Selasa, 15 Januari 2013

Hamba Kesayangan ALLAH...


Beranikah kita mengaku kita ini hamba kesayangan ALLAH sekiranya amal dan perbuatan tidak menepati apa yang disyariatkan oleh agama? Cukupkah dengan hanya tidak meninggalkan solat, berpuasa pada bulan ramadhan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh agama?

Sesetengah orang berpendapat, apabila seseorang itu ditimpa musibah, penyakit atau dugaan yang amat hebat, itu tandanya ALLAH sayang kepadanya kerana ALLAH tidak mahu hamba-NYA terus terleka sebaliknya segera menginsafi diri.

Bagaimana pula dengan hamba-hamba-NYA yang tidak diduga dengan penyakit atau sebarang musibah, apakah itu tanda ALLAH tidak sayang kepada mereka?

Sebuah hadis oleh at-Tabrani, Rasulullah SAW berkata, 
"Apabila ALLAH mahukan kebaikan terhadap seseorang hamba-NYA, DIA terus mempercepatkan balasan kesalahannya di dunia ini lagi dan sebaliknya apabila ALLAH mahukan keburukan terhadap seseorang hamba-NYA, DIA tidak membalas perbuatannya yang berdosa di dunia ini sehinggalah DIA membalaskan nanti pada hari kiamat."

Daripada penjelasan hadis ini, sekurang-kurangnya kita dapat membuat penilaian awal adakah kita hamba-NYA yang disayangi. ALLAH memberikan ujian bertujuan agar kita dapat membetulkan kesilapan dan kembali ke pangkal jalan.

Berbeza dengan hamba-NYA yang dibenci ALLAH, DIA akan membiarkan hamba-NYA itu bergelumang dengan dosa dan maksiat di mana mereka terus lalai dari mengikuti segala perintah dan larangan.

Bagaimanapun ramai juga yang diuji ALLAH dengan dugaan, menjadi tidak redha. Malah, menuduh ALLAH tidak sayangkan mereka sedangkan ujian itulah tanda ALLAH sayang kepada hamba-NYA berbanding mereka yang terus dibiarkan lalai dengan nikmat kehidupan dan tidak mahu bertaubat.

Ketahuilah bahawa apabila ALLAH menghendaki kebaikan kepada seseorang, nescaya DIA akan bukakan kunci hatinya dan mengisikannya dengan keyakinan dan kepercayaan yang kukuh, DIA jadikan hatinya waspada perhadap liku-liku hidup yang dijalani, DIA jadikan hatinya sihat sejahtera, lidahnya bercakap benar dan perangainya lurus serta DIA jadikan telinganya mendengar dan matanya melihat.

Bertakwalah kepada ALLAH dan jangan sedikit pun memandang kecil kepada kerja kebajikan walaupun sekadar mencurahkan air dari timba ke dalam bekas orang yang meminta air dan bertemu saudara dengan wajah yang riang.
Andai ada orang yang memaki dan mencaci dengan sifat yang tidak ada pada kita, janganlah mencacinya  dengan sifat yang ada padanya, biarlah dia menanggung padah dan kita mendapat pahala dan usahlah memaki seseorang yang lain.

Selain itu kita di ingatkan supaya tidak memandang remeh kerja-kerja kebajikan. Walaupun nampak biasa tetapi perbuatan itu seperti menuangkan air ke dalam timba orang lain yang sangat memerlukan.

Jagalah diri daripada perkara yang haram nescaya kita akan menjadi manusia yang bertakwa dan terimalah dengan penuh kerelaan pembahagian yang telah ditentukan ALLAH nescaya kita akan menjadi manusia yang kaya.
Berbudilah kepada jiran nescaya kita akan menjadi mukmin yang sebenar dan cintailah kepada orang lain apa yang dicintai oleh kita untuk diri sendiri nescaya kita akan menjadi muslim yang sebenar dan janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa mematikan hati.

Isnin, 14 Januari 2013

Jaga Pandangan, Pelihara Iman..


ALLAH mengurniakan mata supaya kita dapat melihat dan menikmati keindahan ciptaan ILLAHI. Segala pandangan indah di muka bumi ini menandakan kekuasaan ALLAH tetapi adakah kita menggunakan sepasang mata yang berharga ini untuk tujuan yang baik atau sebaliknya?

Umat yang berakhlak akan menjauhi mata daripada memandang perkara-perkara yang diharamkan.
Mereka yang menjaga pandangan daripada melihat perkara yang baik akan dijamin masuk ke syurga.

Umat Islam dilarang berdusta dalam tutur kata, mengkhianati amanah dan memungkiri  janji yang dibuat. Mereka juga diperintahkan agar menjaga pandangan, memelihara anggota daripada mencederakan orang Islam lain dan menjaga kemaluan daripada melakukan perkara keji. Sesiapa yang menjaga larangan dan perintah ini, dia akan dipelihara oleh ALLAH SWT.

Bukan satu perkara mudah untuk tidak melihat pandangan yang haram ketika hampir setiap hari kita berada di tempat awam, kaca televisyen, akhbar, majalah dan internet atau dimana sahaja. Keluar sahaja dari rumah kita sudah terdedah dengan pelbagai dugaan ALLAH.

Bagi kaum lelaki, memandang kaum wanita dengan pandangan yang boleh menimbulkan nafsu amat ditegah kerana ia boleh mencetuskan perbuatan maksiat. bagi lelaki yang kuat iman, sudah tentu boleh mengelakkan perkara ini tetapi bagaimana jika tidak sengaja terpandang pandangan yang dilarang? 

Menyentuh perkara ini, Rasulullah SAW ada mengingatkan dalam sebuah hadis oleh Ahmad Ibn Hambal daripada Jarir bin Abdullah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah mengenai pandangan yang tidak sengaja. Rasulullah memintaku supaya memalingkan pandangan kearah lain."

Pandangan tidak sengaja yang dimaksudkan ialah terpandang sesuatu yang boleh menyebabkan terjadi perbuatan maksiat seperti terlihat aurat wanita yang boleh menyebabkan nafsu syahwat bergelora. Apabila menyedarinya, segeralah palingkan wajah dan jangan memandang berulang-ulang kerana agama menegah berbuat begitu. Berpunca daripada pandangan mata yang tidak dijaga juga akan menyebabkan keimanan bergoncang.

Hal ini ditegaskan dalam satu hadis lain, daripada Sayidina Ali, Rasulullah SAW berkata, "Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua. Sesungguhnya bagi kamu yang pertama tetapi tidak yang kedua."

Hadis ini menjelaskan bahawa pandangan yang pertama dikira tidak sengaja tetapi usah memandang untuk kali kedua dan seterusnya kerana yang selebihnya itu sudah dikira pandangan dengan niat dan berdosa.

Sebagai contoh, kita terlihat seorang wanita yang cantik dalam keadaan tidak menutup aurat. Sudah tentu sebagai lelaki jika pandangan pertama dikira tidak sengaja tetapi jika ia memandang sekali lagi atau merenung dengan tempoh yang lama, perbuatannya itu dianggap berdosa.

Rasulullah SAW berpesan, jika terpandang perkara seumpama itu, segeralah palingkan wajah kearah lain. Rasulullah SAW berkata, 
"Pandangan adalah panahan beracun daripada panahan iblis. Sesiapa yang menundukkan pandangan daripada kecantikan wanita, ALLAH mewariskan di hatinya kemanisan yang dimiliki sehingga hari bertemu dengan-NYA."

Oleh itu, jagalah pandangan sewajarnya. Amalkan menundukkan pandangan daripada melihat yang haram. Ini kerana maksiat bermula dari pesona pandangan mata, kemudian jatuh ke hati. Maka, terjadilah apa yang tidak diingini...

Ahad, 13 Januari 2013

Cita - Citaku..

Assalamalaikum.. hee! selalu sy dok update2 ttg agama, harini izinkan sy untuk update tntang cita2 sy.. ^ _ ^

dulu bila org tanya bila besar nak jadi apa? apa cita2 fatimah?
huu~ dulu cita sy ingin menjadi doktor, sbb doktor ni boleh bantu2 org sakit kann! sy ULANG dulu yerr :D asal org tanya je, mesti doktor akan di ungkapkan. Tapi skrng bila org tnya, cita2 sy nak jd apa. JAWAPAN SAYA.

saya ingin menjadi seorang HAFIZAH. InsyaALLAH.

InsyaALLAH, jika Allah izinkan sy, tahun 2014 ni sy akan dimasukkan ke pondok. sbb tggu adik spupu, dia kata dia pun nak msuk pondok gak, dia nak msuk ketika berumur 13tahun, sekarang umurnya baru 12. terpaksalah menunggu 2014 datang, InsyaALLAH jika Allah izinkan sy utk mnjd sorang hafizah. hanya itu cita2 sy.

walaupun agak susah bila tgk kat tv tv tu nak menghafaznya, nak tafsirkannya lagi. tapi mungkin ia tak sesusah yang kita fikirkan. Allah itu maha baik, insyaALLAH dia akan permudahkan segala niat baik seseorang ^_^

sangatlah berharap pada sang Illahi, untuk dipanjangkan umur hingga ke tahun hadapan untuk menuntut ilmu.
takut bilaku mati tiada ilmu dalam diriku T_T Allah...

bila ada org update status kat fb/twitter ada adiknya dah hafaz al-Quran 30juzuk. Ya Allah, jeles yang teramat la dalam.
hanya Allah yang tahu betapa cemburu melihat seseorang itu ada al-Quran dalam dirinya.

Ya Allah, Kau permudahkanlah setiap urusanku, permudahkanlah aku untuk menuntut ilmu di jalanMu. capaikanlah cita2 hambaMu yang hina ini ya Rabb. aamiin ya rabbal alamin. 


Pesanan Untuk Kaum Lelaki..


Pesanan Rasulullah bukan sahaja buat kaum wanita, malah baginda juga berpesan kepada kaum lelaki. Di antara pesanan Rasulullah SAW kepada kaum lelaki ialah :


  • Hendaklah bangun mengerjakan solat pada pertengahan malam walaupun hanya sekadar dua rakaat pendek. Ini kerana orang yang bangun bersujud pada ALLAH ini akan sentiasa dekat dengan pencipta-NYA.
  • Barangsiapa yang ALLAH berikan nikmat kepadanya dia bersyukur dan ALLAH beri dugaan dia bersabar dan jika berbuat jahat dia dia memohon ampun, nescaya bolehlah dia masuk ke syurga dari mana-mana pintu yang dikehendaki.
  • Amalkanah memanjangkan zikir dan membaca al-Quran setiap kali selesai solat subuh. Ganjaran yang amat besar dijanjikan oleh ALLAH SWT bagi sesiapa yang melakukan amalan ini.
  • Lazimkan diri menyebut nama ALLAH sebelum terbit fajar dan terbit matahari. Ganjaran yang besar daripada ALLAH bagi yang mengamalkan perkara ini.
  • Biasakan diri berdoa antara azan dan iqamat, sesungguhnya doa itu tidak akan dibiarkan.
  • Sesiapa yang mengamalkan surah al-Mulk dan surah al-Sajdah sebelum tidur pada setiap malam, maka ALLAH akan mengutuskan teman untuknya di dalam kubur dan meringankan di alam baerzakh.
  • Tebarkan salam kepada sesama muslim. Ia menggambarkan ketinggian akhlak, kemuliaan dan dapat merapatkan hubungan silaturrahim sesama Islam.


Pesanan-pesanan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW ini merupakan perkara-perkara yang mudah dilakukan asal sahaja ada kemahuan dan mahu meningkatkan keimanan kita. Tetapi berapa ramaikah yang bersedia mengikut pesanan Rasulullah SAW itu?

Sabtu, 12 Januari 2013

Cara Rasulullah Berpakaian..


Pakaian merupakan keperluan hidup untuk menutup aurat. Malah dengan cara berpakaian, dapat kita simpulkan mengenai sikap dan perwatakan seseorang. Seperti perkara-perkara lain, dalam tatacara berpakaian juga Rasulullah SAW berpesan agar umatnya mengenakan pakaian yang bersesuaian. Sehubungan itu Rasulullah SAW berpesan cara memilih pakaian yang sesuai. Di antara ialah :

  1. Pakaian yang bersih, longgar dan tidak tembus pandangan orang yang melihat dan menutup aurat.
  2. Tidak menunjukkan pakaian yang mewah dan mahal sebaliknya memakai pakaian yang melambangkan kerendahan diri.
  3. Rasulullah SAW gemar pakaian jenis gamis yang bercorak.
  4. Bagi kamu lelaki dilarang berpakaian daripada sutera dan emas.
  5. Pakaian tidak terlalu panjang sehingga mencecah lantai atau tanah.
  6. Kaum lelaki dilarang memakai pakaian yang menutup tapak kaki kerana ia melambangkan kesombongan.
  7. Bagi kaum wanita muslimah, pakaian biarlah panjang menutupi tapak kaki dan tudungnya menutupi kepala, leher dan dada.
  8. Lelaki dilarang berpakaian wanita begitu juga sebaliknya.
  9. Tidak memakai pakaian yang bertampal-tampal dan lusuh.
  10. Mengutamakan pakaian yang berwarna putih kerana Rasulullah SAW menyukai warna itu.

TATACARA BERPAKAIAN :

  1. Berdoa ketika akan berpakaian, misalnya : "Segala puji bagi ALLAH yang telah memberikan pakaian ini kepadaku sebagai rezeki daripada-NYA  tanpa daya dan kekuatanku."
  2. Berdoa ketika menyarungkan pakaian baru. Doanya ialah, "Ya ALLAH.. bagiMU segala puji, ENGKAU telah memakaikan pakaian ini kepadaku. aku memohon kepadaMU kebaikannya dan akibat kebaikannya. Aku berlindung pula kepadaMU daripada kejahatan dan akibat kejahatannya."
  3. Sunnah berpakaian dari sebelah kanan dahulu.
  4. Berpakaian biar kemas dan bersih disesuaikan dengan tempat.
  5. Disunatkan melucutkan pakaian dari sebelah kiri dahulu.

Pesanan Untuk Kaum Wanita..


TERFIKIRKAH oleh kita bahawa dunia ini merupakan perhiasan untuk manusia yang mana di dalamnya terdapat pelbagai nikmat dan kesengsaraan jika tidak menggunakan dengan sebaik-baiknya? 
Bagaimanapun sebaik-baik perhiasan di dunia ini adalah wanita atau isteri yang solehah. Ini ditegaskan oleh hadis sahih yang direkodkan oleh Muslim, Rasulullah SAW berkata, "Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah."

Mengenai kaum wanita sebagai perhiasan, Rasulullah SAW berpesan dalam sebuah hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad, Tabrani dan Hakim, "Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian keluar melintas kaum lelaki agar terbau haruman itu, maka dia adalah perempuan zina dan setiap mata yang memandang juga zina."

Berikut, diperturunkan beberapa pesanan Rasulullah SAW untuk peringatan kaum wanita.

  • Bagi kaum wanita yang mengandung, akan beristighfar para malaikat untuknya dan ALLAH mencatatkan baginya setiap hari 1000 kebajikan dan menghapuskan 1000 kejahatan.
  • Jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya, janggutnya, memotong misainya dan memotong kukunya, dia akan diberi minum oleh ALLAH dari air sungai di syurga, diiringi oleh ALLAH ketika sakaratulmaut dan kuburnya akan dijadikan taman syurga serta dicatat oleh ALLAH baginya kelepasan dari api neraka dan selamat melintasi titian siratulmustaqim.
  • Mana-mana kaum wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, ALLAH akan memasukkan ke dalam syurga lebih dahulu daripada suami kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka dia mendapat pakaian dan bauan syurga untuk turun ke mahligai suami dan menghadapnya.
  • Apabila sesorang wanita yang taat pada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, matahari dan bulan beristighfar baginya selama mana dia masih taat kepada suaminya.

Begitulah banyaknya manfaat yang diperolehi oleh kaum wanita. Dia menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan ikhlas dan sebaik mungkin juga mematuhi pesanan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Hayati dan renungilah kata-kata ini : 

"Aku mengamati semua sahabat dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku memikirkan tentang semua pakaian tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada taqwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar." - Sayidina Umar bin al-Khattab


  • Lantaran itu wahai wanita... sentiasalah sematkan di hati bahawa di sebalik  kenikmatan yang dikecapi, adakala bencana hadir tanpa diduga. Yakinlah bahawa di sebalik setiap dugaan, pasti ada hikmah dan nikmatnya. Oleh itu, andai sesekali diri diduga, usah resah kerana pasti tersirat nikmat. Dan ingatlah juga, andai dilanda nikmat, usah lupa dan leka kerana dari sinilah berpuncanya bencana. 

Selasa, 1 Januari 2013

Bersanding: Adat Yang Tidak Bersyariat


Apabila sepasang anak muda selamat diijabkabulkan maka menangislah syaitan-syaitan. Mereka tidak lagi berjaya memainkan hati pasangan itu untuk menuju jalan ke neraka. Tapi apakah mungkin tangisan itu akan berakhir di situ saja atau berlarutan hingga tamatnya majlis walimah tersebut? Hanya Allah saja yang mengetahuinya. Semua ini bergantung kepada majlis yang kita laksanakan.

Majlis perkahwinan boleh mendatangkan berkat bila suasana yang mendatangkan keberkatan itu dijaga sungguh-sungguh iaitu dengan menjaga batas-batas syariat. Tiada percampuran antara lelaki dan perempuan. Contohnya, majlis akad nikah dibuat di masjid kerana boleh terhindar dari suasana percampuran.
Kepada pasangan pengantin pula, setelah selesai majlis pernikahan mereka disunatkan sujud syukur dan sembahyang sunat nikah dua rakaat.
Dari sinilah bermulanya bibit-bibt  perkenalan dan cinta pandang pertama antara kedua pasangan yang dirahmati oleh Allah SWT itu.

Kiranya rumah kita kecil dan tidak muat untuk menempatkan tetamu wanita makan didalam rumah, bolehlah dipasangkan khemah yang bersaingan di antara lelaki dan perempuan. Pelayan-pelayannya juga mesti terdiri dari kaum sejenis. Apa yang penting, kita berusaha untuk mengelakkan dari sebarang bentuk percampuran antara lelaki dan wanita, terutama ketika majlis jamuan makan. 
Kadang-kadang, biasa kita tengok tetamu yang hadir tidak begitu ghairah untuk melihat pengantin lelaki tetapi seronok dengan gadis-gadis genit yang melayani tetamu. Lalu berlakulah usik-mengusik antara satu sama lain.

Kenduri kahwin yang dirahmati Allah tidak semestinya dibuat secara besar-besaran seperti di hotel-hotel dan dijemput tetamu-tetamu terhormat sahaja serta diserikan dengan berbagai-bagai acara istimewa.
Memandailah dengan apa yang termampu, maka jemputlah jiran-jiran yang terdekat.

Bahawasanya bersabda Rasulullah SAW kepada Abdul Rahman  bin Auf (yang baru berkahwin) yang bermaksud :

"Buatlah jamuan walaupun dengan seekor kambing." (Riwayat bukhari dan Muslim) 

Tujuan mengadakan kenduri kahwin ialah supaya tidak timbulnya fitnah manusia.
Rasulullah suka majlis yang mulia ini dihebah-hebahkan kepada masyarakat.
Maka mengadakan kenduri sempena berkahwin itu adalah sunnah Rasulullah, iaitu hukumnya sunat dan berpahala. 
Selain dari itu, majlis yang kita laksanakan bukan saja untuk bersuka-suka tetapi besar ertinya kepada fakir miskin. Rasulullah SAW ada mengingatkan umatnya bahawa jamuan yang paling dicela oleh Allah Taala ialah apabila undangannya terdiri daripada orang-orang kaya saja. Sebagaimana sabda baginda yang bermaksud : "Sebusuk-busuk makanan ialah makanan jamuan yang untuknya diundang orang-orang kaya dan dibiarkan orang miskin." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebaik-baiknya jemputlah kedua-dua belah pihak agar menambahkan silaturrahim  antara keduanya.
Inilah salah satu hikmah mengapa seseorang itu diwajibkan hadir ke majlis  walimah yang benar-benar  menepati landasan syariat dan ditegah menolak undangan tersebut.
Hal ini telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud :
"Barangsiapa tidak datang ke undangan (jamuan perkahwinan), maka sesungguhnya derhakalah ia kepada Allah dan rasul-Nya." 

Meskipun begitu,kiranya majlis walimah itu banyak berunsur kemungkaran dari kebaikannya (seperti bersanding, pergaulan bebas, tari-menari, serta bernyanyi-nyanyi dan bermuzik) memandailah kita kita jenguk muka sebentar sahaja. Berilah alasan yang baik mengapa kita tidak dapat sama-sama meraikan majlis itu. Namun demikian, sebagai saudara sesama Islam yang cintakan kebenaran, berdoalah semoga mereka dikurniakan petunjuk sebagaimana doa baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Hai Tuhan! Berilah petunjuk kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui."

Mengadakan upacara bersanding merupakan dosa yang paling berat bila ianya menjadi tradisi 'wajib'  kepada bangsa Melayu. Tidak ada keterangan didalam semua mazhab yang membolehkan bersanding. Hanya dalam agama Hindu saja yang memestikan penganutnya bersanding. Kalau tidak bersanding dihukumkan sebagai murtad. Seluruh ahli keluarga akan memulaukan mereka dan dianggap sebagai penderhaka.

Menurut adat istiadat Hindu, untuk mendapatkan restu dari dewa-dewa, maka setiap majlis persandingan mestilah diletakkan dua gunung emas dan pokok emas, di kiri dan kanan pelamin. 
Bagi orang Melayu pula, mereka meletakkan pulut kuning, nasi manis (wajik) dan pokok bunga telur sebagai ganti gunung emas atau pokok emas yang diamalkan oleh orang Hindu.
Oleh itu, eloklah dihapuskan upacara yang karut dan sesat ini. Berbincanglah dengan sebaik-baiknya dengan ibu ayah supaya majlis yang akan kita laksanakan itu benar-benar menepati kehendak syariat Islam.
Selain itu kebiasaan majlis perkahwinan disertakan dengan iringan muzik atau dijemput khas pemuzik yang kononnya meraikan pasangan pengantin. Tidak wajarlah suatu majlis yang mulia kita cemari dengan sesuatu yang melalaikan. Majlis yang sepatutnya syaitan menjerit dan menangis, akan bertukar kepada syaitan ketawa gembira! 
Kita boleh memeriahkan majlis perkahwinan dengan berlagu-lagu memuji kebesaran Allah SWT dan memuliakan Rasulullah SAW. Contohnya,  mengadakan khatam al-Quran, berzanji, tahlil dan marhaban, qasidah ataupun nasyid dengan syarat terasing di antara lelaki dan perempuan. Kita sama-sama bertanggungjawab untuk memecahkan tradisi khurafat ini. Semoga lorong-lorong yang kita terokai ini akan memudahkan orang lain yang cintakan Islam untuk sama-sama mengekori dari belakang. Oleh itu yakinlah dengan bantuan Allah. Bersungguh-sungguhlah mengamalkannya, lambat laun masyarakat akan menerima juga walaupun untuk waktu ini ramai yang belum berani melaksanakannya.