Sabtu, 8 Disember 2012

Suburkan Iman Secara Berterusan Supaya Ia Tidak Tercabut..

Iman bersifat bertambah (ada) ataupun berkurang (lenyap) daripada 

hati seseorang menurut amalan yang dilakukannya. 
Andai kata sering melakukan kebaikan, maka imannya semakin hari akan semakin meningkat dan subur di jiwanya.
Namun andai dosa yang sering dilakukannya tanpa disusuli taubat, maka iman itu akan semakin berkurangan bahkan dibimbangi akan lenyap daripada jiwa.

Adalah satu malapetaka yang amat besar andai Allah SWT mencabut iman daripada hati manusia.
Bayangkan seseorang yang direnggut nyawa saat imannya tercabut. Wal 'iyazubillah.

Iman adalah harta yang paling berharga. Maka ia wajib dijaga dan dipelihara dari unsur-unsur yang boleh merosakkannya.
Kerana itu, orang yang benar-benar beriman amat bimbang andai iman mereka merosot atau berkurangan. 
Mereka sangat sayangkan iman mereka. 
Lalu mereka sangat fokus dan berjuang habis habisan, menggadai nyawa untuk mempertahankannya.
Sebaliknya orang yang fasik tidak pernah memikirkan soal ini.
Baginya halal haram, dosa pahala, iman kufur sama sahaja.

Penting untuk kita ketahui bahawa iman itu, selain boleh berkurangan, ia juga boleh melayang dan tercabut keluar dengan sebab berlakunya dosa-dosa tertentu. Contohnya dosa berzina dan minum arak. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang berzina atau minum khamar(arak), 
maka Allah akan mencabut iman daripada hatinya, sebagaimana orang melepaskan (mencabut) pakaian melalui kepalanya." (Riwayat al-Hakim)

Lihatlah, betapa sia-sianya usaha seseorang yang jahil dan sombong kepada Allah SWT. Saki-baki imannya yang ada, bukan sahaja tidak disuburkan bahkan dibiar lenyap begitu sahaja.
Allahu Akhbar!
Sebenarnya kita sudah tidak cukup masa untuk hidup dengan cara sedemikian. 
Hidup secara main-main dan carcamarba. Maksud saya, sekejap mengusahakan iman naik, sekejap pula membiarkan iman jatuh. Sepatutnya, lewat usia senja dan menjelang kematian kita ini, amat wajar iman terus-menerus disubur dan ditingkatkan.
Sama-sama kita renungkan.