Isnin, 10 Disember 2012

Tangisan Yang Dikasihi Allah..


Dalam dunia hari ini ramai orang menangis akan tetapi sedikit sekali didapati orang menangis kerana takutkan Allah, menangis kerana mengenangkan hari kiamat, menangis kerana gerunkan neraka Allah dan rindukan syurga Allah. Apa yang kita dapati kebanyakkan manusia hari ini menangis kerana hal-hal lain yang bersangkutan dengan kepentingan duniawi semata-mata, umpamanya menangis kerana tidak tahan dengan penderitaan hidup, menangis kerana kemiskinan, kesusahan, kesakitan, kehilangan orang yang dikasihi, gagal dalam peperiksaan, kecewa dalam percintaan, putus tunang, dicaci maki dan tidak kurang juga ada yang menangis kerana tersinggung atau kecil hati dengan tingkah laku seseorang.
Ada juga yang menangis kerana suaminya kahwin lagi dan tidak kurang juga ada yang menangis kerana kurang mendapat perhatian serta kasih sayang dari orang yang disayangi.
Alangkah ruginya airmata yang dicurahkan ke bumi, sedangkan tiada nilai sedikit pun di sisi Allah ta'ala.
Malang sungguh bagi mereka yang menangis kerana hal lain, bukan kerana Allah, hidupnya menderita dan setiap tangisannya membawa kepada kehancuran.
Tidak kurang juga ada yang sanggup mengambil jalan singkat setelah puas menangis  mengenangkan nasib diri iaitu dengan membunuh diri atau melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syariat.
Akan tetapu alangkah bertuah dan beruntungnya orang yang menangis kerana takutkan Allah,  kerana gerunkan azab neraka dan kerana rindukan nikmat syurga yang tidak terhingga lazatnya kerana mereka ini akan mendapat jaminan rahmat dan pengampunan dari Allah SWT serta mendapat ketenangan jiwa lahir dan batin. 
Justeru itu semakin banyak mereka menangis, jiwa mereka semakin tenang dan iman mereka semakin menebal dan mantap. Sebagai buktinya Allah berfirman, yang bermaksud :

"Ketika dibacakan kepada mereka  ayat-ayat keterangan Tuhan yang Maha Pemurah, mereka lalu tunduk dan bersujud sambil menangis." (Surah Maryam, ayat 58)

Pernah berlaku dalam sejarah Islam, seorang khalifah yang cukup terkenal sifat warak dan zuhudnya yang bernama khalifah Umar Abdul Aziz, suatu malam beliau sedang bermunajat dengan Tuhan di tingkat atas bangunan rumahnya, oleh kerana terlalu takutkan Allah, gerunkan neraka Allah dan cemas memikirkan nasib diri di akhirat kelak beliau sujud pada Allah sambil menangis yang teramat sangat sehinggakan titisan airmata beliau menitis ke bangunan bawah melalui celah-celah lubang lantai.

Satu kisah lagi pernah berlalu dalam sejarah hidup Sayidina Ali, waktu itu ketika beliau sedang mengambil wuduk dengan serta merta wajah beliau berubah menjadi pucat dan seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan.
Bila ditanya oleh sahabat yang lain, "Wahai Ali, kenapakah keadaan tuan begini?" Maka di jawabnya ringkas, "Aku takut pada Allah." 
Lihatlah, Sayidina Ali berubah mukanya menjadi pucat dan cemas serta menggeletar tubuhnya hanya sekadar mengambil wuduk belum lagi mengangkat takbir untuk mendirikan solat untuk menyembah Tuhan yang Maha Agung. Begitulah hebatnya keimanan dan ketaqwaan para sahabat dan orang-orang soleh dahulu kala.
Antara sifat orang yang takutkan Allah ada dinyatakan dalam Al-Quran, yang bermaksud :

"Mereka lalu tunduk dengan dagu-dagu mereka sambil menangis dan keadaan itu akan menambah kekhusyukan mereka." (Surah Al-Israk, ayat 109)

Di alam akhirat kelak setiap orang akan menangis kerana menyesal akan dirinya tidak beramal tetapi ada orang yang beruntung, ia mampu ketawa dan senyum di saat orang lain menangis. Siapakah mereka itu?

Mereka itulah golongan orang yang dikhabarkan oleh baginda Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud :

"Setiap mata akan menangis di hari Kiamat, melainkan mata yang telah menangis kerana takutkan Allah dan mata yang celik kerana berjaga untuk jihad fi sabilillah."

Sabda bagida lagi yang bermaksud :

"Seseorang yang menangis kerana takutkan Allah tidak akan masuk ke dalam neraka meskipun susu dapat kembali ke dalam payudara ataupun unta bisa masuk ke dalam lubang jarum."

Mengikut baginda Rasulullah SAW titisan airmata yang keluar kerana takutkan Allah, nilainya sama dengan titisan darah yang tumpah di medan peperangan kerana jihad di jalan Allah.
Anehnya kita hari ini sukar sekali mengeluarkan airmata kerana Allah, senang dan mudah sekali mengeluarkan airmata kerana hal-hal lain yang bersangkutan dengan dunia.
Kenapa ini terjadi? Jawapannya kerana tipisnya iman dan rasa tauhid pada Allah. 
Selain dari itu tidak ada kehambaan pada Allah dalam diri.
Dari itu untuk keselamatan diri marilah kita berusaha melatih diri menangis kerana takutkan Allah bukan kerana hal lain. Peringkat permulaan kalau mata tidak bisa mengeluarkan airmata, cukuplah hati yang menangis. Tetapi awas, jangan tertipu oleh perangkap syaitan, iaitu elakkan diri dari menangis di khalayak ramai, nanti sifat ujub menguasai diri.

Untuk menyelamatkan hati, menangislah ketika berseorangan di waktu malam yang hening bening, ketika insan lain sedang nyenyak tidur dan dibuai mimpi indah.
Maka ketika ini bangunlah seorang diri untuk bermunajat dengan Allah. Tangiskan dosa-dosa kita yang banyak. InsyaALLAH titisan airmata ketika itu akan ada hasil dan nilainya di sisi Allah.