Sabtu, 12 Januari 2013

Cara Rasulullah Berpakaian..


Pakaian merupakan keperluan hidup untuk menutup aurat. Malah dengan cara berpakaian, dapat kita simpulkan mengenai sikap dan perwatakan seseorang. Seperti perkara-perkara lain, dalam tatacara berpakaian juga Rasulullah SAW berpesan agar umatnya mengenakan pakaian yang bersesuaian. Sehubungan itu Rasulullah SAW berpesan cara memilih pakaian yang sesuai. Di antara ialah :

  1. Pakaian yang bersih, longgar dan tidak tembus pandangan orang yang melihat dan menutup aurat.
  2. Tidak menunjukkan pakaian yang mewah dan mahal sebaliknya memakai pakaian yang melambangkan kerendahan diri.
  3. Rasulullah SAW gemar pakaian jenis gamis yang bercorak.
  4. Bagi kamu lelaki dilarang berpakaian daripada sutera dan emas.
  5. Pakaian tidak terlalu panjang sehingga mencecah lantai atau tanah.
  6. Kaum lelaki dilarang memakai pakaian yang menutup tapak kaki kerana ia melambangkan kesombongan.
  7. Bagi kaum wanita muslimah, pakaian biarlah panjang menutupi tapak kaki dan tudungnya menutupi kepala, leher dan dada.
  8. Lelaki dilarang berpakaian wanita begitu juga sebaliknya.
  9. Tidak memakai pakaian yang bertampal-tampal dan lusuh.
  10. Mengutamakan pakaian yang berwarna putih kerana Rasulullah SAW menyukai warna itu.

TATACARA BERPAKAIAN :

  1. Berdoa ketika akan berpakaian, misalnya : "Segala puji bagi ALLAH yang telah memberikan pakaian ini kepadaku sebagai rezeki daripada-NYA  tanpa daya dan kekuatanku."
  2. Berdoa ketika menyarungkan pakaian baru. Doanya ialah, "Ya ALLAH.. bagiMU segala puji, ENGKAU telah memakaikan pakaian ini kepadaku. aku memohon kepadaMU kebaikannya dan akibat kebaikannya. Aku berlindung pula kepadaMU daripada kejahatan dan akibat kejahatannya."
  3. Sunnah berpakaian dari sebelah kanan dahulu.
  4. Berpakaian biar kemas dan bersih disesuaikan dengan tempat.
  5. Disunatkan melucutkan pakaian dari sebelah kiri dahulu.