Rabu, 31 Oktober 2012

♥ Masyitah Direbus Kerana Cinta.. ♥

Firaun dengan segala kesembongan dan bongkaknya telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata menyembah dan memperhambakan diri kepadanya.

Barangsiapa yang ingkar akan diseksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya.
Namun begitu, terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah. Di antara Asiah, Isteri Firaun dan keluarga Masyitah. 

Masyitah adalah pelayan di istana raja dan lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun. Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah supaya dengan itu mereka tidak akan diganggu.

Tetapi pada suatu hari, sewaktu Masyitah sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut Allah.

Puteri tersebut apabila mendengar perkataan Allah, dia lalu bertanya  kepada Masyitah siapakah Allah itu.

Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah "Tuhan Yang Esa dan Tuhan sekalian alam."
Puteri itu dengan serta-merta mengadu kepada Firaun akan perihal Masyitah. 
Firaun begitu terperanjat apabila mendengar Masyitah menyembah Tuhan selain daripadanya.
Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan kaum keluarganya yang telah menyembah Allah.
Firaun sedikit pun tidak mengenang jasa Masyitah terhadap keluarganya.
Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana Firaun.

Tetapi tanpa usul periksa dan begitu kejam, Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.
Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang begitu luar biasa.
                                                                     Gambar Hiasan

Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang tidak Berhati Perut itu.

Hamman telah memaksa semua pengawalnya supaya menyediakan sebuah kawah yang besar untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya yang ingkar pada Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali menyembahnya.
Masyitah bersama suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi kata dua sama ada hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas yang mendidih.
Maka dengan tegas, Masyitah dan suaminya tetap pertahankan keimanan mereka dengan mengatakan "Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun  hanyalah manusia biasa." 
Dengan keputusan itu, Hamman dengan tanpa perikemanusiaan mencampak satu persatu keluarga Masyitah kedalam kawah yang berisi air panas yang mendidih.
Sambil ketawa terbahak-bahak dengan nada menyindir, Hamman mencampakkan suami Masyitah dahulu lalu diikuti dengan anak-anaknya yang lain.
Masyitah melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana anak-anaknya terkapai-kapai didalam air yang panas menggelegak.
Kini, tinggal Masyitah dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah tersebut.
Syaitan membisikkan ke telinga Masyitah perasaan was-was dan kasihan melihat anaknya yang masih kecil itu diseksa sedemikian rupa.
Masyitah mulai ragu-ragu sama ada hendak terjun atau tidak.
Tetapi dengan Kekuasaan Allah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu berkata kepada ibunya, Masyitah: "Wahai ibu, marilah kita menyusuli ayah. Sesungguhnya syurga sedang menanti kita."

Bila mendengarkan kata-kata yang amat ajaib dari anaknya yang masih bayi, dengan rasa kehambaan dan CINTA kepada Allah,
Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam kawah yang berisi air panas dan syahidlah mereka sekeluarga demi mempertahankan iman mereka kepada Allah.
Tetapi Allah tidak membiarkan manusia yang melakukan Durjana  sesuka hati terlepas begitu sahaja.
Allah mendatangkan kepada Firaun, Hamman dan para pengawal yang membunuh Masyitah dengan azab seksa yang amat pedih.
Allah meruntuhkan kerajaan Firaun dan hamman mati dalam runtuhan tersebut. 
Tentera dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar lautan. Mereka mati di dalam keadaan Kafir.
Sebaliknya, Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan mulia dan bahagia di dalam syurga.

Sewaktu Rasulullah S.A.W mengalami Israk dan Mikraj, baginda telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan Kasturi.
Lantas Rasulullah S.A.W bertanya kepada Jibril yang mengiringinya. Maka jawab Jibril: "Itulah makam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga." 
Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah. Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun disisi Allah mereka amat mulia.

Selasa, 30 Oktober 2012

♥ Surah Al-Quran Sebagai Mahar.. ♥

MAHAR atau mas kahwin kadang-kadang menjadi pertikaian bagi mereka yang tidak mampu untuk bernikah. Oleh kerana masalah itu juga, mereka yang ingin bernikah terpaksa membatalkan rancangan mereka. Peristiwa ini juga berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Pada suatu hari datang seorang perempuan menemui Rasulullah SAW. Melihatkan daripada raut wajahnya, Rasulullah SAW dapat menduga perempuan itu seperti ada masalah dan meminta Rasulullah SAW menyelesaikannya.
Setelah teragak-agak beberapa ketika, perempuan itu bersuara, 
"Wahai Rasulullah, aku serahkan diriku kepadamu." Perempuan itu tunduk seolah-olah merendah diri.
Rasulullah SAW berfikir sejenak kerana inginkan kepastian apakah maksud sebenar perempuan itu. Belum pun sempat soalan itu dijawab, seorang lelaki muda berdiri disebelah perempuan itu.

"Wahai Rasulullah, kahwinkanlah dia dengan aku jika tuan tidak berhajat kepadanya," beritahu lelaki itu sambil memandang wajah Rasulullah SAW yang manis.
Lalu jawab Rasulullah SAW, "Wahai anak muda apakah kamu ada sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin untuknya?"
"Saya tidak mempunyai apa-apa selain daripada kain sarung yang saya pakai ini," ujar lelaki itu jujur.
"Jika kamu berikan kain sarung ini, sudah tentu kamu tidak berkain sarung. Kamu carilah sesuatu yang lain daripada kain sarung ini,"
cadang Rasulullah SAW sambil memerhatikan lelaki yang pada anggapannya kurang berkamampuan itu.
Lelaki itu diam sebentar seperti sedang memikirkan sesuatu.
Setelah agak lama membisu, akhirnya dia bersuara, "Ya Rasulullah ketika ini saya memang tidak mempunyai apa-apa," jelas lelaki itu dengan wajah yang agak sedih.
"Kalau begitu, kamu carilah apa saja meskipun sebentuk cincin besi," beritahu Rasulullah SAW memberikan jalan keluar untuk menyelesaikan masalah itu.
Akhirnya lelaki itu mencari cincin besi seperti dicadangkan oleh Rasulullah SAW tetapi setelah lama mencari, lelaki itu bertemu semula dengan Rasulullah SAW dengan wajah sugul.
"Saya gagal mendapatkan apa yang Rasulullah cadangkan,"
luah lelaki itu dengan rasa kecewa.
                                                                      Gambar Hiasan

"Begini sajalah. Oleh kerana kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan mas kahwin, adakah kamu menhafal surah-surah al-Quran?"
"Ada ya Rasulullah, ujar lelaki itu sambil membacakan beberapa surah al-Quran yang dia hafal diantara surah al-Ikhlas.
"Kalau begitu, aku nikahkan engkau dengan wanita ini dengan mas kahwinnya surah-surah al-Quran yang engkau hafal itu,"
beritahu Rasulullah SAW kepada pasangan lelaki dan perempuan itu.
Mendengar apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW pasangan itu berasa lega kerana dapat berkahwin walaupun dengan surah-surah al-Quran yang dihafalnya.
Dalam hal ini, kebijaksanaan Rasulullah SAW terserlah apabila tidak memaksa pasangan yang kurang berkemampuan bernikah dengan menyediakan mas kahwin yang tidak mampu disediakan.

Didalam satu hadis lain, Rasulullah SAW pernah berkata,

"Sesiapa yang memberi mas kahwin kepada seseorang perempuan berbentuk tepung atau kurma maka dihalalkan perempuan itu baginya dan perkahwinan itu adalah sah."

Ahad, 28 Oktober 2012

[Ya Allah, Jadikan Dia Pendampingku..]



Daripada sebuah kisah sebenar yang diceritakan oleh Imam Ibnu Rajab Al Hambali, hiduplah seorang gadis solehah dan cantik yang hanya tinggal berdua dengan ayahnya. Ibunya telah meninggal dunia sejak dia memasuki usia remaja.Pada suatu musim haji, ayahnya pergi menunaikan ibadah haji tanpa ditemani anak gadisnya.Sebelum berangkat haji, anaknya memberikan seuntai kalung kepada ayahnya sebagai bekal semasa di mekah nanti.Kalung tersebut ialah warisan dari arwah ibunya.

Ketika di mekah, ayahnya kehilangan kalung tersebut.Dia pun berdoa kepada Allah SWT agar kalung tersebut dijumpai kembali. Tidak beberapa lama kemudian, dia bertemu dengan seorang pemuda yang kehabisan bekalan.Pemuda itu benar-benar kelaparan dan hampir mati kerana ketiadaan makanan.Orang tua itu yang sedang berusaha mencari kalungnya menceritakan kepada si pemuda tentang kalungnya yang hilang.Ayahnya tidak mengetahui bahawa si pemuda sebenarnya sedang kelaparan kerana kehabisan bekal.

Mendengar cerita sang ayah, si pemuda berasa terkejut kerana kebetulan dia baru sahaja terjumpa seuntai kalung mahal ketika dia sedang berjalan di sekitar mekah.Dia memasukkan kalung tersebut ke dalam sakunya dan pergi ke masjid.Pemuda tersebut akhirnya menceritakan dan menggambarkan bentuk kalung mahal yang telah dijumpainya.Orang tua itu yakin bahwa itu ialah kalungnya.Si pemuda memberikan kalung itu kepada sang ayah tanpa meminta upah, kemudian dia berkata "Ya Allah, telah aku serahkan itu kepada-Mu maka balaslah aku dengan yang lebih baik!" 

Si pemuda kemudian pergi ke laut dan memulakan perjalanan dengan perahu kecil.Tidak lama, badai laut dan angin besar melanda, menghempas perahunya hingga pecah berkeping-keping.Si pemuda cuba bertahan pada sebatang kayu, tetapi angin besar mengumbang-ambingkan dirinya.Akhirnya, dia terdampar di sebuah pantai. 

Disana dia masuk ke dalam sebuah masjid yang dipenuhi dengan orang yang sedang solat berjemaah, dia pun menyertai mereka.Dia ternampak beberapa lembar kertas berisi ayat-ayat Al-Quran dan dia membacanya.Orang-orang di pulau itu bertanya, "adakah engkau boleh membaca Al-Quran?"  Dia mengiyakan.Kata mereka, "ajarlah anak-anak kami membaca Al-Quran!"  Dia pun mengajar mereka dan mendapat upah daripada pekerjaannya itu.

Pada suatu hari, masyarakat pulau melihatnya sedang menulis dan mereka berkata " Mahukah engkau mengajar anak-anak kami menulis?" Sekali lagi, dia mengiyakan, lalu dia pun mendapat upah daripada pekerjaannya itu.Tidak lama kemudian, mereka berkata kepada si pemuda, "Ada seorang gadis yatim piatu yang solehah, ayah dan ibunya sudah meninggal dunia. Mahukah engkau bernikah dengannya?"  Dia pun setuju untuk mengawininya.

Pada malam pertama pernikahan, si pemuda sangat terkejut saat melihat seutas kalung di leher isterinya.Dia melihat kalung yang persis sama dengan kalung yang dia terjumpa di mekah dahulu.Dia pun meminta isterinya menceritakan tentang kalung itu.Isterinya bercerita, " Kalung ini ialah kalung warisan daripada ibuku yang sudah meninggal dunia ketika aku memasuki usia remaja.Semasa ayahku pergi haji, aku berikan kalung ini kepadanya sebagai tanda ingatan di mekah. Setelah ayah kembali dati mekah, beliau bercerita bahawa kalung ini pernah hilang sewaktu di mekah.Seorang pemuda menjumpai  dan mengembalikannya kepada ayahku.Sejak itu, ayahku sentiasa berdoa agar aku dianugerahi suami yang jujur seperti pemuda itu.Siang dan malam ayahku selalu berdoa tentang jodohku dengan pemuda itu.Sehingga ajal menjemputnya, Allah SWT belum mengabulkan doa ayahku. Setelah ayahku ke alam baka, aku berdoa kepada Allah SWT agar doa ayahku segera terkabul.Sejak itu, aku selalu berdoa 'Ya Allah, jadikan dia (pemuda itu) pendampingku..'  Di setiap doaku, dalam setiap hembusan nafasku, siang mahupun malam, sambil menitikkan air mata, aku selalu berdoa kepada Allah SWT agar pemuda itu menjadi jodohku." 


Selesai isterinya bercerita tentang kalung tersebut, pemuda yang telah menjadi suaminya berkata,"Duhai isteriku sayang, doa ayahmu dan juga doamu kini telah terkabul. Akulah pemuda yang engkau ceritakan tadi".

SubhanAllah, sebuah kisah yang sarat dengan hikmah dan makna. Pemuda itu telah menyerahkan sesuatu hanya kerana Allah, maka Allah membalasnya dengan sesuatu yang jauh lebih baik.kesabarannya dalam menghadapi ujian dan keikhlasannya dalam memberikan sesuatu mendapatkan balasan yang luar biasa dari Allah SWT.Dia akhirnya kembali mendapat kalung tersebut sekaligus mendapat seorang isteri yang solehah yang menjadi pemilik kalung mahal tersebut.Sesungguhnya Allah itu baik dan tulus dan Dia tidak menerima selain yang baik dan tulus.

Begitu juga kekuatan daripada keyakinan seorang gadis yang terus berdoa tanpa jemu agar Allah menjodohkannya dengan lelaki yang diharapkannya.Ternyata kesabaran dan keikhlasan dalam berdoa membuahkan hasil yang diinginkannya.Lantas dia berdoa, "Ya Allah, jadikan dia jodohku.."   Allah SWT pun mengabulkannya.Allah SWT menjadikan kesabarannya dalam menghadapi cubaan hidup menjadi sesuatu yang indah pada waktunya.

Jodoh memang di tangan Allah, tetapi usaha dan doa yang terus-menerus tanpa putus asa harus selalu dilakukan oleh seorang muslim Dia harus menyakini bahawa Allah SWT pasti akan memberikan jodoh kepadanya, cepat atau pun lambat. ~Amin Ya rabbal Alamin~ 



#Duhai Sahabat, jangan risau akan jodohmu..Kerana pasangan yang bijaksana takkan terpaut hanya pada keindahan fizikal..telah tercatat jodoh untukmu di Lauhul Mahfuz.Hanya tinggal peribadinya sahaja yang ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu.Jika kau tetap di atas jalan yang diredhai,Insya-Allah si dia turut di jalan yang sama. :)