Selasa, 11 Disember 2012

Pedihnya Azab Jahanam..


Iman Bukhari meriwayatkan, "Kebanyakkan doa nabi SAW adalah :
"Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta lindungilah kami dari azab neraka."

Abu Ya'Ia meriwayatkan, "Nabi SAW berkhutbah :
"Janganlah engkau melupakan dua kebesaran Syurga dan Neraka."

Kemudian baginda menangis hingga berurailah airmatanya membasahi janggutnya. Lalu bersabda :
"Demi Zat yang aku dalam kekuasaan-Nya, jika kamu tahu apa yang aku tahu dari urusan akhirat, tentu kamu akan berjalan ke gunung dan memenuhi kepalamu dengan debu."

AT-Thabrani, "Jibril datang kepada Nabi SAW pada waktu yang tidak biasanya dia datang. Kemudian Nabi SAW berdiri menyambutnya seraya berkata :
"Wahai Jibril, belum pernah aku melihat engkau berubah rupa." 
Jibril berkata, "Aku datang setelah Allah memerintahkan aku mengintip Neraka." 
Nabi SAW bertanya, "Wahai Jibril, ceritakan kepadaku tentang keadaan Neraka!" 
Jibril menjawab, "Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan Jahanam menyalakannya seribu tahun hingga menjadi putih. Lalu memerintahkan menyalakannya seribu tahun lagi hingga merah. Dan kemudian memerintahkan menyalakannya seribu tahun lagi, sehingga menjadi berwarna hitam pekat. Tak kelihatan lagi cahayanya dan tidak terpadamkan lagi nyalakannya. Demi Zat yang mengutusmu sebagai nabi dengan benar, kalau Jahanam itu di buka sebesar lubang jarum, matilah seluruh penghuni bumi kerana kepanasan. Demi Zat yang mengutuskan dengan kebenaran, jika sahaja seorang penjaga Jahanam menjelma ke dunia, tentulah seluruh penghuninya akan mati kerana ngeri melihat rupanya yang amat buruk serta baunya yang busuk. Dem Zat yang mengutusmu dengan kebenaran, kalau sepotong rantai ahli Neraka, yang telah di jelaskan Allah dalam kitab-Nya itu di letakkan di atas gunung, tentu akan lebur dan meleleh ke dasar bumi." 
Kemudian Nabi SAW memandangi Jibril yang telah menangis itu lalu bertanya, 
"Wahai Jibril, mengapa engkau menangis kau telah mempunyai kedudukan di sisi Allah?" 
Jibril menjawab, "Bagaimana aku tidak menangis? Justeru aku lebih berhak menangis. Siapa tahu dalam ilmu Allah keadaanku menjadi lain. Aku tidak tahu, kalau-kalau diseksa sebagaimana seksaan iblis. Bukankah iblis itu sendiri juga dari malaikat? Aku tidak tahu. Kalau-kalau aku diseksa seperti seksa Harun dan Marut."
Kemudian Nabi SAW menangis, sampai ada suara memanggil, "Wahai Jibril dan wahai Muhammad, kau telah diamankan. Tidak akan menderhakai-Nya."
Jibril kemudian naik dan Rasulullah pun keluar. Lalu baginda berjumpa dengan orang-orang Ansar yang tertawa riang dan bermain-main. Nabi SAW berkata,
"Adakah engkau tertawa sedang di belakangmu ada Neraka? Kalau engkau tahu apa yang aku tahu, tentu engkau akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Tentunya kamu tak lalu makan dan minum. Malah kamu akan keluar ke masjid, tertirap kepada Allah SWT."
Kemudian ada suara memanggil, "Wahai Muhammad, jangan engkau membenci hamba-Ku. Engkau hanya Ku-utus sebagai pemberi khabar gembira. Bukan untuk menyedihkan orang." 
Rasulullah SAW lalu bersabda, "Luruskanlah dan mendekatlah!"

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW berkata kepada Jibril :
"Aku tak pernah melihat malaikat Malik itu tertawa." 
Jibril berkata, "Dia tak pernah tertawa sejak Neraka diciptakan."

Ibnu Majah dan Al-Hakim, "Sesungguhnya apimu (di dunia) ini sebahagian dari tujuh puluh bahagian api Neraka. Itu pun kalau tidak dicuci dengan air dua kali takkan boleh berguna bagimu. Dan sesungguhnya api itu berdoa kepada Allah SWT agar tidak di kembalikan ke Neraka."

Al-Baihaqi, "Umar RA membaca ayat :
"Setiap matang (terbakar) kulit mereka. Kami tukar dengan kulit yang lain." (Q.S. An-Nisa' : 56)

Dia lalau berkata, "Wahai Kaab, cuba tafsirkan ayat ini! jika kamu benar, kuterima. Jika kamu bohong, maka tidak kuterima." Kaab berkata, "Sesungguhnya kulit manusia dibakar dan ditukarkan dalam sesaat atau dalam sehari ribuan kali. Umar berkata, "Kamu benar." 
Al-Baihagi, "Bahawa dalam menerangkan ayat tersebut, Hassan Al-Basri berkata, "Api itu memakan mereka setiap hari tujuh ribu kali. Manakala telah membakar mereka, dikatakan kepadanya, "Kembalilah." Lalu kembali seperti sediakala."

Imam Muslim, Didatangkan seorang ahli Neraka yang di dunia hidup paling nikmat. Kemudian dia dicelupkan ke Neraka satu kali, lalu ditanyakan kepadanya, "Hai manusia, apakah kamu melihat kebaikan dan apakah kamu pernah menjumpai kenikmatan?" 
Dia berkata, "Tidak, demi Allah, wahai Tuhanku."  Kemudian didatangkan pula seorang seorang ahli Syurga yang di dunianya paling papa. Dia dicelupkan ke Syurga lalu ditanya, "Wahai manusia, apakah kamu melihat kepedihan dan apakah kamu pernah menemukan kepedihan?" 
Dia menjawab, "Tidak, demi Allah, wahai Tuhanku. Aku tak pernah merasakan kepedihan sama sekali."

Ibnu Abas merawikan, "Tangis dikirimkan kepada ahli Neraka. mereka menangis hingga kehilangan airmata. Kemudian mereka menangis darah. Sehingga keadaan muka mereka seperti jurang yang kalau dikirim perahu ke situ akan boleh berjalan."

Abu Ya'Ia, Wahai sekalian manusia, menangislah! Jika kamu tidak boleh menangis, maka buat-buatlah menangis. Sesungguhnya ahli Neraka itu menangis di Neraka sampai airmata mereka meleleh ke pipinya bagai anak sungai. Setelah airmatanya habis lalu mengalirlah darah sehingga melukai mata."