Isnin, 10 Disember 2012

Bercerita Tentang Roh Dan Jasad..


Pada suatu petang, ketika Aisyah RA sedang duduk-duduk di rumahnya sambil mengambil angin, Rasulullah SAW yang pulang dari masjid tiba di rumahnya. Rasulullah SAW segera memberi salam dan Aisyah RA segera menjawab salam.
Aisyah RA segera bangun sebagai menghormati suaminya dan memberi laluan masuk ke rumah.
Tiba-tiba Rasulullah SAW berkata, "Duduklah Aisyah, mengapa berdiri wahai isteriku."

Kemudian Rasulullah SAW duduk sambil meletakkan kepalanya di pangkuan Aisyah yang terlebih dahulu duduk kemudian berbaring dan akhirnya tertidur mungkin kerana kepenatan.
Ketika tidur di pangkuannya, Aisyah RA sempat mencabut uban di kepala Rasulullah SAW, kesemuanya 19 helai. Ketika itu hati kecil Aisyah RA berkata, "Sesungguhnya baginda akan meninggalkan dunia sebelum aku sehingga tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya."

Tiba-tiba Aisyah RA menangis dan menitiskan air mata. Tanpa sedar air matanya itu jatuh ke muka Rasulullah SAW sehingga baginda terjaga. Sebaik sahaja Rasulullah SAW membuka matanya, baginda berasa hairan dan terus bertanya, "Mengapa engkau menangis wahai Aisyah?"

Aisyah RA segera menceritakan apa yang berdetik di hatinya ketika dia mencabut uban di kepala Rasulullah SAW.  Seterusnya Rasulullah SAW berkata, "Keadaan menjadi lebih hebat sesudah menjadi mayat."
"Ceritakanlah keadaannya wahai Rasulullah?"
Cuba kamu bayangkan bagaimana?" Rasulullah SAW inginkan jawapan isterinya.
"Tentulah ketika mayat diusung keluar dari rumah di mana anak-anak menangis dan bersedih dan mereka akan berkata : aduhai ayah, aduhai ibu, mengapa kau meninggalkan kami?"

"Itu juga hebat tetapi ada lagi yang lebih hebat, apakah dia?" 
Rasulullah SAW ingin menguji hati isterinya.
Seterusnya Aisyah RA menjawab, "Sudah tentulah ketika mayat dimasukkan ke liang lahad kemudian ditimbus perlahan-lahan dengan tanah. Sesudah itu mereka akan kembali ke rumah dan mereka menyerahkan mayat itu kepada Allah di samping amal dan perbuatannya yang telah dilakukan semasa hayatnya." 

"Sebenarnya ada lagi yang lebih hebat daripada itu, apakah dia?" Rasulullah SAW bertanya.
"Selebihnya hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahuinya," jawab Aisyah RA setelah memikirkan tiada lagi yang lebih hebat daripada itu. Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan apakah yang dimaksudkan hebat pada mayat itu.

"Wahai Aisyah isteriku, sebenarnya sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang yang akan memandikan mayat itu masuk ke rumahnya. Ketika memandikan mayat itu, akan dikeluarkanlah cincin di jari yang di pakai ketika zaman remajanya dan dia juga melepaskan pakaian pengantin daripada tubuhnya. Begitu juga bagi pemimpin agama, serban yang membalut kepala mereka akan ditinggalkan." 

"Apakah yang berlaku ketika itu ya Rasulullah?"

"Ketika mayat di dalam keadaan tidak berpakaian, rohnya memanggil yang mana hanya didengari oleh semua makhluk kecuali jin dan manusia. 
Roh akan berkata, "Wahai orang yang memandikan, aku meminta kepadamu kerana Allah, lepaskanlah pakaianku dengan perlahan-lahan sebab ketika ini aku berehat daripada kesakitan sakaratulmaut."
Apabila air disiram ke atas mayat, mayat itu akan berkata,
"Wahai orang yang memandikan roh Allah, janganlah engkau menyiram air dalam keadaan yang panas dan janganlah dalam keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar selepas terkeluarnya roh."
Pada masa yang sama, roh pula berkata, "Demi Allah, wahai orang yang memandikan, jangan engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab tubuhku luka disebabkan keluarnya roh."
Apabila mayat sudah dimandikan dan diletakkan di atas kain kafan setelah kedua belah tangannya diikat, mayat memanggil. Wahai orang yang memandikan aku janganlah engkau mengikat kuat pada kepalaku ketika mengkafankan sehinggakan aku tidak dapat melihat wajah anak-anakku serta kaum keluargaku sebab inilah penglihatan terakhirku pada mereka. 
Pada hari ini aku berpisah dengan mereka dan tidak akan brjumpa lagi sehingga hari kiamat."
Setelah mayat diusung keluar dari rumah, mayat akan menyeru, "Demi Allah wahai jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda, anak-anakku menjadi yatim, janganlah kamu menyakitinya. Pada hari ini aku keluar dari rumahku dan meninggalkan segala yang aku cintai dan tidak akan kembali selama-lamanya."
Apabila mayat dimasukkan ke dalam keranda, mayat akan berkata lagi, "Demi Allah, wahai jemaahku jangan kamu percepatkan aku sehingga aku mendengar ahliku, anak-anakku dan kaum keluargaku. Sesungguhnya pada hari ini adalah hari perpisahanku dengan mereka sehingga hari kiamat."

Begitulah Rasulullah SAW menceritakan kehebatan mayat berpesan yang didengari oleh semua makhluk kecuali jin dan manusia sehingga ia menimbulkan keinsafan kepada Aisyah RA yang kisahnya diceritakan oleh Rasulullah SAW.