Isnin, 14 Januari 2013

Jaga Pandangan, Pelihara Iman..


ALLAH mengurniakan mata supaya kita dapat melihat dan menikmati keindahan ciptaan ILLAHI. Segala pandangan indah di muka bumi ini menandakan kekuasaan ALLAH tetapi adakah kita menggunakan sepasang mata yang berharga ini untuk tujuan yang baik atau sebaliknya?

Umat yang berakhlak akan menjauhi mata daripada memandang perkara-perkara yang diharamkan.
Mereka yang menjaga pandangan daripada melihat perkara yang baik akan dijamin masuk ke syurga.

Umat Islam dilarang berdusta dalam tutur kata, mengkhianati amanah dan memungkiri  janji yang dibuat. Mereka juga diperintahkan agar menjaga pandangan, memelihara anggota daripada mencederakan orang Islam lain dan menjaga kemaluan daripada melakukan perkara keji. Sesiapa yang menjaga larangan dan perintah ini, dia akan dipelihara oleh ALLAH SWT.

Bukan satu perkara mudah untuk tidak melihat pandangan yang haram ketika hampir setiap hari kita berada di tempat awam, kaca televisyen, akhbar, majalah dan internet atau dimana sahaja. Keluar sahaja dari rumah kita sudah terdedah dengan pelbagai dugaan ALLAH.

Bagi kaum lelaki, memandang kaum wanita dengan pandangan yang boleh menimbulkan nafsu amat ditegah kerana ia boleh mencetuskan perbuatan maksiat. bagi lelaki yang kuat iman, sudah tentu boleh mengelakkan perkara ini tetapi bagaimana jika tidak sengaja terpandang pandangan yang dilarang? 

Menyentuh perkara ini, Rasulullah SAW ada mengingatkan dalam sebuah hadis oleh Ahmad Ibn Hambal daripada Jarir bin Abdullah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah mengenai pandangan yang tidak sengaja. Rasulullah memintaku supaya memalingkan pandangan kearah lain."

Pandangan tidak sengaja yang dimaksudkan ialah terpandang sesuatu yang boleh menyebabkan terjadi perbuatan maksiat seperti terlihat aurat wanita yang boleh menyebabkan nafsu syahwat bergelora. Apabila menyedarinya, segeralah palingkan wajah dan jangan memandang berulang-ulang kerana agama menegah berbuat begitu. Berpunca daripada pandangan mata yang tidak dijaga juga akan menyebabkan keimanan bergoncang.

Hal ini ditegaskan dalam satu hadis lain, daripada Sayidina Ali, Rasulullah SAW berkata, "Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua. Sesungguhnya bagi kamu yang pertama tetapi tidak yang kedua."

Hadis ini menjelaskan bahawa pandangan yang pertama dikira tidak sengaja tetapi usah memandang untuk kali kedua dan seterusnya kerana yang selebihnya itu sudah dikira pandangan dengan niat dan berdosa.

Sebagai contoh, kita terlihat seorang wanita yang cantik dalam keadaan tidak menutup aurat. Sudah tentu sebagai lelaki jika pandangan pertama dikira tidak sengaja tetapi jika ia memandang sekali lagi atau merenung dengan tempoh yang lama, perbuatannya itu dianggap berdosa.

Rasulullah SAW berpesan, jika terpandang perkara seumpama itu, segeralah palingkan wajah kearah lain. Rasulullah SAW berkata, 
"Pandangan adalah panahan beracun daripada panahan iblis. Sesiapa yang menundukkan pandangan daripada kecantikan wanita, ALLAH mewariskan di hatinya kemanisan yang dimiliki sehingga hari bertemu dengan-NYA."

Oleh itu, jagalah pandangan sewajarnya. Amalkan menundukkan pandangan daripada melihat yang haram. Ini kerana maksiat bermula dari pesona pandangan mata, kemudian jatuh ke hati. Maka, terjadilah apa yang tidak diingini...