MAHAR atau mas kahwin kadang-kadang menjadi pertikaian bagi mereka yang tidak mampu untuk bernikah. Oleh kerana masalah itu juga, mereka yang ingin bernikah terpaksa membatalkan rancangan mereka. Peristiwa ini juga berlaku pada zaman Rasulullah SAW.
Pada suatu hari datang seorang perempuan menemui Rasulullah SAW. Melihatkan daripada raut wajahnya, Rasulullah SAW dapat menduga perempuan itu seperti ada masalah dan meminta Rasulullah SAW menyelesaikannya.
Setelah teragak-agak beberapa ketika, perempuan itu bersuara,
"Wahai Rasulullah, aku serahkan diriku kepadamu." Perempuan itu tunduk seolah-olah merendah diri.
Rasulullah SAW berfikir sejenak kerana inginkan kepastian apakah maksud sebenar perempuan itu. Belum pun sempat soalan itu dijawab, seorang lelaki muda berdiri disebelah perempuan itu.
"Wahai Rasulullah, kahwinkanlah dia dengan aku jika tuan tidak berhajat kepadanya," beritahu lelaki itu sambil memandang wajah Rasulullah SAW yang manis.
Lalu jawab Rasulullah SAW, "Wahai anak muda apakah kamu ada sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin untuknya?"
"Saya tidak mempunyai apa-apa selain daripada kain sarung yang saya pakai ini," ujar lelaki itu jujur.
"Jika kamu berikan kain sarung ini, sudah tentu kamu tidak berkain sarung. Kamu carilah sesuatu yang lain daripada kain sarung ini,"
cadang Rasulullah SAW sambil memerhatikan lelaki yang pada anggapannya kurang berkamampuan itu.
Lelaki itu diam sebentar seperti sedang memikirkan sesuatu.
Setelah agak lama membisu, akhirnya dia bersuara, "Ya Rasulullah ketika ini saya memang tidak mempunyai apa-apa," jelas lelaki itu dengan wajah yang agak sedih.
"Kalau begitu, kamu carilah apa saja meskipun sebentuk cincin besi," beritahu Rasulullah SAW memberikan jalan keluar untuk menyelesaikan masalah itu.
Akhirnya lelaki itu mencari cincin besi seperti dicadangkan oleh Rasulullah SAW tetapi setelah lama mencari, lelaki itu bertemu semula dengan Rasulullah SAW dengan wajah sugul.
"Saya gagal mendapatkan apa yang Rasulullah cadangkan,"
luah lelaki itu dengan rasa kecewa.
Gambar Hiasan
"Begini sajalah. Oleh kerana kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan mas kahwin, adakah kamu menhafal surah-surah al-Quran?"
"Ada ya Rasulullah, ujar lelaki itu sambil membacakan beberapa surah al-Quran yang dia hafal diantara surah al-Ikhlas.
"Kalau begitu, aku nikahkan engkau dengan wanita ini dengan mas kahwinnya surah-surah al-Quran yang engkau hafal itu,"
beritahu Rasulullah SAW kepada pasangan lelaki dan perempuan itu.
Mendengar apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW pasangan itu berasa lega kerana dapat berkahwin walaupun dengan surah-surah al-Quran yang dihafalnya.
Dalam hal ini, kebijaksanaan Rasulullah SAW terserlah apabila tidak memaksa pasangan yang kurang berkemampuan bernikah dengan menyediakan mas kahwin yang tidak mampu disediakan.
Didalam satu hadis lain, Rasulullah SAW pernah berkata,
"Sesiapa yang memberi mas kahwin kepada seseorang perempuan berbentuk tepung atau kurma maka dihalalkan perempuan itu baginya dan perkahwinan itu adalah sah."