Rabu, 12 Disember 2012

Kufur Setelah Diberi Kesenangan..


Seorang penggembala kambing yang hidup dalam kemiskinan telah berjumpa dengan Rasulullah SAW untuk mengadu kesusahannya.
Penggembala kambing bernama Saklabah itu sudah tidak tahan dengan suasana kehidupannya yang tidak berubah-ubah walaupun dia melakukan berbagai-bagai usaha supaya kehidupannya bertambah baik.
"Ya Rasulullah, aku sekeluarga hidup dalam kesusahan. Kami sekeluarga hanya bergantung kepada menggembala kambing untuk hidup. jika ada orang membeli kambing, adalah rezeki untuk kami, jiak tidak kami sekeluarga terpaksa berlapar," beritahu Saklabah kepada Rasulullah SAW satu pagi.

"Ya Saklabah, apa yang mahu kulakukan menolong kamu?" Tanya Rasulullah SAW lagi.

"Kami mahu Rasulullah mendoakan kepada Allah supaya kami sekeluarga hidup dalam kesenangan. kami benar-benar hidup susah ya Rasulullah. Kami terpaksa berkongsi pakaian untuk menunaikan solat kerana tidak ada pakaian lain," beritahu Saklabah sejujurnya. 

"Sebenarnya kita tidak digalakkan untuk meminta kesenangan tetapi kita digalakkan berusaha supaya dapat menikmati kesenangan," Rasulullah SAW menasihati Saklabah dan isterinya supaya berusaha lebih untuk menikmati kesenangan.

"Tolonglah ya Rasulullah, kami bimbang jika kami kemiskinan boleh menyebabkan kami kufur," kata Saklabah dengan wajah sedih.

Rasulullah SAW yang mudah simpati dengan kesusahan orang lain akhirnya mendoakan  supaya Allah memberikan kesenangan kepada Saklabah. Berkat doa Rasulullah SAW, Allah memperkenankan permintaan Saklabah.

Tidak lama selepas itu, daripada dua ekor kambing peliharaan Saklabah kemudian membiak sehingga jumlahnya beribu-ribu ekor. Oleh kerana kambing peliharaannya bertambah, kehidupan Saklabah mula berubah. Jika dahulu miskin, kehidupannya sudah mula menikmati kesenangan.

Sejak hari itu, Saklabah sibuk menguruskan kambing-kambingnya sehingga dia tidak berkesempatan untuk sama-sama bersolat jemaah di masjid begitu juga untuk bersolat jumaat.
Saklabah tidak sedar kesenangan yang sudah dirasai itu hasil doa Rasulullah SAW dan dia lupa Allah telah memberikan semua itu kepadanya.
Lebih menyedihkan apabila Saklabah tidak berzakat walaupun binatang ternakannya sudah mencapai beribu-ribu ekor. Oleh kerana Saklabah sudah mengingkari hukum Allah, akhirnya dia meninggal dunia. Saklabah sudah terpesona dengan kesenangan dunia sehingga dia lupa untuk mengingati hukum Allah.