Selasa, 5 Mac 2013

Rahsia Khusyuk Dalam Solat..


Seorang ahli ibadah bernama isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.

Pada suatu hari isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya :
"Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?" 
Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin."
Isam bertanya : "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?"

Hatim berkata : "Wudhuk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhuk dengan air. Sementara wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. Bertaubat.

2. Menyesali dosa yang telah dilakukan.

3. Tidak tergila-gilakan dunia.

4. Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')

5. Tinggalkan sifat berbangga.

6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu.

7. meninggalkan sifat menipu."

Seterusnya Hatim berkata : 

Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada dihadapanku, syurga disebelah kananku, neraka disebelah kiriku, malaikat maut berada dibelakangku. Dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solat kukali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.