYURGA?



Suatu hari puteri Nabi SAW. Fatimah Az Zahra ra. bertanya kepada Rasulullah SAW. Siapakah wanita pertama yang memasuki syurga setelah para “Ummahatul mukminin” setelah para isteri – isteri Nabi SAW…. Rasulullah bersabda: Dialah MUTIAH.
Siti Fatimah adalah anak Rasulullah yang mempunyai budi pekerti yang baik dan beliau amat taat kepada ajaran Islam, dan sifat-sifatnya sama seperti bapanya yakni Nabi Muhammad S.A.W. Pada suatu hari ketika Rasullah sedang bercerita tentang kenikmatan syurga kepada Siti Fatimah, maka baginda pun bersabda, “Aduhai anakandaku, ada seorang wanita dari kalangan orang kebanyakan (orang biasa) yang pertama akan masuk syurga lebih dahulu daripadamu”.

Mendengar sahaja kata-kata ayahandanya itu, maka berubahlah air mukanya lantas ia menangis dan berkata, “Siapakah perempuan itu wahai ayahanda? Macam mana halnya dan bagaimana pula amalannya sehingga dia dapat lebih dahulu masuk ke dalam syurga daripada anakanda? Ayahanda, khabarkanlah di mana dia sekarang”

Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, “Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud, kira-kira 3 batu dari Madinah”. Tanpa membuang masa, Siti Fatimah pun keluar pergi mencari perempuan yang dikatakan masuk syurga terlebih dahulu daripadanya. Setelah dia sampai ke rumah perempuan itu, lalu dia mengetuk pintu sambil memberi salam.



Perempuan yang Rasulullah maksudkan itu membuka pintu dan bertanyakan hajat Siti Fatimah datang ke rumahnya tanpa menjemputnya masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah berkata, “Saya datang ke mari kerana hendak berjumpa dan berkenalan dengan awak”. Perempuan itu menjawab, “Terima kasih cik, tetapi saya tidak dapat membenarkan cik masuk kerana suami saya tidak ada di rumah . Nanti saya minta izin apabila dia balik nanti. Silalah datang pada esok hari”.

Dengan perasaan sedih dan dukacita Siti Fatimah pulang kerana tidak dapat masuk dan bercakap panjang dengan perempuan tersebut. Esoknya dia kembali lagi ke rumah perempuan itu dengan membawa anaknya yang bernama Hasan. Apabila tiba di pintu rumah perempuan tersebut dan hendak dipersilakan masuk, tiba-tiba perempuan itu melihat ada budak bersama-sama Siti Fatimah, lalu dia berkata, “Ini siapa?”. Anakanda Rasulullah menjawab, “Ini anak saya, Hasan”. Perempuan itu lantas berkata, “Saya dukacita kerana saya belum meminta izin untuk anak ini masuk daripada suami saya”.

Siti Fatimah jadi serba salah lalu dia pun balik kembali ke rumahnya. Esoknya Siti Fatimah datang lagi ke rumah perempuan itu tapi kali ini dia membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Perempuan ahli syurga itu terkejut melihat ada seorang budak lagi yang belum diminta izin dari suaminya untuk masuk ke dalam rumah. Siti Fatimah tersipu malu lalu dia balik dengan perasaan hampa.

Dalam perjalanan pulang, hatinya berkata-kata, “Perempuan ini sangat takut kepada suaminya, sehingga perkara yang begini pun dia tak berani melakukannya. Pada hal jika dia membenarkan aku masuk, takkan suaminya marah? Tak usahlah pandang aku ini siapa dan dua budak ni cucu siapa, pandanglah kepada tetamu dan orang jauh sudahlah” bisik hatinya sambil menangis teresak-esak.

Sebaik sahaja suami kepada perempuan itu pulang, perempuan itu memberitahu perihal budak yang seorang lagi yang dibawa oleh Siti Fatimah. Suaminya yang terkejut dan hairan pun berkata, “Kenapa awak tahan sampai begitu sekali? Bukankah Siti Fatimah itu puteri Rasulullah S.A.W dan dua orang anaknya itu cucu baginda. Lebih daripada itu pun awak patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaan Rasulullah s.a.w. Jangan awak buat seperti itu lagi, jika dia membawa sesiapa pun, terimalah mereka dengan baik dan hormatilah mereka semua”.

Isterinya menyahut, “Baiklah, tetapi maafkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak, suami saya. Oleh itu saya tak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati awak”. “Terima Kasih” sahut suaminya.

Pada hari seterusnya, Siti Fatimah datang lagi dengan membawa dua orang puteranya. Setelah diterima masuk dan dijamu dengan buah kurma dan air, mereka pun memulakan perbualan. Dalam pada itu, perempuan itu berjalan ke arah muka pintu rumahnya sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menantikan kedatangan seseorang dengan tidak berapa memperdulikan Siti Fatimah. Sambil itu Siti Fatimah melihat di tangan perempuan itu terdapat sebatang tongkat dan sebuah bekas berisi air manakala tangan yang sebelah lagi mengangkat hujung kain sehingga menampakkan betis dan pehanya dan mukanya penuh dengan senyuman yang manis.

Melihat keadaan sebegitu rupa dengan perasaan resah kerana tidak diperdulikan lalu Siti Fatimah bertanya, “Mengapa jadi begini?” Perempuan itu menyahut, “Cik, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan kepulangan suami saya”. “Buat apa dengan bekas air itu?” tanya Siti Fatimah. Jawab perempuan itu, “Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik, saya akan segera menghulurkan air ini kepadanya supaya tidak terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah”.

Kemudian Siti Fatimah bertanya lagi, “Buat apa pula dengan tongkat itu?” Perempuan itu menjawab, “Jika suami saya marah, mudahlah dia memukul saya dengan tongkat ini”. Siti Fatimah bertanya lagi, “Kenapa pula awak selak kain awak sehingga menampakkan aurat, bukankah itu haram?” Maka perempuan itu berkata, “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada maksudnya”.

Selesai sahaja perempuan itu menjawab segala pertanyaannya, Siti Fatimah termenung dan hairan lalu dia berkata, “Jika begini kelakuan dan perangainya terhadap suaminya, tidak dapatlah aku mengikutnya. Patutlah dia masuk ke syurga dahulu daripada aku serta wanita-wanita lain. Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami itu bergantung kepada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya”.

Sambil teresak-esak menangis dan menitis air matanya, Siti Fatimah meminta izin untuk pulang dan dia segera mengadap ayahandanya Rasulullah s.a.w lalu berkata, “Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi kerana tidak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan perempuan yang ayahanda maksudkan itu”.

Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w mendengar rintihan puterinya lalu baginda bersabda sambil tersenyum, “Anakanda, janganlah susah hati, perempuan yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali ras kendali tunggangan anakanda tatkala masuk ke syurga. Jadi dialah yang masuk terlebih dahulu”. Setelah mendengar penjelasan itu, barulah Siti Fatimah tersenyum ketawa.

Dari kisah yang diceritakan di atas, dapat kita lihat bahawa ketaatan seorang isteri kepada suaminya adalah sangat penting dalam institusi rumah tangga. Oleh itu kepada semua wanita yang bergelar isteri, sahutlah seruan cerita ini, taatlah serta berbuat baiklah kepada suami masing-masing, nescaya akan diredhai oleh suami anda. Fikirkanlah sejenak, di mana kedudukan anda sekarang di sisi Allah kerana keredhaan Allah adalah keredhaan suami anda.

TAUBAT PEREMPUAN BERZINA

Gambar Hiasan

Pada satu hari, Abu Hurairah RA salah seorang sahabat Rasulullah SAW sedang berjalan di Kota Mekah.
Ketika sedang berjalan, dia ternampak seorang perempuan yang wajahnya murung sedang duduk di satu sudut seolah-olah sedang menghadapi masalah besar.
Abu Hurairah RA memerhatikan dari jauh dan sifat ingin tahu mengapa perempuan itu dalam keadaan bersedih menyebabkan dia menghampiri wanita itu.
"Mengapakah wajah kamu murung wahai perempuan?" Tanya Abu Hurairah RA sambil memerhatikan wajah perempuan yang tidak pernah ditemuinya itu.
"Saya telah melakukan dosa besar, tuan," beritahu wanita itu dengan suara yang jelas.
"Dosa besar apakah yang telah kamu lakukan? Cuba ceritakan kepadaku?" Pinta Abu Hurairah RA yang berdiri memandang wajah wanita itu.

"Begini tuan. Saya telah melakukan zina sehingga melahirkan seorang anak kemudian anak itu saya bunuh," ujarnya sambil menangis teresak-esak dan mengesat matanya dengan hujung bajunya.

Abu Hurairah RA mengeleng sambil berkata, "Celakalah engkau wahai perempuan!"

"Tetapi tuan, saya sudah bertaubat. saya sudah menyesal di atas perbuatan yang saya lakukan. Saya mahu menjadi manusia yang baik. Tetapi jawapan tuan menyebabkan saya sangat sedih seolah-olah taubat saya tidak di terima," balas wanita itu sambil bangun. Dia terus menangis dan beredar dari situ membawa hatinya yang hancur kerana niatnya ingin kembali ke pangkal jalan tidak di hargai.
selepas perempuan itu pergi barulah Abu Hurairah RA tersedar, dia telah terlepas cakap.
"Benarkah apa yang telah aku katakan tadi?" Tanya hati kecilnya sambil menggaru-garukan kepalanya.
Oleh kerana dia sendiri ragu-ragu dengan jawapan yang diberikan kepada perempuan itu, dia segera pergi bertemu Rasulullah SAW untuk menyelesaikan masalah itu.
Secara kebetulan Rasulullah SAW sedang berada di rumahnya dan dia segera menyatakan hajatnya itu.
Sebaik mendengar masalah yang dibawa Abu Hurairah RA itu, Rasulullah SAW membacakan beberapa potong ayat suci dalam surah al-Furqan. Pada ayat ke 70, surah itu membawa maksud, "orang-orang yang telah bertaubat dan melakukan kebajikan, maka kejahatan-kejahatan orang itu diganti Tuhan dengan kebaikan-kebaikan."
"Apakah jawapan yang telah saya berikan kepada perempuan itu sesuatu yang tidak wajar wahai Rasulullah?" Tanya Abu Hurairah RA inginkan kepastian.
"Perempuan itu sebenarnya mahu mengharapkan orang lain memberikan peluang kepadanya untuk melakukan kebajikan setelah tersedar melakukan kesilapan. Kamu sepatutnya membantu dan bukan mencelanya," Tambah Rasulullah SAW lagi.

Setelah mendengar penjelasan Rasulullah SAW itu, Abu Hurairah menyesal terhadap kenyataannya terhadap perempuan itu.

Sebelum beredar, Rasulullah SAW telah berpesan kepadanya, "Wahai Abu Hurairah, jadilah engkau seorang yang warak nescaya engkau akan menjadi manusia yang sangat kuat ibadat. Dan jadilah orang yang suka menerima apa yang ada supaya kau menjadi manusia yang sangat bersyukur dan sukalah kepada sesama manusia apa yang kau suka untuk dirimu sendiri nescaya engkau menjadi mukmin yang sebenar-benarnya dan perbaikilah hubungan dengan tetanggamu nescaya engkau akan menjadi muslim yang sejati dan kurangilah ketawamu kerana banyak ketawa akan mematikan hati kamu."

Abu Hurairah RA berasa insaf dengan pesanan Rasulullah SAW itu dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.
Tanpa berlengah, Abu Hurairah segera mencari perempuan tadi.
Nasibnya baik, dia dapat bertemu semula dengan perempuan tadi.
Abu Hurairah RA telah menerangkan penjelasan yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW tadi kepada perempuan itu.
Sebaik sahaja mendengar penjelasan yang diberikan oleh Abu Hurairah RA itu, wajah perempuan yang bersedih itu segera bertukar gembira.
"Saya minta maaf dan menarik balik kata-kata yang saya berikan tadi sehingga kamu berasa kecil hati," beritahu Abu Hurairah RA kepada perempuan itu.

"Terima kasih tuan. Sekarang baru saya rasakan hidup saya seperti ada cahaya semula. Percayalah saya sudah bertaubat dan tidak mahu mengulangi lagi perbuatan terkutuk itu," kata perempuan itu mengulangi janjinya.
"Saya akan menyampaikan ucapan terima kasih itu kepada Rasulullah. Bagindalah sebaik-baik manusia untuk kita merujuk jika menghadapi sebarang masalah," ujar Abu Hurairah.

Sejak peristiwa itu, perempuan itu menjadi perempuan yang solehah. Dia mengamalkan kebajikan lalu mewakafkan sebidang kebunnya untuk dikerjakan bagi tujuan ke jalan Allah.

Sabtu, 10 November 2012

DI BENCI WANITA TUA



"Aku benci! Aku benci! Aku benci!"
Itulah kata-kata yang dibebelkan oleh seorang wanita tua sambil mengemaskan pakaiannya ke dalam karung kerana hendak meninggalkan kampungnya untuk berhijrah ke tempat lain.

"Kalau aku terus menetap di sini nama dialah yang akan selalu aku dengar, sedangkan aku benci mendengar namanya itu," ujarnya ketika dipujuk oleh beberapa orang jirannya supaya membatalkan niatnya.
"Tak boleh, tak boleh, aku mesti tinggalkan kampung ini. Aku hendak ke negara lain yang tidak ada orang menyebut-nyebut namanya." ujarnya lagi.
"Nama siapa yang kamu tak boleh dengar itu?" Tanya seorang jiran yang pelik dengan perangai wanita tua itu.

"Muhammad! Kamu tentu pernah dengar nama itu. Di mana-mana, sekarang orang sebut namanya?" Beritahu wanita tua itu.
"Muhammad yang menyebarkan agama baru itu?" Tanya jiran wanita itu.
"Memang dialah. Siapa lagi?"
Tanya menghiraukan pujukan jiran-jirannya, wanita tua itu memikul pakaiannya sambil merendah panas mentari untuk meninggalkan tempat itu.
Kira-kira sepelaung perjalanan, keringat sudah menitik membasahi tubuh. 
Bahang padang pasir yang terasa memamah kulit tubuhnya.
Namun semua itu tidak mematahkan semangatnya yang membulatkan tekad tidak ingin mendengar nama itu lagi di tempat itu.
Dia berharap di tempat baru nanti, dia akan hidup aman dan telinganya tidak lagi mendengar nama lelaki yang tidak disukainya.
Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya membuak-buak tidak sukakan lelaki itu.

oleh kerana karung yang dibawanya terlalu berat, wanita tua itu akhirnya mengambil keputusan mengheret karung itu.
Apabila karung itu diheret sudah tentulah nampak kesan diheret pada padang pasir. 
Kebetulan pada masa itu seorang lelaki sedang melalui jalan yang sama dengan wanita tua itu.
Dia kasihan melihat wanita tua dan ingin memberikan bantuan.
Orang lelaki itu menghampiri wanita tua itu dan bertanya, 
"Wahai makcik, ke manakah makcik hendak pergi sampai mengheret karung yang berat ini?"
"Makcik hendak pergi jauh dari sini, makcik tidak mahu tinggal disini," ujar wanita tua itu.
"Kalau begitu biar saya yang bawakan karung ini," pelawa lelaki itu apabila melihat wanita tua itu mengesat peluhnya.
Wanita tua itu memberikan karungnya kepada lelaki itu dan memikulnya sambil meminta wanita tua itu berjalan di hadapan dan lelaki itu mengekorinya.
"Kenapa makcik mahu tinggalkan tempat ini? makcik tidak seronok tinggal disini?" Tanya orang lelaki itu.
"Makcik tidak tahan mendengar nama si Muhammad itu. Nama itu sekarang sudah menjadi bualan orang," tambah wanita tua itu lagi.
Sepanjang perjalanan wanita itu tidak habis-habis bercerita mengenai Muhammad. Dia sering memaki dan mencerca Muhammad seolah-olah tidak ada satu cerita yang baik mengenainya. Orang lelaki yang mendengar mulut wanita tua itu berleter hanya berdiam diri sahaja.
Kemudian wanita tua itu berpesan kepada orang lelaki itu, 

"hai anak muda, yang baik hati, kamu sudah menolongku ketika orang lain tidak ambil peduli melainkan kamu. Ramai orang lelaki yang gagah di sini yang lalu lalang tetapi tiada seorang pun sudi membantu, mereka berlalu begitu sahaja.
Aku tidak ada apa-apa untuk aku berikan sebagai membalas jasa kamu memikul karung itu, cuma aku hendak sampaikan satu pesanan penting untuk kamu," ujar wanita itu lagi memandang wajah orang lelaki yang tidak dikenali itu.
"Apakah pesananmu makcik?"
"Makcik minta kamu jauhi daripada orang yang bernama Muhammad itu, dia itu pembawa masalah kepada kaum kami ," ujarnya lagi.
"pernahkah makcik berjumpa dengan Muhammad itu?"
"Makcik tidak pernah bertemu dengan lelaki itu. Makcik cuma mendengar namanya sahaja yang sering dibualkan," ujarnya.
Lelaki itu hanya tersenyum saja mendengar pesanan makcik itu. Apabila sampai di mekah, lelaki itu menyerahkan karung yang dipikulnya kepada wanita itu.
"Manusia apakah aku ni? Lelaki itu telah bersusah payah menolong aku tanpa aku memintanya, tetapi aku tidak aku tidak mengucapkan terima kasih pun padanya jauh sekali untuk bertanyakan namanya,"
bisik hati wanita itu apabila melihat pemuda itu beredar.
Kemudian wanita tua itu mengejar lelaki itu untuk bertanyakan namanya.
"Hai anak muda, siapakah namamu? Kamu telah menolongku tetapi aku tidak berterima kasih padamu?"
"Nama saya Muhammad bin Abdullah."
Wanita itu tercengang seketika apabila mendengar nama itu.
Dia terasa langit yang tinggi itu runtuh dan mengempap tubuhnya.
Dia tidak percaya lelaki yang menolong memikul karung itu bernama Muhammad.
"Apakah benar nama kamu Muhammad bin Abdullah?" Tanya wanita tua itu untuk memastikan kebenarannya.
"Ya benar."
Kemudian wanita tua itu menyambung, "Tidak mungkin kamu si Muhammad itu kerana apa yang aku dengar tiada satu pun cerita baik yang aku dengar. Tetapi kamu lelaki yang berakhlak mulia," ujar wanita tua itu. Muhammad bin Abdullah hanya tersenyum mendengarnya.
"Adakah kamu lelaki yang aku ceritakan sepanjang perjalanan tadi?" Wanita tua itu memandang wajah lelaki yang bernama Muhammad itu.
"Ya sayalah orang yang makcik ceritakan sepanjang perjalanan tadi. Tetapi saya tidak ambil hati dengan cercaan makcik tadi, saya redha," ujar pemuda bernama Muhammad itu.
"Kalau begitu, apa yang aku dengar tentang kamu yang menjijikan adalah tidak benar?"
"Ya, memang tidak benar."
"Saya hairan bagaimana seorang yang baik seperti kamu, dicerca dan dihina orang lain. Jika benar kamu Muhammad, percayalah aku ingin kamu bersaksi bahawa aku akan beriman kepada Allah," 
beritahu wanita tua yang tiba-tiba berubah fikiran. Kemudian lelaki yang bernama Muhammad mengajar wanita tua itu mengucap dua kalimah syahadah dan dia kemudiannya menjadi muslimat yang baik dan terus beriman kepada Allah sehingga ke akhir hayat.

KISAH PENGHUNI SYURGA..

Anas bin Malik, salah seorang sahabat Rasulullah SAW ketika bersama-sama baginda, pernah mencaritakan, Rasulullah SAW berkata, "Seorang lelaki penghuni syurga akan datang kepada kita sebentar lagi."

Gambar  Hiasan


Memang benarlah seprti apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW itu. Tidak lama kemudian datang seorang lelaki dari pada kaum Ansar yang masih dalam keadaan berwuduk dengan janggutnya yang masih basah menghampiri Rasulullah dan para sahabat.
Di tangan kirinya memegang terompah.
Pada keesokkan harinya pula Rasulullah SAW.
berkata kepada para sahabatnya, "Akan datang lagi seorang lelaki penghuni syurga ke mari."
Benarlah kata-kata Rasulullah SAW itu. 
Tidak lama selepas itu datang seorang lelaki sebagaimana yang datang pada hari semalam.
Keesokkan harinya, hari ketiga Rasulullah SAW juga berkata sebagaimana yang dikatakan pada hari pertama dan kedua.
Apabila lelaki itu beredar, Abdullah bin Amir bin Ash seorang sahabat Rasulullah SAW mengekori lelaki itu pulang ke rumahnya.
Bagaimanapun perbuatan Abdullah itu telah menyebabkan dia bertengkar dengan ayahnya.
"Aku tidak akan bertemu denganmu ayah selama tiga hari dan kalau ayah setuju, aku mahu tinggal bersama-sama lelaki itu untuk seketika," beritahu Abdullah dan permintaan Abdullah itu disetujui oleh ayahnya.
Akhirnya Abdullah mengikut lelaki itu dan tinggal tiga hari bersamanya.
Ketika bersama-sama lelaki itu, Abdullah tidak pernah melihat lelaki itu bangun tengah malam untuk melakukan tahajjud.
Lelaki itu hanya mengeliat di tempat tidurnya sambil berzikir dan bertakbir sehinggalah lelaki itu bangun untuk menunaikan solat subuh.
selain itu, Abdullah tidak pernah mendengar lelaki itu berkata-kata kecuali perkataan yang baik-baik sahaja.
Setelah tiga hari berakhir dan ketika hati kecilnya berkata-kata, beginikah orang yang dikatakan ahli syurga, Abdullah tergerak untuk bertanya kepada lelaki itu, "Wahai hamba Allah, sesungguhnya tidak pernah terjadi pertengkaran dan tidak bertegur sapa antara aku dan ayahku. Aku hanya mendengar Rasulullah bercerita mengenaimu tiga kali mengenai kedatangan seorang ahli syurga.
Justeru aku sendiri ingin melihat apakah amalanmu sehingga kamu dikatakan ahli syurga?"

"Oh, jadi selama ini kamu tinggal bersama-samaku hanya semata-mata mahu melihat sendiri apakah yang aku lakukan? Kamu juga ingin apakah yang dikatakan Rasulullah itu benar atau tidak?" 
Tanya lelaki itu tidak berasa curiga dengan perbuatan Abdullah itu malah dia senang sekali menerima kehadiran Abdullah.

Abdullah mengangguk kemudian berkata, "Kalau boleh aku mahu mengikut jejak amalanmu tetapi apabila aku lihat sendiri, kamu tidak banyak beramal, bagaimana Rasulullah SAW boleh mengatakan kamu seorang penghuni syurga?"

Akhirnya lelaki itu berterus terang.
"Aku sebenarnya tidak mempunyai apa-apa amalan. Apa yang kau lihat, itulah apa yang aku lakukan sehari-hari. Cuma aku tidak pernah berlaku curang dengan sesiapa pun. 
Aku juga tidak pernah ada sifat iri hati terhadap apa yang Allah kurniakan kepada orang lain." ujar lelaki itu lagi.

"Lalu inilah amalanmu selama ini yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain kerana terlalu berat tetapi mendapat darjat yang tinggi." ujar Abdullah lagi.
"Ya, memang ini satu kerja yang berat dan adakah kamu sanggup mengikuti apa yang aku lakukan?"
Abdullah tidak menjawab tetapi dia sudah faham mengapa Rasulullah SAW mengata lelaki itu penghuni syurga.

~ Bijaksana Terhadap Isteri-isteri ~

PADA suatu ketika isteri-isteri Rasulullah SAW menemui baginda.
Mereka diketuai oleh Siti Aisyah RA. Apabila melihat isteri-isternya beramai-ramai menemuinya, sudah pasti ada sesuatu yang hendak diadukan.
Begitu detik hati Rasulullah SAW ketika melihat wajah isteri-isterinya yang ceria.
Rasulullah SAW meminta isteri-isterinya duduk bersila seperti mengelilingi satu bulatan.
Setelah bertanya khabar, Rasulullah SAW meminta salah seorang isteri-isterinya mengemukakan permasalahan masing-masing.
Siti Aisyah RA yang mengetuai pertemuan itu berkata,
"Wahai Rasulullah, siapakah di antara isteri-isteri Rasulullah  yang paling Rasulullah paling sayangi?"
Rasulullah SAW memandang wajah isteri-isterinya dengan penuh rasa kasih sayang dan tidak pernah membeza-bezakan di antara satu sama lain. Tetapi apabila ditanya, siapakah yang paling di sayangi di antara isteri-isterinya, Rasulullah SAW tidak mahu menyinggung perasan mereka ketika itu.
Rasulullah SAW tidak memberikan jawapan pada ketika itu sebaliknya, baginda akan memberikan jawapan pada hari yang lain.
Kemudian isteri-isteri baginda pulang ke rumah masing-masing dengan harapan mereka yang paling disayangi Rasulullah SAW.
 Gambar Hiasan


Seperti kebiasaannya apabila Rasulullah SAW bersama dengan isteri mengikut giliran masing-masing, sebelum beredar, baginda menghadiahkan sebentuk cincin untuk setiap orang isterinya dan berpesan supaya jangan memberitahu hadiah itu kepada isterinya yang lain.
Setelah kesemua isterinya mendapatkan cincin, mereka di minta untuk berkumpul kerana Rasulullah SAW akan memberitahu siapakah isterinya yang paling disayangi.
Di kalangan mereka ada yang sudah membuat andaian bahawa Siti Aisyah RA adalah isteri yang paling disayangi kerana Siti Aisyah merupakan isteri yang paling muda.
Isteri-isteri baginda sudah berdebar-debar siapakah yang menjadi pilihan isterinya yang paling disayangi.
Sebaik sahaja isteri-isterinya berkumpul, Rasulullah SAW menghampiri mereka dan dengan hati yang tenang serta wajah yang riang, Rasulullah SAW memberitahu, 
"Jika kalian ingin tahu, siapakah isteri yang paling kusayangi ialah mereka yang mendapat hadiah cincin dariku."

Mendengar jawapan Rasulullah SAW itu, tersenyumlah kesemua isteri-isterinya kerana mereka beranggapan hanya mereka sahajalah yang menerima hadiah cincin itu sedangkan pada hakikatnya semua isterinya mendapat hadiah yang sama.

Begitulah bijaksananya Rasulullah SAW menyelesaikan masalah supaya semua pihak mendapat kepuasan yang sama, 
adil dan tidak timbul keputusaan yang memihak atau berat sebelah.





Kanak-Kanak Merindui Rasulullah ..

PADA zaman Rasulullah SAW memerintah, terdapat seorang budak lelaki bernama Tsauban yang sangat kagum terhadap keperbadian baginda.
Malah hampir setiap hari Tsauban akan merindui Rasulullah SAW sekiranya tidak berpeluang untuk berjumpa.
Sekiranya dia tidak dapat berjumpa dengan Rasulullah SAW, dia akan bersedih hati, murung dan akan menangis.
Apa yang dirasakan oleh Tsauban juga dapat dirasai oleh Rasulullah SAW dan merasakan betapa Tsauban sangat mengasihinya.
Pada sutu hari Tsauban telah berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk melepaskan kerinduannya.

 Gambar Hiasan

"Ya Rasulullah. Saya sebenarnya tidak sakit apa-apa. Cuma saya sangat bersedih jika berpisah dan tidak bertemu dengan Rasulullah walaupun sekejap.
Jika saya sudah bertemu dengan Rasulullah, barulah hati saya tenang dan gembira sekali,"
beritahu Tsauban sambil memandang wajah Rasulullah SAW yang bercahaya dan berseri-seri.

Rasulullah SAW memegang ubun-ubun budak itu dengan perasaan kasih sayang seolah-olah sedang bermesra dengan cucunya. Manakala Tsauban pula berasa kerinduannya telah hilang apabila dapat bertemu dengan Rasulullah SAW.
"Apabila memikirkan hari Akhirat, hati saya bertambah cemas kerana bimbang tidak dapat lagi bersamamu, Ya Rasulullah.
Kedudukanmu sudah tentu berada di Syurga yang tinggi sedangkan saya tidak pasti sama ada di Syurga paling bawah atau mungkin tidak di masukkan ke Syurga langsung. 
Jika ini berlaku, sudah tentu saya tidak akan bertemu Rasulullah lagi,"  ujar Tsauban sedih.
Mendengar kata-kata itu, Rasulullah SAW sangat terharu dan berkata, 
"Semoga Allah akan mendengar keinginanmu asalkan sahaja kamu melakukan amal kebaikan semasa di dunia. Lagipun urusan Syurga dan Neraka itu urusan Allah,"  jelas Rasulullah SAW.

Setelah berlaku peristiwa itu, turun wahyu daripada Allah kepada Rasulullah SAW bermaksud, "Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasulnya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, para sadikin, mereka yang mati Syahid dan orang-orang yang soleh."

Mendengar jaminan itu Tsauban berasa gembira dan hatinya tenang sekali.