Khamis, 6 Disember 2012

Bidadari Istimewa..

Umar bin Khattab RA ialah seorang daripada sahabat Rasulullah SAW. Semenjak beliau memeluk Islam, kaum muslimin seakan memperoleh suatu kekuatan yang sangat besar. Semenjak itu mereka berani bersolat dan tawaf di Kaabah secara terang-terangan. Umar RA ialah seorang yang warak (menjaga diri daripada yang haram dan yang syubhat atau samar antara haram atau halal). Beliau sangat teliti dalam mengamalkan ajaran Islam. Beliau mempelajari surah al-Baqarah selama 10 tahun, kemudian Umar RA bertanya kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasulullah SAW, apakah kehidupanku telah mencerminkan surah al-Baqarah, apabila belum maka aku tidak akan meneruskan ke surah berikutnya?" Rasulullah SAW menjawab, "Sudah....!" (Riwayat Al-Baihaqi). 
Umar RA mengamalkan agama sesuai dengan kehendak Allah SWT. Terdapat banyak ayat al-Quran yang di turunkan Allah SWT sesuai dengan harapan Umar.
Misalnya, ayat pengharaman khamr, ayat mengenai hijab dan beberapa ayat al-Quran yang lain.

Rasulullah SAW seringkali menceritakan kepada para sahabatnya tentang perjalanan mikrajnya ke Sidratul Muntaha menghadap Allah SWT. Rasulullah SAW sering juga menceritakan bagaimana keadaan syurga yang dijanjikan Allah SWT kepada sahabat-sahabatnya.

Pada suatu hari, ketika Rasulullah SAW melakukan Israk Mikraj menghadap Allah SWT, malaikat Jibril memperlihatkan taman-taman syurga kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melihat ada sekumpulan bidadari yang sedang bercengkerama. Ada seorang Bidadari yang begitu berbeza daripada yang lain. Bidadari itu menyendiri dan tampak sangat pemalu. Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril, "Wahai Jibril, bidadari siapakah itu?" Malaikat Jibril menjawab, "Bidadari itu diperuntukkan bagi sahabatmu Umar RA. pernah suatu hari dia membayangkan tentang syurga yang engkau ceritakan keindahannya. Dia menginginkan untuknya seorang bidadari yang berbeza daripada bidadari yang lain. Bidadari yang diinginkannya itu berkulit hitam manis, dahinya tinggi, bahagian atas matanya berwarna merah dan bahagian bawah matanya berwarna biru, serta memiliki sifat yang sangat pemalu. Sahabatmu itu selalu memenuhi kehendak Allah SWT maka saat itu juga Allah SWT menjadikan seorang bidadari untuknya sesuai dengan apa yang dikehendaki hatinya." (Riwayat Ahmad) 

Bidadari ialah makhluk yang Allah ciptakan untuk melayan para ahli syurga. Allah telah memberikan sifat-sifat terindah kepada bidadari-bidadari syurga. Mereka diberi pakaian yang paling bagus, wajahnya putih dan cantik jelita, sangat rupawan, serta matanya yang begitu indah. Sesiapapun yang membicarakan diri mereka pasti akan digamit kerinduan kepada mereka, seakan-akan dia sudah melihat secara langsung bidadari-bidadari tersebut. Sifat-sifat bidadari syurga, Allah paparkan dengan jelas dalam ayat-ayat al-Quran.

Manusia selalu ingin mendapatkan keuntungan yang tinggi tanpa perlu beramal banyak. Padahal, balasan bergantung kualiti dan kuantiti amal. Jika Umar RA boleh, maka sebenarnya kita pun boleh. Manusia biasa seperti kita mungkin tidak perlu terlalu tinggi mengharap mendapatkan seperti apa yang diperoleh oleh Umar RA. Apa yang penting ialah amal kita diterima Allah SWT dan dia menjadikan kita ahli syurga. Sungguh malu jika manusia seperti kita berani memesan bidadari kepada Allah SWT sementara amalan soleh kita msih belum sempurna.

Tidak semua muslim memiliki kemampuan yang "lebih" seperti Umar RA sehingga dapat melakukan pelbagai ibadah  dalam waktu yang sama. Antara amalannya ialah ibadah, jihad, tilawah, saum, sedekah, haji, berbakti kepada orang tua dan sebagainya. Namun, antara kaum muslimin terdapat juga yang hanya memiliki kemampuan terbatas. Muslimin yang berkemampuan terbatas untuk mengimplementasikan Islam sebatas amaliyah fardhu (amalan wajib), tetapi tetap menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram.

Dikisahkan bahawa seorang sahabat datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW dengan sebuah pertanyaan ringkas, sebagaimana tercatat dalam hadis berikut, yang bermaksud :

Dari Abu Abdullah, Jabir bin Abdullah Al-Anshari RA, sungguh ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW : "Bagaimana pendapatmu jika aku melakukan solat fardhu, puasa pada bulan Ramadhan, menghalalkan yang halal (melaksanakan dengan penuh keyakinan), mengharamkan yang haram (menjauhinya) dan aku tidak menambahkan, selain itu sedikit pun, apakah aku akan masuk syurga?" nabi SAW menjawab: "Ya." (Riwayat Muslim)

Kesederhanaan amalan yang dilakukannya sebagai seorang sahabat, iaitu hanya melaksanakan solat dan puasa serta melakukan perbuatan yang dihalalkan dan meninggalkan perbuatan yang diharamkan. Hal sederhana tersebut InsyaAllah dapat membawa dirinya masuk ke dalam syurga.

Seorang muslim harus berusaha sebaik mungkin untuk memperbanyak jalan menuju syurga mengikut kemampuannya. Bertakwalah semampu kalian. Jika seorang muslim mampu melakukan amalan melebihi amalan yang sederhana, maka dia harus melakukannya sehingga Allah mengabulkan semua doanya, termasuklah salah satunya adalah memesan Bidadari Istimewa di syurga seperti yang di janjikan untuk Umar RA.