Rabu, 28 November 2012

Memuliakan Anak Perempuan...


Pada satu masa ketika Rasulullah SAW tiada di rumah, seorang perempuan miskin dengan dua orang anaknya hendak bertemu Rasulullah SAW. Oleh kerana Rasulullah SAW tidak ada, perempuan miskin itu bertemu dengan Aisyah RA, isteri Rasulullah SAW.
Oleh kerana kasihan melihatkan perempuan itu dengan dua anak perempuannya, Aisyah RA telah memeberikan tiga biji kurma. Kurma itu kemudian diberikan kepada anak-anaknya manakala sedikit untuk dirinya.
Kedua-dua anaknya makan kurma itu dengan berselera sekali. 
Selesai anak-anaknya makan, giliran perempuan itu pula untuk makan sisa kurma untuknya.
Tiba-tiba anaknya itu berkata, "Ibu, jangan makan kurma itu, kami masih lapar."
Melihatkan anak-anaknya masih perlukan kurma itu, perempuan itu terus memberikan kurma itu untuk dihabiskan. 
Setelah kenyang perempuan miskin dengan dua anak itu beredar dari situ.
Tidak lama kemudian Rasulullah SAW pulang ke rumah.
Setelah berehat, Aisyah RA menceritakan peristiwa tadi kepada Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW kemudian berkata, "Barang siapa yang mempunyai tiga anak perempuan dan mereka sabar dalam mendidiknya sama ada dalam keadaan susah atau senang, dia akan dimasukkan Allah ke dalam syurga kerana rahmat Allah terhadap anak-anak itu."

Dalam peristiwa lain yang ada hubung kait dengan perkara itu,
seorang lelaki bertanya, "Bagaimana jika ada dua anak perempuan ya Rasulullah?" 
Walaupun mempunyai dua anak perempuan, ibu itu juga akan dimasukkan ke dalam syurga," jawab Rasulullah SAW.
Kemudian lelaki itu bertanya lagi, "Bagaimana jika hanya ada satu anak perempuan?" 
Walaupun seorang, ibu itu juga akan dimasukkan ke syurga."

Sehubungan itu, Rasulullah SAW menasihati, "Barangsiapa yang mengeluarkan belanja untuk dua anak perempuan dan memiliki saudara perempuan atau kerabat perempuan atau kaum kerabat perempuan yang patut disediakan belanja untuk keduanya, sehingga keduanya diberi Allah kecukupan atau kemampuan, mereka akan menjadi pendinding (pelindung) dari api neraka."

Rabu, 21 November 2012

Hati Berubah Berkat Doa Rasulullah SAW..


Sebagai seorang anak yang sudah memeluk Islam, 
Abu Hurairah RA berusaha untuk memujuk ibunya menganut agama yang disebarkan oleh Rasulullah SAW tetapi malang usahanya itu gagal.
Malah pada satu ketika ibunya itu mengejek dan mencaci apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Perlakuan ibunya itu secara tidak langsung tidak disenangi oleh Abu Hurairah RA.

Abu Hurairah tidak sampai hati mendengar nama Muhammad dipersendakan, diejek dan dimaki oleh orang yang tidak suka dengan ajaran Islam yang dibawanya.
Pada suatu hari Abu Hurairah menemui Rasulullah SAW sambil menangis untuk mengadu mengenai sikap ibunya.
"Wahai Rasulullah SAW, aku sudah berusaha untuk mengajak ibuku supaya memeluk Islam tetapi dia pula memepersendakan dan merendah-rendahkan kemamapuanmu. Aku sudah tentu tidak suka dengan sikap ibuku itu," beritahu Abu Hurairah yang masih sedih dengan sikap ibunya memusuhi Islam.
"Abu Hurairah, apa yang boleh kamu lakukan ialah berdoa kepada Allah, semoga Allah membuka pintu hati ibu untuk memeluk Islam," 
beritahu Rasulullah SAW yang terharu dengan sikap Abu Hurairah.
Kemudian Rasulullah SAW turut berdoa, 
"Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada Abu Hurairah."
"Abu Hurairah, kamu pulanglah," ujar Rasulullah SAW yang gembira melihat Abu Hurairah tidak menangis lagi.
Abu Hurairah juga terlalu gembira kerana Rasulullah SAW turut mendoakan supaya pintu hati ibunya terbuka.
Dengan hati lapang, Abu Hurairah kembali semula ke rumahnya dengan wajah berseri-seri.
Sesampai sahaja di rumah, Abu Hurairah mendapati pintu rumahnya terkunci.
Abu Hurairah mengetuk berkali-kali dan dia yakin ibunya ada di dalam rumah.
Apabila mendengar Abu Hurairah pulang, ibunya yang berada di dalam bersuara, 
"Kamu tunggu sebentar di luar. Nanti ibu akan bukakan pintu."
Saat itu Abu Hurairah terdengar bunyi gemerincik air seolah-olah orang sedang membasuh muka. Tidak lama kemudian, ibunya muncul membuka pintu. Sebaik sahaja ibunya terpandang wajah Abu Hurairah, dia terus berkata,
"Wahai Abu Hurairah, aku bersaksi bahawa Muhammad itu Rasul Allah."
Abu Hurairah terkejut kerana begitu cepat ibunya berubah sedangkan ketika dia meninggalkan rumah sebentar tadi, hatinya masih keras. Lalu dia segera berkata,
"Benarkah apa yang aku dengar ini, wahai ibuku?"
"Ya benar. Ibu mengakui kerasulanMuhammad sebagai pesuruh Allah," ujar ibunya lagi.
Oleh kerana terlalu gembira, Abu Hurairah segera berpatah kembali ke rumah Rasulullah SAW untuk memberitahu berita gembira itu.
Kemudian Rasulullah SAW berkata,
"Segala puji bagi Allah. Itu adalah kebaikan dari-Nya."

Selasa, 20 November 2012

Wajar Mencurigai Keimanan...


Setiap kali Rasulullah SAW menyampaikan khutbah pada hari jumaat, sudah tentu ramai makmum akan tersentuh dengan isi kandungannya yang sangat menginsafkan malah ramai yang menangis apabila mengenangkan nasib yang menimpa mereka.

Hanzlah merupakan salah seorang yang mudah menangis apabila Rasulullah SAW membaca khutbah. 
Dia akan menghayati betul-betul apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Bagaimanapun kesan keinsafan yang dirasai oleh Hanzlah tidak lama.
Apabila dia kembali ke rumah mengingati anak dan isteri, dia tidak berasa sedih lagi malah kesan keinsafan itu beransur-ansur hilang.Hati  kecil Hanzlah selalu berkata-kata sendiri.
"Apakah aku ini seorang munafik. Apabila mengenangkan khutbah Rasulullah SAW hati aku menjadi insaf dan menitis air mata. 
Tetapi apabila aku pulang ke rumah, perasaan itu hilang tiba-tiba dan aku kembali seperti biasa. Bukankah ini munafik namanya?"

Kemudian Hanzlah bertemu dengan Abu Bakar RA dan menceritakan masalahnya.
"SubhanAllah. Apa yang kamu katakan ini? Kamu tidak mungkin menjadi munafik," kata Abu Bakar RA. Kemudian Abu Bakar bertanya, "Bagaimana sehingga kamu boleh mempunyai perasaan seperti ini, Hanzlah?"
"Semasa saya mendengar khutbah Rasulullah SAW tadi, saya berasakan seolah-olah syurga dan neraka berada sangat hampir kepada saya sehingga saya menitiskan air mata. Tetapi apabila selesai mendengar khutbah dan saya pulang ke rumah bertemu dengan anak-anak, saya menjadi lupa mengenai kampung akhirat," terang Hanzlah kepada Abu Bakar RA.
"Bukan kamu sahaja, saya juga rasa begitu. Kalau begitu, bagaimana kalau kita berjumpa Rasulullah untuk meminta pandangannya?" Cadang Abu Bakar RA.
Akhirnya mereka bersetuju untuk berjumpa Rasulullah SAW.
Sebaik sahaja berjumpa dengan Rasulullah SAW, Hanzlah menceritakan perkara yang dialami.

"Demi Allah, jiwaku di tangan-Nya. Jika kamu dapat memelihara selama-lamanya keghairahan yang diwujudkan, dalam sanubari kamu semasa berada di sisiku, sudah tentu malaikat akan mengucap selamat kepadamu semasa kamu berjalan dan semasa kamu tidur, tetapi wahai Hanzlah ini adalah perkara yang sangat jarang berlalu," ujar Rasulullah SAW ketika diminta buah fikirannya.
"Bagaimana keadaan aku sekarang?" Tanya Hanzlah dalam keadaan gelisah.
"Beginilah.Walau bagaimana teguh sekalipun keimanan seseorang dia tidak dapat menumpukan segala tenaga dan urusan terhadap akhiratnya semata-mata, kerana sebagai seorang manusia dia juga terpaksa bertanggungjawab terhadap urusan dunia. Walaupun ada manusia yang berperasaan demikian tetapi bilangannya sangat kecil. Bagaimanapun kita hendaklah memupuk perasan supaya sentiasa mencurugai keimanan kita," Jelas Rasulullah SAW.

Isnin, 19 November 2012

Pemuda Meminta Izin Untuk Berzina..

Sebagai pemimpin yang disegani, Rasulullah SAW kerap didatangi oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Mereka membawa pelbagai masalah dan meminta bantuan rasulullah SAW untuk menyelesaikannya.
Baginda juga kerap menjadi rujukan jika masalah yang dihadapi oleh mereka tidak dapat diselesaikan sendiri.

Sama ada masalah yang diadukan kepada Rasulullah SAW itu kecil, besar atau masalah yang pelik, baginda tidak pernah menolak untuk menyelesaikannya. 
Begitulah halnya dengan masalah yang dihadapi oleh seorang pemuda yang datang kepadanya ketika baginda sedang bersama-sama para sahabatnya.
Pemuda itu datang membawakan masalah yang kurang sopan.
"Wahai anak muda, apakah masalah yang kamu hadapi?" 
Tanya Rasulullah SAW sambil memandang wajah pemuda yang berdiri di hadapannya.
"Saya hendak melakukan zina, ya Rasulullah,"  
beritahu pemuda tanpa segan silu menceritakan masalahnya.

Rasulullah SAW terdiam seketika sebaik sahaja mendengar pengakuan anak muda itu. 
Meskipun ada tetapi jarang sekali ada orang mengadu masalah yang pelik seperti itu.
Walaupun begitu Rasulullah SAW tetap mendengarnya.

Para sahabat yang bersama-sama dengan Rasulullah SAW ketika itu ada yang sudah tidak sabar dengan sikap pemuda itu.
Sepatutnya pemuda itu lebih maklum dan tidak perlu bertemu dengan Rasulullah SAW  untuk menyelesaikannya.
Bagaimanapun sikap para sahabatnya itu ditegah oleh Rasulullah SAW.
Baginda mahu mendengar apa lagi yang mahu dikatakan oleh pemuda itu.
"Apakah kamu suka jika melakukan zina dengan ibumu?" 
Tanya Rasulullah SAW setelah agak lama menyepi.
"Tidak," 
jawab pemuda itu ringkas.
"Terhadap saudara perempuanmu? Adakah juga kamu suka melakukannya?" 
Tanya Rasulullah SAW lagi.
"Ibu saudaramu?"
"Tidak ya Rasulullah," jawabnya.

Seterusnya Rasulullah SAW bertanya kepada mana-mana perempuan yang rapat dengannya. 
Kesemuanya dijawab tidak oleh pemuda itu.
"Beginilah, jika kamu tidak suka melakukan zina dengan ibumu, saudara perempuanmu atau mana-mana perempuan yang rapat dengan keluargamu, janganlah kamu hendak melakukan zina dengan mana-mana perempuan lain," 
jawab Rasulullah SAW dengan sopan dan dapat diterima oleh pemuda itu dengan rasa keinsafan.

Para sahabat pula kagum dengan sikap Rasulullah SAW yang dapat menyelesaikan masalah itu dengan buah fikiran yang boleh diterima akal.

Kemudian Rasulullah SAW berdoa,
"Ya Allah, sucikanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya."

Setelah mendengar penjelasan Rasulullah SAW itu, pemuda berkenaan mengakui kesilapannya dan tidak akan melakukan perbuatan itu walaupun keinginannya membuak-buak.
Tidak lama kemudian Rasulullah SAW mendapat khabar pemuda itu menjadi seorang manusia yang baik, menjauhkan diri daripada maksiat dan meninggalkan perbuatan yang mendatangkan dosa. 

Berperang Melawan Nafsu..


Pada satu hari seorang lelaki menemui Rasulullah SAW kerana ingin memeluk Islam tetapi dia mempunyai tabiat yang sukar hendak ditinggalkan. Hal ini mungkin akan menyebabkan niatnya tidak akan tercapai. Bagaimanapun setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, barulah lelaki itu memberitahu masalahnya.
"Ya Rasulullah, sebenarnya saya selalu sangat berbuat dosa dan sukar hendak meninggalkannya," beritahu lelaki itu sambil duduk bersila di hadapan Rasulullah SAW.
"Kalau begitu sanggupkah kau berjanji untuk tidak berbohong lagi?" Tanya Rasulullah SAW ingin kepastian.
Ya, saya berjanji ya Rasulullah," balas lelaki itu dengan kemampuannya untuk melawan nafsunya sambil bangun dan meminta diri untuk pulang.
Rasulullah SAW difahamkan, sebelum lelaki itu memeluk Islam, lelaki itu pernah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Tetapi lelaki itu sudah berjanji di hadapan baginda untuk meninggalkan tabiat buruk itu. Ketika lelaki itu dalam perjalanan pulang, hati kecilnya berkata-kata sesama sendiri. 

"mampukah aku meninggalkan tabiat buruk yang selalu aku lakukan? Ini satu tugas berat dan sukar hendak aku lakukan," detik hati kecilnya.
Oleh kerana hatinya belum saratus peratus mantap, ada kalanya nalurinya ditarik-tarik untuk melakukan kejahatan.
Bagaimanapun ketika naluri ditarik-tarik untuk melakukan kejahatan, hati kecilnya akan berkata, "Apakah yang akan engkau jawab nanti apabila engkau ditanya Rasulullah jika engkau terus melakukan dosa?" 
Kalau aku berbohong, bermakna aku telah mengkhianati janjiku padanya. Tetapi jika aku bercakap benar, aku akan terima hukuman sebagai umat Islam," detik hati kecilnya.
Setelah beberapa bulan melawan nafsu, akhirnya lelaki itu berjaya berjuang dan mampu untuk berhijrah berubah menjadi insan yang mulia.

Ahad, 18 November 2012

Mendoakan Kerahmatan Roh Penjaga Masjid..


Setiap kali Rasulullah SAW pergi ke Masjid Nabawi, baginda akan terlihat seorang lelaki berkulit hitam yang tidak tampan sedang membersihkan kawasan masjid di samping menjaga masjid setiap masa.
Walau bagaimanapun kehadiran lelaki berkulit hitam itu tidak diambil peduli oleh mereka yang datang ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat. 
Para jemaah seolah-olah tidak menghiraukan tugas murni lelaki yang hitam itu ditambah pula keadaannya yang daif.
Sudah menjadi kebiasaan, apabila orang yang tidak dikenali atau daif memberikan bantuan atau sumbangan, jasa mereka tidak diambil peduli oleh orang ramai. Malah kehadiran mereka seolah-olah tidak dipandang oleh orang ramai.
Tetapi berlainan halnya jika sumbangan atau bantuan itu datangnya daripada orang ternama dan berkedudukan, walaupun jasanya sedikit tetapi akan menjadi bualan orang ramai.
Seperti biasa juga, lelaki berkulit hitam itu melaksanakan tugasnya membersihkan kawasan masjid di samping menjaganya pada waktu malam.
Dia melakukannya dengan rela hati tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Walaupun lelaki afrika ini tidak diambil peduli oleh orang ramai tetapi dia tetap setia menjalankan tugasnya menjaga dan membersihkan Masjid Nabawi.
Dia akan menjaga kebersihan dan kesucian masjid ini supaya para jemaah yang datang ke masjid berasa selesa.
Berlainan dengan Rasulullah SAW yang sentiasa perasan dengan apa yang dilakukan oleh lelaki afrika ini.
Pada satu ketika, oleh kerana sudah beberapa hari, Rasulullah SAW tidak melihat lelaki berkulit hitam ini di pengkarangan masjid.
Rasulullah SAW telah bertanya kepada para sahabat.
"Hai sahabat, apakah kamu tidak perasan ke manakah perginya lelaki berkulit hitam yang selalu membersihkan kawasan masjid dan menjaganya waktu malam? Sudah beberapa hari ini, saya tidak melihatnya? Adakah sesiapa yang tahu ke mana dia pergi?" Tanya Rasulullah SAW sambil memerhatikan sekitar kawasan masjid yang seolah-olah tidak diurus dengan baik.
"Ya Rasulullah. Lelaki yang Rasulullah maksudkan itu sebenarnya telah meninggal dunia beberapa hari lalu," jawab salah seorang sahabat yang mengetahui perkara itu.
Serta merta wajah Rasulullah SAW berubah.
Baginda terkejut kerana tidak diberitahu mengenai kematian lelaki berkulit hitam itu.

"Mengapa kamu tidak memberitahu kematian lelaki itu kepadaku?" Tanya Rasulullah SAW kepada sahabat yang memberitahu tadi.
Para sahabat Rasulullah SAW terdiam kerana tidak menyangka lelaki berkulit hitam dan jarang dipedulikan orang itu sebenarnya mendapat perhatian daripada Rasulullah SAW setiap kali baginda ke masjid.
"Sebenarnya kami tidak menyangka kehadirannya di masjid ini mendapat perhatian Rasulullah dan kami yakin Rasulullah tidak perasan kehadiran lelaki berkulit hitam itu," jawab sahabat Rasulullah SAW itu.
"Mungkin kerana kulitnya yang hitam, mukanya yang hodoh dan kerjanya hanya membersihkan kawasan masjid menyebabkan kamu semua tidak menghiraukan kehadirannya?"
Para sahabat Rasulullah SAW yang berada di situ diam semuanya.
Mereka tidak menyangka Rasulullah SAW begitu prihatin sekali kepada mereka yang peranannya kecil tetapi sumbangannya amat besar.
Rasulullah SAW kemudian bertanya lagi, "Kalau begitu, kamu tunjukkan di manakah kubur lelaki itu. Aku ingin sekali menziarahinya."
Para sahabat kemudian membawa Rasulullah SAW menziarahi kubur lelaki yang letaknya tidak jauh dari situ. 
Sebaik sahaja Rasulullah SAW sampai di kubur lelaki yang masih baru itu, Rasulullah SAW terus berdoa.

"Ya Allah, ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat dan keampunan terhadap semua ahli kubur termasuk roh lelaki yang selama ini menjaga kebersihan Masjid Nabawi." Doa Rasulullah SAW kemudian diaminkan oleh para sahabatnya.

Selepas berdoa dan sebelum Rasulullah SAW beredar dari tanah perkuburan itu, Rasulullah SAW telah berpaling kepada para sahabatnya dan berkata, "Selama ini semua penghuni kubur di sini berada dalam kegelapan. Alhamdulillah sekarang Allah telah memperkenan permohonanku. Allah telah menerangkan semua kubur ini termasuklah kubur lelaki berkulit hitam ini." Pada malam hari semua kubur di situ didapati bercahaya kerana mendapat rahmat dan keampunan Allah dengan bantuan doa daripada Rasulullah SAW. 
Peristiwa itu secara tidak langsung memberikan peringatan kepada para sahabat supaya sentiasa menghargai setiap sumbangan kebaikan walaupun sumbangan itu kecil kerana pada hakikatnya sumbangan itu sangat besar di sisi Allah.

"Kamu harus ingat, sesungguhnya Allah menilai sumbangan seseorang bukan berpandukan besar atau kecil, banyak atau sedikit tetapi berpadukan keikhlasan hati mereka yang melakukannya,"  Rasulullah SAW mengingatkan para sahabatnya. 

Sabtu, 17 November 2012

KEBERANIAN, KETABAHAN DAN KEHEBATAN RASULULLAH

Keberanian dan ketabahan Rasulullah SAW sememangnya dikagumi oleh musuh-musuhnya apatah lagi ketika berhadapan dengan kaum kafir Quraisy yang melakukan pelbagai ancaman bunuh, menggangu ketenteraman dan sebagainya untuk mengagalkan usaha dakwahnya.
Walaupun ramai yang memusuhinya, Rasulullah SAW tetap bertawakkal kepada Allah sehinggakan pada satu ketika baginda berkata, "Tidak ada sesiapa yang mengikutiku malah ramai orang memusuhiku."

Keberanian dan ketabahannya menghadapi ujian terserlah ketika berlakunya Perang Uhud.
Sahal bin Sahat menceritakan apa yang dilihatnya ketika Perang Uhud, katanya, "Aku melihat sendiri bagaimana puteri baginda, Fatimah mencuci luka baginda dan Ali bin Abi Talib menyiram air ke atas lukanya dengan perisai. Siraman air itu menyebabkan darah semakin banyak mengalir. Kemudian Fatimah mengambil secarik tikar lalu membakar, kemudian membungkus luka baginda itu sehingga darah berhenti mengalir. Pada peristiwa itu juga gigi baginda patah dan kulit kepalanya terkoyak."

Sementara itu di dalam Perang Hunain, bapa saudara Rasulullah SAW al-Abbas bin Abdul Mutalib menceritakan, "Ketika pasukan kaum muslimin kucar-kacir, Rasulullah memacu kudanya ke arah pasukan musuh dan aku memegang tali pemacu kuda supaya tidak terlalu laju. Pada ketika itu, Baginda berkata: Aku adalah seorang Nabi bukan pendusta. Aku adalah cucu Abdul Mutalib." 
Menantu Rasulullah SAW, Ali bin Abi Talib yang terkenal sebagai pahlawan, penunggang kuda yang handal dan masyhur menceritakan, "Apabila dua pasukan sudah saling bertemu dan peperangan semakin sengit, kami berlindung di belakang Rasulullah SAW dan kami melihat tidak sesiapa pun yang berani mendekati musuh kecuali baginda." 

Manakala di dalam satu hadis yang dilaporkan oleh At-Tirmizi dan Ahmad, Rasulullah SAW berkata, "Sesungguhnya aku mendapat pelbagai ancaman kerana mahu menegakkan agama Allah dan aku yakin tiada seorang pun mendapat ancaman sepertiku. Malah pada satu ketika aku dan Bilal tidak menjamah makanan selama 30 hari 30 malam kerana tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan."
Pada satu peristiwa lain, Abu Dzar Al-Ghiffari melihat Rasulullah SAW sedang bersolat malam, lalu dia segera mengambil air sembahyang menjadi makmum. Pada rakaat pertama Rasulullah SAW membaca surah al-Baqarah dan terus membacanya sehingga beratus-ratus ayat. Abu Dzar berfikir mungkin Rasulullah SAW akan berhenti rukuk pada ayat 200  dan ketika Abu Dzar bersiap-siap untuk rukuk,  Rasulullah SAW masih terus membaca sehingga ayat 286. Abu Dzar berfikir, mungkin sampai ayat ini Rasulullah SAW akan rukuk tetapi Rasulullah SAW terus membaca surah Ali-Imran. 
Rasulullah SAW terus membaca surah Ali-Imran dan apabila hampir selesai surah Ali-Imran, Abu Dzar berfikir Rasulullah SAW akan berhenti untuk rukuk tetapi Rasulullah SAW meneruskan membaca surah an-Nisa'. Selesai membaca surah an-Nisa' barulah Rasulullah SAW rukuk.
"Ketika rukuk, lamanya baginda sama lamanya ketika baginda berdiri. Sungguh luar biasa dan hebatnya Rasulullah ketika beribadah. Saya pernah melihat kaki Rasulullah sampai bengkak-bengkak kerana terlalu lama berdiri apabila membaca surah yang panjang ," kata Abu Dzar yang tidak serik menjadi makmum kepada Rasulullah.
Kata Abu Dzar lagi, "Sebenarnya Rasulullah tidak perlu begitu lama beribadah kerana sudah dijamin masuk Syurga. Tetapi itulah bentuk syukur Rasulullah kepada Allah di atas nikmat yang dianugerahkan. Itulah juga yang Rasulullah anjurkan kepada umatnya sebagai satu cara mensyukuri nikmat-Nya."