Selasa, 15 Januari 2013

Hamba Kesayangan ALLAH...


Beranikah kita mengaku kita ini hamba kesayangan ALLAH sekiranya amal dan perbuatan tidak menepati apa yang disyariatkan oleh agama? Cukupkah dengan hanya tidak meninggalkan solat, berpuasa pada bulan ramadhan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh agama?

Sesetengah orang berpendapat, apabila seseorang itu ditimpa musibah, penyakit atau dugaan yang amat hebat, itu tandanya ALLAH sayang kepadanya kerana ALLAH tidak mahu hamba-NYA terus terleka sebaliknya segera menginsafi diri.

Bagaimana pula dengan hamba-hamba-NYA yang tidak diduga dengan penyakit atau sebarang musibah, apakah itu tanda ALLAH tidak sayang kepada mereka?

Sebuah hadis oleh at-Tabrani, Rasulullah SAW berkata, 
"Apabila ALLAH mahukan kebaikan terhadap seseorang hamba-NYA, DIA terus mempercepatkan balasan kesalahannya di dunia ini lagi dan sebaliknya apabila ALLAH mahukan keburukan terhadap seseorang hamba-NYA, DIA tidak membalas perbuatannya yang berdosa di dunia ini sehinggalah DIA membalaskan nanti pada hari kiamat."

Daripada penjelasan hadis ini, sekurang-kurangnya kita dapat membuat penilaian awal adakah kita hamba-NYA yang disayangi. ALLAH memberikan ujian bertujuan agar kita dapat membetulkan kesilapan dan kembali ke pangkal jalan.

Berbeza dengan hamba-NYA yang dibenci ALLAH, DIA akan membiarkan hamba-NYA itu bergelumang dengan dosa dan maksiat di mana mereka terus lalai dari mengikuti segala perintah dan larangan.

Bagaimanapun ramai juga yang diuji ALLAH dengan dugaan, menjadi tidak redha. Malah, menuduh ALLAH tidak sayangkan mereka sedangkan ujian itulah tanda ALLAH sayang kepada hamba-NYA berbanding mereka yang terus dibiarkan lalai dengan nikmat kehidupan dan tidak mahu bertaubat.

Ketahuilah bahawa apabila ALLAH menghendaki kebaikan kepada seseorang, nescaya DIA akan bukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh, DIA jadikan hatinya waspada perhadap liku-liku hidup yang dijalani, DIA jadikan hatinya sihat sejahtera, lidahnya bercakap benar dan perangainya lurus serta DIA jadikan telinganya mendengar dan matanya melihat.

Bertakwalah kepada ALLAH dan jangan sedikit pun memandang kecil kepada kerja kebajikan walaupun sekadar mencurahkan air dari timba ke dalam bekas orang yang meminta air dan bertemu saudara dengan wajah yang riang.
Andai ada orang yang memaki dan mencaci dengan sifat yang tidak ada pada kita, janganlah mencacinya  dengan sifat yang ada padanya, biarlah dia menanggung padah dan kita mendapat pahala dan usahlah memaki seseorang yang lain.

Selain itu kita di ingatkan supaya tidak memandang remeh kerja-kerja kebajikan. Walaupun nampak biasa tetapi perbuatan itu seperti menuangkan air ke dalam timba orang lain yang sangat memerlukan.

Jagalah diri daripada perkara yang haram nescaya kita akan menjadi manusia yang bertakwa dan terimalah dengan penuh kerelaan pembahagian yang telah ditentukan ALLAH nescaya kita akan menjadi manusia yang kaya.
Berbudilah kepada jiran nescaya kita akan menjadi mukmin yang sebenar dan cintailah kepada orang lain apa yang dicintai oleh kita untuk diri sendiri nescaya kita akan menjadi muslim yang sebenar dan janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa mematikan hati.