Selasa, 1 Januari 2013

Bersanding: Adat Yang Tidak Bersyariat


Apabila sepasang anak muda selamat diijabkabulkan maka menangislah syaitan-syaitan. Mereka tidak lagi berjaya memainkan hati pasangan itu untuk menuju jalan ke neraka. Tapi apakah mungkin tangisan itu akan berakhir di situ saja atau berlarutan hingga tamatnya majlis walimah tersebut? Hanya Allah saja yang mengetahuinya. Semua ini bergantung kepada majlis yang kita laksanakan.

Majlis perkahwinan boleh mendatangkan berkat bila suasana yang mendatangkan keberkatan itu dijaga sungguh-sungguh iaitu dengan menjaga batas-batas syariat. Tiada percampuran antara lelaki dan perempuan. Contohnya, majlis akad nikah dibuat di masjid kerana boleh terhindar dari suasana percampuran.
Kepada pasangan pengantin pula, setelah selesai majlis pernikahan mereka disunatkan sujud syukur dan sembahyang sunat nikah dua rakaat.
Dari sinilah bermulanya bibit-bibt  perkenalan dan cinta pandang pertama antara kedua pasangan yang dirahmati oleh Allah SWT itu.

Kiranya rumah kita kecil dan tidak muat untuk menempatkan tetamu wanita makan didalam rumah, bolehlah dipasangkan khemah yang bersaingan di antara lelaki dan perempuan. Pelayan-pelayannya juga mesti terdiri dari kaum sejenis. Apa yang penting, kita berusaha untuk mengelakkan dari sebarang bentuk percampuran antara lelaki dan wanita, terutama ketika majlis jamuan makan. 
Kadang-kadang, biasa kita tengok tetamu yang hadir tidak begitu ghairah untuk melihat pengantin lelaki tetapi seronok dengan gadis-gadis genit yang melayani tetamu. Lalu berlakulah usik-mengusik antara satu sama lain.

Kenduri kahwin yang dirahmati Allah tidak semestinya dibuat secara besar-besaran seperti di hotel-hotel dan dijemput tetamu-tetamu terhormat sahaja serta diserikan dengan berbagai-bagai acara istimewa.
Memandailah dengan apa yang termampu, maka jemputlah jiran-jiran yang terdekat.

Bahawasanya bersabda Rasulullah SAW kepada Abdul Rahman  bin Auf (yang baru berkahwin) yang bermaksud :

"Buatlah jamuan walaupun dengan seekor kambing." (Riwayat bukhari dan Muslim) 

Tujuan mengadakan kenduri kahwin ialah supaya tidak timbulnya fitnah manusia.
Rasulullah suka majlis yang mulia ini dihebah-hebahkan kepada masyarakat.
Maka mengadakan kenduri sempena berkahwin itu adalah sunnah Rasulullah, iaitu hukumnya sunat dan berpahala. 
Selain dari itu, majlis yang kita laksanakan bukan saja untuk bersuka-suka tetapi besar ertinya kepada fakir miskin. Rasulullah SAW ada mengingatkan umatnya bahawa jamuan yang paling dicela oleh Allah Taala ialah apabila undangannya terdiri daripada orang-orang kaya saja. Sebagaimana sabda baginda yang bermaksud : "Sebusuk-busuk makanan ialah makanan jamuan yang untuknya diundang orang-orang kaya dan dibiarkan orang miskin." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebaik-baiknya jemputlah kedua-dua belah pihak agar menambahkan silaturrahim  antara keduanya.
Inilah salah satu hikmah mengapa seseorang itu diwajibkan hadir ke majlis  walimah yang benar-benar  menepati landasan syariat dan ditegah menolak undangan tersebut.
Hal ini telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud :
"Barangsiapa tidak datang ke undangan (jamuan perkahwinan), maka sesungguhnya derhakalah ia kepada Allah dan rasul-Nya." 

Meskipun begitu,kiranya majlis walimah itu banyak berunsur kemungkaran dari kebaikannya (seperti bersanding, pergaulan bebas, tari-menari, serta bernyanyi-nyanyi dan bermuzik) memandailah kita kita jenguk muka sebentar sahaja. Berilah alasan yang baik mengapa kita tidak dapat sama-sama meraikan majlis itu. Namun demikian, sebagai saudara sesama Islam yang cintakan kebenaran, berdoalah semoga mereka dikurniakan petunjuk sebagaimana doa baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Hai Tuhan! Berilah petunjuk kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui."

Mengadakan upacara bersanding merupakan dosa yang paling berat bila ianya menjadi tradisi 'wajib'  kepada bangsa Melayu. Tidak ada keterangan didalam semua mazhab yang membolehkan bersanding. Hanya dalam agama Hindu saja yang memestikan penganutnya bersanding. Kalau tidak bersanding dihukumkan sebagai murtad. Seluruh ahli keluarga akan memulaukan mereka dan dianggap sebagai penderhaka.

Menurut adat istiadat Hindu, untuk mendapatkan restu dari dewa-dewa, maka setiap majlis persandingan mestilah diletakkan dua gunung emas dan pokok emas, di kiri dan kanan pelamin. 
Bagi orang Melayu pula, mereka meletakkan pulut kuning, nasi manis (wajik) dan pokok bunga telur sebagai ganti gunung emas atau pokok emas yang diamalkan oleh orang Hindu.
Oleh itu, eloklah dihapuskan upacara yang karut dan sesat ini. Berbincanglah dengan sebaik-baiknya dengan ibu ayah supaya majlis yang akan kita laksanakan itu benar-benar menepati kehendak syariat Islam.
Selain itu kebiasaan majlis perkahwinan disertakan dengan iringan muzik atau dijemput khas pemuzik yang kononnya meraikan pasangan pengantin. Tidak wajarlah suatu majlis yang mulia kita cemari dengan sesuatu yang melalaikan. Majlis yang sepatutnya syaitan menjerit dan menangis, akan bertukar kepada syaitan ketawa gembira! 
Kita boleh memeriahkan majlis perkahwinan dengan berlagu-lagu memuji kebesaran Allah SWT dan memuliakan Rasulullah SAW. Contohnya,  mengadakan khatam al-Quran, berzanji, tahlil dan marhaban, qasidah ataupun nasyid dengan syarat terasing di antara lelaki dan perempuan. Kita sama-sama bertanggungjawab untuk memecahkan tradisi khurafat ini. Semoga lorong-lorong yang kita terokai ini akan memudahkan orang lain yang cintakan Islam untuk sama-sama mengekori dari belakang. Oleh itu yakinlah dengan bantuan Allah. Bersungguh-sungguhlah mengamalkannya, lambat laun masyarakat akan menerima juga walaupun untuk waktu ini ramai yang belum berani melaksanakannya.