Rabu, 16 Januari 2013

Jaga Lidah, Berkatalah Yang Baik...


Lidah walaupun lembut tidak bertulang tetapi mempunyai pengaruh besar dalam kehidupan kita. Peranan lidah dalam mencorakkan keperibadian kita amat jelas melalui tutur kata yang dilafazkan.
Berpunca dari lidah, kita akan menuturkan kata-kata lucah, keji, marah, mencela, mengutuk, memfitnah ataupun mengumpat.

Kita juga sering diingatkan supaya hanya berkata-kata mengenai perkara yang membawa kebaikan dan berdiam jika mahu memperkatakan perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa. Hal ini ditegaskan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW berpesan,
"Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian, hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik-baik dan kalau tidak, hendaklah dia diam."

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa menjaga lidah itu penting supaya apabila bercakap biarlah perkara-perkara yang berfaedah dan membawa kebaikan sahaja.  jika selain daripada itu, lebih baik berdiam diri sahaja.

Pada suatu ketika, Rasulullah SAW ditanya oleh seorang sahabat.

"Ya Rasulullah, apakah amal perbuatan yang membolehkan seseorang itu masuk syurga?"

Rasulullah SAW menjawab, "Taqwa kepada ALLAH dan berakhlak baik."

"Apakah pula yang menyebabkan seseorang itu dihumban ke neraka ya Rasulullah? Tanya seorang sahabat lain.

"Kejahatan mulut dan kemaluannya."

Kemudian melalui hadis oleh Ibnu Abib Dunya, Rasulullah SAW berpesan, 
"Sesiapa yang dapat mengawal lidah (daripada memperkatakan kehormatan orang) ALLAH akan menutup perbuatan yang memalukannya. Sesiapa yang menahan kemarahannya, ALLAH akan melindungi daripada seksaan-NYA. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya, ALLAH akan menerima permintaan kelonggarannya."

Seterusnya Rasulullah SAW mengingatkan melalui hadis oleh Ibnu Abid Dunya, katanya, "Tidak akan lurus iman seseorang hamba sehingga lurus pula hatinya dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus pula lidahnya. Dan seseorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangga belum aman daripada kejahatannya."

ALLAH jadikan manusia dengan sebaik-baik ciptaan, dikurniakan lidah untuk bercakap yang baik-baik tetapi banyak disalah guna sehinggakan percakapan mengundang dosa. Oleh itu peliharalah lidah supaya tidak digunakan dengan bercakap perkara-perkara yang boleh menyebabkan kehinaan pada diri sendiri.