Jumaat, 18 Januari 2013

Padah Membuka Aurat..


ALLAH SWT telah pun memperincikan tentang mahram dan golongan yang boleh melihat aurat wanita (seperti rambut) dan anggota zahir wanita (dengan pakaian biasa seperti di rumah), iaitu bapa, datuk dan ke atas, abang, bapa saudara, anak saudara, anak tiri, menantu, cucu dan wanita-wanita seIslam yang lain.

Firman ALLAH SWT:
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh kecuali yang zahir daripadanya. Hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak mereka, anak-anak tiri mereka, adik-beradik mereka, anak bagi adik-beradik meraka yang lelaki, anak bagi adik-beradik mereka yang perempuan, perempuan-perempuan Islam, hamba-hamba mereka, orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada ALLAH wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An Nur Ayat 31]

Berdasarkan ayat ini, maka selain daripada yang disenaraikan ini, tidaklah termasuk mahram. Maka wanita wajib berpakaian lengkap dengan menutup aurat iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan tangan di hadapan mereka. Wanita yang tidak menjaga batasan ini, mereka tidak akan dirahmati oleh ALLAH dan kehidupan tidak mendapat keberkatan. Di akhirat kelak, mereka akan diazab oleh ALLAH SWT dengan azab yang pedih.

Kisah yang berlaku terhadap seorang wanita ini pada musim panas di Kaherah, Mesir wajar dijadikan iktibar agar kaum wanita menjaga kesopanan terutama ketika berpakaian supaya tidak terjadi seperti apa yang dilihat oleh Rasulullah SAW.

Satu perjalanan jauh dari Kaherah ke Alexandria  dengan sebuah bas memakan masa yang lama. Di dalam bas itu terdapat seorang wanita muda berpakaian yang tidak menutup aurat dan sudah tentu dia menjadi perhatian penumpang lain. Barangkali kerana ramai yang menutup aurat di dalam kenderaan itu, maka wanita itu mengambil keputusan duduk di hujung kerusi berhampiran pintu keluar.

Seorang lelaki separuh usia yang kebetulan duduk berhampirannya menegur perbuatan wanita muda itu dengan lembut bicaranya.

"Maafkan pakcik kerana hendak menegur pakaian anak. Pakcik rasa anak tidak sepatutnya berpakaian seperti ini kerana ia melanggar hukum agama dan boleh mengakibatkan sesuatu yang tidak baik terjadi kepada anak sendiri," ujar lelaki separuh usia itu secara berhemah.

Namun, wanita muda itu berasa tersinggung dengan teguran tersebut dan tidak boleh menerimanya. Dia memandang lelaki tua itu dengan wajah menahan marah lalu berkata, "Berpakaian adalah hak saya dan pakcik sudah menganggu keselesaan saya!"  

Lelaki tua itu terdiam seketika sebelum wanita itu berteriak dan dengan lantang bersuara, "Jika memang tuan mahu, ini pensel saya. Tolong tempahkan untuk saya, tempatkan di neraka TUHAN anda!" Wanita itu lantas menghulurkan pensel kepada lelaki separuh usia itu seolah-olah mencabarnya.

Teriakkannya yang kuat itu menyebabkan penumpang lain menoleh ke arah wanita muda itu. Lelaki itu hanya mampu beristighfar berkali-kali sambil mengucapkan kalimah-kalimah ALLAH yang tidak didengari butirannya.

Selepas kejadian itu, suasana di dalam bas tersebut menjadi sepi. Ada penumpang yang terlena, begitu juga dengan wanita muda yang berang tadi.

Sesampai di terminal bas, semua penumpang bersiap-siap untuk turun tetapi terhalang apabila melihat 'sesuatu' . Apa tidaknya, wanita itu kelihatan masih lena. seorang penumpang menyarankan agar wanita itu dikejutkan tetapi setelah dikejutkan  berkali-kali, ternyata wanita itu tidak mahu bangun. Setelah dirasa nadinya, ternyata wanita tadi sudah menemui ajal. Penumpang lain hanya mampu beristighfar kerana baru sebentar tadi wanita malang itu mencabar supaya menulis namanya agar ditempatkan di neraka. Ternyata, dia mati dalam keadaan menentang ALLAH. Nauzubillah..